Monday, October 24, 2011

Palivion Malaysia warnai pameran Perth


PARA pengunjung berpusu-pusu mengunjungi Pavilion Malaysia pada Perth Royal Show baru-baru ini.


PERTH 23 Okt. – Dari barangan kraf, sejuk beku dan makanan kering, usaha mencari pasaran baru di benua Australia banyak memberi pengalaman baru kepada para usahawan bumiputera Malaysia.

Penyertaan 33 usahawan itu di Pavilion Malaysia pada pameran Perth Royal Show di Perth dari 1 hingga 8 Oktober, bukan sahaja membuka peluang-peluang perniagaan baru malah memberi pengalaman berguna kepada dunia usahawan.

Kehadiran para usahawan itu dengan pelbagai barangan secara tidak langsung mengiktiraf kemampuan produk 1Malaysia selain membuktikan standard tinggi produk-produk keluaran bumiputera.

Memang sukar menembusi pasaran Australia kerana pihak berkuasa negara berkenaan telah menetapkan piawaian yang amat tinggi, ditambah pula pelbagai sekatan dikenakan terhadap barangan luar.

Namun, usaha bersungguh-sungguh para usahawan Malaysia melalui Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn. Bhd. (Komita) terbukti berjaya menembusi sekatan berkenaan.

Berikutan itu, pelbagai produk seperti kerepek ubi, pisang, makanan sejuk beku seperti karipap, samosa, pau goreng, martabak, petai jeruk, tempoyak dan rempah ratus untuk masakan bukan sahaja berjaya diperkenalkan kepada pengunjung di pameran tersebut malah kini ia membuka pasaran baru di benua Australia.

Jenama produk yang diperkenalkan seperti martabak Raja, Dapurku, Vias, Trg Leather dan banyak lagi, berjaya memikat para pengunjung.

Turut menyertai Pavilion Malaysia ialah Felda, GiatMara dan beberapa syarikat milik bumiputera.

Penyertaan para usahawan itu memberi keyakinan lebih meluas kepada usahawan-usahawan Malaysia yang lain untuk memasarkan barangan masing-masing ke Australia dengan Perth sebagai ‘pintu permulaan’.

Setiausaha Komita, Suriati Rahman berkata, penyertaan para usahawan bumiputera itu membuka banyak peluang perniagaan, di samping dapat meninjau pasaran terhadap barangan-barangan yang diperkenalkan.

Katanya, penduduk Australia mempunyai cita rasa tersendiri dan sentiasa menitikberatkan produk terutama barangan makanan harian.

‘‘Sepanjang Perth Royal Show berlangsung, banyak boleh dipelajari terutama mengenai jenis produk yang menjadi pilihan penduduk Australia.

‘‘Ini termasuk mereka yang menggemari produk sayur-sayuran. Penduduk Australia juga mengutamakan setiap kandungan produk serta penggunaan bahan-bahan di dalam produk berkenaan.


Mohd. Izurin Azman (kanan) bersama para pengunjung yang tertarik dengan produk-produk keluaran syarikat berkenaan terutama kerepek ubi di Pavilion Malaysia.


‘‘Inilah yang menjadi cabaran kepada usahawan bumiputera dalam menampilkan produk masing-masing untuk dipasarkan di Australia,” katanya.

Sepanjang pameran Perth Royal Show, para usahawan bumiputera yang menyertai Pavilion Malaysia bersungguh-sungguh mempromosikan barangan masing-masing memandang saingan hebat daripada pengusaha-pengusaha Australia sendiri.

Untuk menarik kehadiran penduduk Australia mengunjungi Pavilion Malaysia bukan suatu perkara yang mudah dan sehubungan pelbagai cara digunakan selain tawaran harga barangan lebih murah.

Pavilion Malaysia juga menggunakan pendekatan pertunjukan seni budaya tradisional seperti permainan sepak raga, gasing, congkak, kompang, majlis perkahwinan tradisional, tarian Melayu, tarian singa, seni mempertahankan diri dan banyak lagi.

Turut diadakan ialah kuiz untuk para pengunjung dengan hadiah menarik seperti tiket kapal terbang pergi balik dan pakej melancong ke Malaysia.

Semua keunikan dari promosi ditampilkan oleh Pavilion Malaysia itu bertujuan menarik kehadiran pengunjung.

Suriati menambah, penyertaan usahawan bumiputera itu dimanfaatkan sepenuhnya memandangkan Malaysia telah dipilih sebagai ‘Negara Jemputan’ ke pameran berkenaan.

Dengan kata lain, tiada negara luar selain Malaysia yang diberi penghormatan untuk mempromosi dan mempamerkan produk-produk keluaran sendiri.

Atur cara yang disusun berjaya menarik kehadiran pengunjung dan pada hari pertama pembukaan lebih 10,000 pengunjung terpesona dengan Pavilion Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Muslim Best Marketing Sdn. Bhd., Mohd. Izurin Azman yang turut menyertai pameran Perth Royal Show memberitahu, pihaknya menampilkan pelbagai produk terutama kerepek ubi.

‘‘Muslim Best memperkenalkan beberapa perisa kerepek ubi.

‘‘Kebanyakan penduduk Australia menggemari makanan sayur-sayuran dan sebab itu kerepek ubi keluaran Muslim Best mendapat sambutan ramai,’’ katanya.

Bagi Pengurus Kilang Anita Fragrance Cosmetic Laboratory, Fazli Abdullah pula, produk sabun semula jadi yang ditampilkan oleh pihaknya turut mendapat sambutan pengunjung.

Menurutnya, pengunjung begitu tertarik dengan sabun dari lumpur gunung berapi.

‘‘Kami menawarkan harga yang amat rendah selain pembungkusannya menampilkan ciri-ciri 1Malaysia,’’ katanya.

Pada hari terakhir Perth Royal Show, majlis perasmian penutup di Pavilion Malaysia turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan yang meninggalkan nostalgia kepada pengunjung.

Adalah menjadi harapan agar Pavilion Malaysia itu menjadi batu loncatan kepada para usahawan bumiputera bertapak dan meluaskan lagi perniagaan mereka ke benua Australia melalui One Malaysia Mart yang akan bertapak di Perth sebelum diperluaskan ke seluruh Australia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: