Wednesday, October 26, 2011

Skuad karate negara optimis rangkul enam pingat emas


BERSEMANGAT... Barisan atlet karate negara yang akan menggalas cabaran pada temasya Sukan SEA di Indonesia bulan depan.


JURULATIH P. Arivalagan yakin skuad karate negara yang akan beraksi pada Sukan SEA di Indonesia bulan depan mampu merangkul sekurang-kurangnya enam pingat emas.

Meskipun angka itu melebihi sasaran rasmi empat emas Persekutuan Karate Malaysia, beliau tetap yakin kerana jangkaan berdasarkan prestasi semasa anak-anak buahnya yang telah menjalani persediaan rapi termasuk menyertai beberapa kejohanan besar.

"Secara peribadi, sebagai jurulatih, saya percaya kita mampu dapat enam (emas). Malah kesemua 10 kategori yang kita sertai mempunyai potensi untuk emas," katanya semalam.

Beliau berkata, pihaknya kini membuat persediaan akhir termasuk mengatur strategi bagi menghadapi lawan, khususnya pencabar utama dari Vietnam dan Indonesia.

"Vietnam akan menghantar barisan pelapis memandang ramai atlet senior mereka sudah bersara. Melalui pemerhatian saya pada kejohanan di Istanbul bulan lepas, atlet kita termasuk pelapis lebih mantap daripada pengganti mereka.

"Indonesia juga mempunyai atlet karate yang handal, apatah lagi sukan itu merupakan sukan yang popular di sana, namun saya yakin atlet kita sudah lebih ke hadapan," katanya.

Seramai 21 atlet negara termasuk pemenang pingat emas Sukan SEA 2009, G. Yugneswary, G. Yamini dan Jamalliah Jamaludin akan bertanding pada temasya itu menerusi kategori kumite dan kata.

Skuad terbabit akan berlepas ke Jakarta pada 10 November depan, manakala acara dijadual berlangsung dari 12 hingga 14 November.

Sukan karate antara penyumbang utama pingat emas kepada kontinjen Malaysia dalam pelbagai temasya termasuk enam emas pada Sukan SEA 2009 di Laos dan dua emasa pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: