|
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengkaji semula harga tiket final Piala Malaysia antara Terengganu dan Negeri Sembilan yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Menurut Ahmad Shabery, harga tiket untuk semua tempat duduk itu dianggap mahal bagi peminat-peminat bola sepak yang kurang berkemampuan.
Katanya, harga tiket RM50 berbanding RM30 yang dijual pada aksi final Piala Malaysia sebelum ini adalah satu peningkatan yang mendadak.
"Bagi mereka yang datang seorang mungkin tidak ada apa-apa tetapi bagi mereka yang datang satu keluarga adalah melibatkan jumlah kos yang besar.
"Mungkin sebelum ini mereka hanya perlu membayar sebanyak RM150 untuk lima orang, tetapi sekarang RM250," kata Ahmad Shabery di Menara KBS di Putrajaya semalam.
Ahmad Shabery berkata, beliau sudah maklum perkara itu telah dipersetujui oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).
"Saya tidaklah begitu kecewa sekiranya harga tiket ini diumumkan lebih awal, tetapi bila dah masuk final keghairahan peminat sukan akan terhenti.
"Lebih-lebih lagi apabila bermain di Stadium Shah Alam yang orang ramai tahu mutu padang itu rendah," ujarnya.
Di Seremban, PBNS turut menegaskan bahawa harga tiket RM50 itu membebankan para penyokong.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, PBNS tidak bersetuju dengan harga yang ditetapkan kerana ia jelas melonjak dari harga tiket final Piala Malaysia musim lepas.
"Kita sendiri di peringkat PBNS tak setuju dengan harga tiket yang melonjak dari RM30 kepada RM50. Ramai yang meminta saya campur tangan, tetapi itu bukan bidang kuasa saya.
"Venue dan harga tiket, semua itu FAM yang tentukan, tetapi keputusan telah dibuat," katanya.
Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan turut kesal dengan tindakan FAM menaikkan harga tiket final Piala Malaysia musim ini.
Timbalan Presidennya, Mohd. Faidzul Mohd. Noh menyifatkan ia sesuatu yang membebankan peminat dan penyokong.
Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, harga tiket itu dianggap wajar kerana FAM terpaksa menanggung beberapa kos termasuk bayaran kepada pihak stadium selain beberapa faktor lain.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: