Friday, October 14, 2011

Suatu malam kubur berasap

Meskipun timbul pelbagai pandangan negatif mengenai filem seram, namun ia tidak menghalang pengarah baru, Ernie Chen, untuk menghasilkan filem genre itu, Suatu Malam Kubur Berasap.

Bukan sekadar mempertaruhkan filem seram semata-mata, filem sulung arahannya turut disuntik dengan elemen komedi dan semangat 1 Malaysia.

"Filem ini menampilkan Angah Raja Lawak, Along Cham, Azrul Zaidi, Zami Ismail, Acappan dan ramai lagi pelakon komedi. Mengapa saya berani katakan 1 Malaysia kerana filem ini, mencampurkan kisah hantu menerusi kepercayaan Melayu, Cina dan India.

"Walaupun seram, saya turut menyelitkan elemen komedi bagi menyuntik 'rasa' dan memberi kelainan menerusi filem ini," katanya yang sebelum ini aktif menghasilkan iklan televisyen dan video korporat.

Ernie berkata, meskipun bukan berbangsa Melayu, pengalaman bekerja dan bercampur gaul dengan masyarakat Melayu membuatkan dia faham dengan selera dan kehendak penonton masa kini.

"Majoriti penduduk di Malaysia adalah masyarakat Melayu dan majoriti yang menonton di pawagam adalah bangsa Melayu. Jadi, meskipun saya berbangsa Cina, saya perlu memberi sentuhan sesuai dengan selera orang Melayu.

"Oleh kerana saya orang Cina, saya juga memberi sedikit garapan untuk babak yang menampilkan hantu Cina di jirat Cina supaya ia sesuai ditonton oleh semua bangsa," katanya.

Lebih membanggakan, Ernie berkata, dia berpuas hati kerana dapat menyelesaikan filem ini dalam masa singkat, iaitu 40 hari dan mendapat kualiti gambar seperti yang diidamkan.

Meskipun kebanyakan babak menjalani penggambaran pada waktu malam, melibatkan tiga lokasi utama di Rawang, Kuang dan Damansara Utama, ia tidak sedikit pun menjadi tekanan sebaliknya set penggambaran riuh rendah dengan tawa.

"Saya sangat berpuas hati dengan krew serta barisan pelakon. Kami dapat menyelesaikan penggambaran dalam tempoh yang singkat dan semuanya berjalan dengan lancar.

"Saya berharap filem ini mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan supaya selepas ini saya akan dapat tampil dengan karya yang baru dan lebih lucu pula. Bagi peminat Allahyarham Zami Ismail, mereka patut menonton filem ini kerana ia adalah filem lakonan terakhir arwah," akhiri Ernie.

Bertempat di ‘Kampung Angan Tak Sudah’, filem ‘Suatu Malam Kubur Berasap’ ini mengisahkan cerita tentang tiga sahabat kampung iaitu Atan, Bun, Pet dan seorang sahabat dari bandar yang baru dikenali iaitu Mie.

Atan (Angah Raja Lawak) seorang yang lurus bendul, rajin, ringan tulang dan bekerja sebagai penggali kubur. Bun (Along Raja Lawak) seorang kutu rayau yang gemar merempit dengan motor kapcainya. Hampir setiap malam dia akan mengacau gadis-gadis kilang pulang dari bekerja.

Pet (Azrul Raja Lawak) merupakan pemandu lori ayam yang sering bekerja lewat malam. Dia mempunyai suara sengau, suka berlagak dan bercakap besar terutamanya melibatkan perkara mistik. Ketiga-tiga mereka sering diganggu samseng kampung.

Segalanya berubah apabila datang seorang pemuda dari kota, Mie (Zach). Sejak itu pelbagai peristiwa pelik dan menakutkan berlaku. Saksikan filem yang akan ‘berasap’ di pawagam pada 22 Disember ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: