Friday, October 7, 2011

Derma darah selamat nyawa


Kafe di Pusat Darah Negara yang menyediakan minuman dan makanan ringan percuma untuk penderma.


JIKA anda bukan seorang penderma darah, Pusat Darah Negara mungkin satu tempat yang tidak pernah terfikir untuk kunjungi.

Dari luar, bangunan yang terletak di Jalan Tun Razak berhadapan dengan Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur itu mungkin nampak lengang.

Namun, apabila melangkah masuk kita akan dapat melihat pelbagai aktiviti yang berlaku dan orang ramai yang hadir ke situ hanya dengan satu hasrat - membantu menyelamatkan nyawa orang lain.

Tanpa memikirkan siapa, keturunan dan agama, para penderma darah itu merupakan insan budiman yang tidak mengharapkan apa-apa balasan.

Pakar Patalogi (Hematologi) Pusat Darah Negara (PDN), Dr. Norris Naim berkata, tanpa penderma itu PDN tidak mungkin dapat berfungsi dan tidak mungkin ia mampu memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat.

Menurut Dr. Norris, pada tahun 2001 jumlah kutipan darah di seluruh negara adalah sebanyak 384,711 unit dan ia meningkat kepada 590,517 unit pada tahun 2010.

Hari ini katanya, bekalan darah di PDN terus meningkat disebabkan peningkatan rawatan moden seperti transplant, peningkatan bilangan hospital di peringkat kerajaan dan swasta, pelancongan perubatan serta kesedaran kesihatan.

Terdapat tiga golongan utama yang menyumbang kepada bekalan darah di negara ini iaitu orang awam, golongan pelajar (sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta) dan juga anggota polis serta tentera.

''Bagi sesetengah orang mungkin berasa takut apabila mendengar prosedur menderma darah.

"Namun PDN sentiasa berusaha meyakinkan masyarakat bahawa menderma darah bukanlah sesuatu yang menyakitkan.

"Ia tidak mengambil masa yang lama dan membantu meningkatkan kesihatan si penderma sendiri.

''Penderma yang pertama kali menderma kemudiannya boleh memberitahu kepada rakan-rakan dan saudara-mara bagi menggalakkan mereka untuk turut menderma.

''Kami mempunyai ramai penderma daripada golongan pelajar yang terus menderma walaupun setelah mereka bekerja.

"Mereka kemudian membantu menganjurkan kempen menderma darah di tempat kerja masing-masing,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau mengakui, memang wujud pelbagai mitos dalam masyarakat yang berpendapat penderma darah akan menjadi lesu dan gemuk.

Itu semuanya katanya tidak berasas kerana setakat ini tiada bukti saintifik yang menyatakan pendermaan darah akan menyebabkan kegemukan.

Jika gemuk selepas menderma, itu adalah kebetulan kerana kurang senaman, kurang aktiviti dan makan banyak.

Sebahagian daripada penderma akan berasa sedikit letih selepas menderma namun keadaan itu adalah sesuatu yang dijangkakan.

Namun ia bersifat sementara kerana sistem badan akan mengambil sedikit masa untuk pulih dan menggantikan jumlah darah yang telah didermakan.

Dengan pengambilan lebih banyak air serta rehat yang secukupnya, masalah ini akan dapat diatasi.

Pihak PDN dan tabung darah hospital-hospital seluruh negara turut membekalkan pil zat besi dan asid folik kepada penderma sebagai suplemen untuk proses penggantian semula sel darah merah.

Dr. Norris menjelaskan, secara amnya terdapat dua jenis pendermaan darah, iaitu darah utuh (whole blood) dan aferesis.

''Darah utuh (mudah dan singkat) hanya mengambil masa kurang daripada 15 minit pada masa pendermaan.

"Aferesis pula mengambil masa proses pendermaan selama satu jam. Pendermaan ini hanya dilakukan atas penderma terpilih daripada kumpulan penderma utuh sahaja.

''Selain daripada masa pendermaan, seseorang penderma itu hanya mengambil masa lebih kurang 40 minit sahaja untuknya berada di PDN.

''Setiap kali selepas menderma darah, penderma dinasihatkan untuk menekan kuat pada bekas cucukan jarum sambil berehat sekurang-kurangnya 10 minit di atas katil sebelum bangun.

"Mereka juga boleh mengambil sedikit minuman dan makanan ringan yang disediakan sebelum meninggalkan tempat pendermaan, mengambil sebiji tablet zat besi dan asid folik yang dibekalkan sehari sekali selepas makan. Ini akan membantu membina kembali sel-sel darah merah yang telah didermakan.

''Selepas menderma darah mereka juga akan dinasihatkan berhati-hati semasa memandu atau sewaktu bekerja menggunakan mesin, elakkan daripada aktiviti sukan yang berat, elakkan minuman keras, lebihkan minum air dan jika terasa pening atau pitam, baring selama beberapa minit dengan kedua-dua kaki dinaikkan melebihi paras kepala,'' sambung Dr. Norris.

Mengenai jenis darah yang amat berkurangan dan begitu diperlukan di PDN katanya, semua jenis darah sama ada A,B,O dan AB amat diperlukan pada setiap masa.

Namun pada masa-masa tertentu terdapat juga keadaan di mana ada jenis-jenis darah yang spesifik yang kerap diperlukan atau sering tidak mencukupi.

Ini kerana ia bergantung kepada keperluan pesakit-pesakit yang memerlukan pemindahan darah.

Sebagai contoh, jika pada sesuatu masa ramai pesakit berdarah A yang memerlukan darah maka darah jenis itu yang sangat diperlukan.

Setiap hari ujarnya, PDN membekalkan 400 hingga 450 unit darah merah ke hospital-hospital kerajaan dan swasta di Lembah Klang.

Pihak kerajaan mengenakan caj minimum bagi darah yang dibekalkan ke hospital swasta bagi menampung kos perkhidmatan ujian saringan dan penyediaan darah.

''Justeru setiap hari PDN mengharapkan sekurang-kurang 450 orang datang menderma darah bagi menampung darah yang telah dibekalkan ke hospital-hospital.

"Ada harinya jumlah itu tercapai dan ada yang tidak yang akan mengakibatkan stok darah berkurangan," kata Dr. Norris.

Dalam pada itu bagi memastikan darah yang didermakan selamat daripada sebarang penyakit, pihak PDN melaksanakan beberapa langkah keselamatan sepanjang proses pendermaan.

Ia bermula daripada pemilihan penderma, kriteria pendermaan yang ketat, kaunseling pra-pendermaan hinggalah pengisian borang pengakuan penderma.

Selain itu PDN juga memberi latihan dan pendidikan yang berterusan kepada pegawai perubatan atau jururawat terlatih dan membuat ujian saringan bagi jangkitan Hepatitis B, Hepatitis C, sifilis dan HIV serta kawalan setiap prosedur agar mematuhi piawaian tertentu.

''Pengumpulan darah daripada penderma sehingga diberikan kepada pesakit adalah satu rangkaian proses yang begitu penting dan mesti menepati pelbagai prosedur kualiti yang ketat kerana darah adalah bahan biologikal yang mudah rosak.

''Selepas darah diambil daripada penderma, penyimpanan dan pengangkutan darah mestilah dikekalkan pada suhu 20-24 darjah celsius sehinggalah darah tersebut sampai ke makmal pemprosesan.

"Seterusnya darah utuh diproses kepada pecahan produk yang diingini dengan cara pengubahsuaian suhu, perbezaan waktu pemprosesan, tambahan bahan-bahan aditif dan sebagainya," kata Dr. Norris.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: