Wednesday, October 26, 2011

Er Yang, Hurul Ainul atlet terbaik


ER YANG (kanan) dan Hurul Ainul memegang trofi masing-masing selepas dinobat sebagai Olahragawan dan Olahragawati MSSNS 2010.


PEMAIN tenis dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Paul, Khoo Er Yang, 17, dinobatkan sebagai Olahragawan Majlis Sukan Sekolah Negeri Sembilan (MSSNS) 2010.

Hurul Ainul Abu Razak, 18, bekas pelajar SMK Puteri yang juga seorang pemain boling pula dinobatkan sebagai Olahragawati MSSNS 2010.

Kedua-dua mereka menerima sijil, piala iringan serta piala pusingan dan wang tunai RM1,000 buat kali kedua berturut-turut selepas memenangi anugerah yang sama pada tahun lalu.

Er Yang berkata, dia tidak menduga akan menerima penghargaan itu dua kali berturut-turut dan mahu ia dijadikan sebagai pembakar semangat untuk terus maju dalam sukan tersebut.

"Tidak sangka menerima anugerah ini kerana saya terpaksa bersaing dengan ramai calon yang hebat.

"Saya jadikan anugerah ini sebagai dorongan untuk berusaha dengan lebih gigih bagi mencapai kejayaan yang lebih baik," katanya.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli dan Pengarah Loji Penapisan ESSO Malaysia Berhad, Abu Bakar Siddik Embi.

Sementara itu, Hurul Ainul pula berkata, anugerah berkenaan disifatkan membakar semangat untuk terus mencipta kejayaan dalam sukan boling.

"Terima kasih kepada semua yang banyak membantu dalam memberikan sokongan sepanjang saya berkecimpung dalam sukan ini sehingga merangkul anugerah ini untuk kali kedua," katanya.

Sementara itu, Mohammad Efiezal Redza Mohd. Yusof, 13, dan pemain tenis, Nurin Nabilah Roslan masing-masing dinobatkan Juara Muda Putera dan Puteri.

Meria Melisa Mohd. Mohtiar, 15, dan Abdul Hakim Abdul Khalib, 15, masing-masing menerima Anugerah Putera dan Puteri Pendidikan khas.

SMK Bukit Mewah dan Sekolah Kebangsaan Sikamat, Seremban masing-masing menerima Anugerah Sekolah Cemerlang Sukan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: