Monday, October 3, 2011

Bajet 2012 tingkat permintaan agregat

RAM Holdings Bhd meramalkan Bajet 2012, yang akan dibentangkan di Parlimen pada 7 Oktober ini, dijangka meningkatkan permintaan agregat dengan kenaikan taraf industri dan sokongan perniagaan yang lebih tinggi.

Menurutnya, bajet tahun depan dijangka menumpukan kepada menangani kos hidup yang tinggi, terutamanya bagi segmen pendapatan rendah hingga sederhana dan meningkatkan kecekapan menerusi liberalisasi pasaran serta mengurangkan kos perniagaan.

“Orang ramai masih bimbang dengan kos hidup yang tinggi walaupun perangkaan nampaknya menunjukkan inflasi berada pada paras pra-kemelesetan yang boleh diurus,” kata agensi penarafan itu sambil menambah inflasi makanan meningkat dengan pantas berbanding keseluruhan inflasi, pada sekitar lima peratus.

Oleh itu, RAM berkata, pengagihan kekayaan kepada isi rumah pendapatan rendah seperti pindahan tunai, boleh ditimbangkan kerajaan dalam cadangan Bajet 2012.

“Program ini pastinya disambut baik kerana ia akan menambah baik kemampuan bagi strata ekonomi rendah di samping menambah kesan berganda kepada permintaan agregat dalam ekonomi domestik,” katanya.

Menurutnya, kerajaan dijangka memperkenalkan lebih banyak langkah-langkah untuk menyediakan operasi perniagaan lebih kos efektif di samping menangani halangan dalam menjalankan perniagaan dan pelaburan.

“Keadaan ini dijangka menambah baik iklim pelaburan domestik dan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing,” kata RAM.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: