Sunday, October 2, 2011

Kreativiti Faisol belum pudar

UNIK...kebaya unik Jendela KL.
UNIK...kebaya unik Jendela KL.

TATKALA rakan sebaya memegang buku rujukan tebal dan memanjat tangga kolej selepas keputusan Malaysian Certificate of Education (MCE) diumumkan, lelaki ini pula meniti platform pesawat syarikat penerbangan gergasi negara sambil melayan pelanggan yang bersedia untuk meninggalkan bumi Malaysia.

Pada saat temannya sibuk mennelaah nota bagi menghadapi peperiksaan, situasi berbeza bagi pemilik dan Ketua Pegawai Eksekutif Jendela KL, Faisol Abdullah, apabila seronok menikmati hidup dan budaya di negara asing ketika bergelar pramugara pada usia 21 tahun.

  • Foto

    MENARIK...antara fesyen dihasilkan Faisol.

  • Foto

    PELBAGAI...motif batik pada set cawan.

Beliau yang ditemui di galeri jualan dan pejabat miliknya di Starhill Gallery, Bukit Bintang mengakui meminati profesion berkait rapat dengan orang ramai dan sentiasa teruja apabila mengenali individu berlainan ketika menjalankan rutin kerjanya.

Pengalaman berkhidmat untuk pesawat peribadi ke Sabah antara kenangan yang tidak mampu dilupakan apabila terpaksa memakai pakaian seragam diperbuat daripada kain berbulu (wool) dalam keadaan tiada penyaman udara.


Sejak itu, dia mengakui biarpun masalah pakaian dikategorikan kecil, ia memberi impak besar kepada individu, terutama dalam menjalankan tanggungjawab.


Tujuh tahun berkecimpung dalam dunia perkhidmatan di udara, Faisol membuat keputusan meletakkan jawatan biarpun ketika itu memegang tanggungjawab besar sebagai Pramugara Utama dengan pendapatan lebih RM2,000 sebulan.

Apabila terlalu kerap ‘terbang’ ke negara asing, beliau mula mencari haluan berbeza dan lahir keinginan untuk mengorak kerjaya dalam bidang perhotelan meskipun menyedari banyak pendedahan diperoleh daripada syarikat penerbangan gergasi terbabit.

Menganggap pengalaman hidup sebagai ilmu dan guru paling berharga, Faisol optimis dengan karier industri perhotelan sebelum menjawat jawatan pelatih kaunter di hotel bertaraf lima bintang selama tujuh bulan.

Ibarat bulan jauh ke riba, beliau ditemukan semula dengan seorang teman berasal dari Dubai yang kemudian ditawarkan pekerjaan di hotel milik keluarganya di bandar Asia Barat itu.

Berpandangan jauh mengembangkan kerjaya, Faisol memberanikan diri merantau ke negara asing bagi menjalani latihan bankuet selama dua tahun.

“Ketika di Dubai, saya rasakan seolah-olah berada di ‘mini world’ apabila pelbagai bangsa termasuk Portugis, Syria, Jerman dan Sri Lanka mampu bekerjasama dengan baik biarpun berlaku pergolakan di negara jiran.

“Terlalu seronok berada di sana, malah saya pernah terfikir untuk mendapatkan taraf penduduk tetap (PR) dan membina rumah di Dubai,” katanya.

Namun apabila menyedari industri perhotelan negara mula bercambah, beliau akhirnya pulang ke Malaysia untuk berkongsi pengalaman yang ditimba ketika di Asia Barat biarpun hatinya berbelah bahagi meninggalkan negara yang mula mendapat tempat di hati itu.

Menganggap dirinya sentiasa bertuah, beliau menerima tawaran bekerja di sebuah hotel tiga bintang di Pulau Langkawi yang beribu pejabat di kepulauan Maldives dengan jawatan pengurus besar.

Tiga tahun memegang jawatan sebagai ‘orang besar’ di hotel berkenaan, Faisol ditawarkan pula pekerjaan menyeronokkan oleh individu kenamaan yang memiliki resort bertaraf lima bintang di Pulau Langkawi iaitu Tanjung Rhu Resort.

Diamanahkan tugasan penting untuk menganjurkan program berbentuk pertukaran seni, lelaki gigih ini menyifatkan ia sebagai cabaran menarik apabila berpeluang berkenalan dengan golongan artistik, termasuk profesional dan tidak profesional.

Namun lebih mengujakan Faisol adalah pertemuan pertama dengan isteri pertama bekas Perdana Menteri kelima, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood di Pulau Langkawi ketika sesi lawatan menyaksikan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA), sembilan tahun lalu.

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, pertemuan itu merubah kehidupan Faisol apabila Endon mempelawa menyertai perniagaan butik batiknya, Jendela Batik di Damansara Heights.

Sememangnya mengagumi tokoh wanita yang terkenal dengan pemakaian batik secara moden itu, pada mulanya beliau ragu untuk menerima pelawaan berkenaan, namun Endon dikatakan bijak ‘menarik’ dirinya menyertai perniagaan itu.

Disajikan dengan persembahan orkestra yang merdu di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) dan pameran pakaian batik menarik serta indah membuatkan Faisol teruja, sekali gus menyatakan persetujuan menyertai Jendela Batik ketika itu.

Ketika menyatakan keinginan itu, beliau mengakui tidak mengetahui apa sebenarnya batik, namun pada pandangannya ia sememangnya cantik dan unik.

Memegang peranan sebagai wanita pertama negara ketika itu, Endon kemudian menawarkan Faisol mengambil alih Jendela Batik pada 2004, sebelum ditukarkan kepada Jendela KL dan berpindah ke Starhill Gallery dalam tahun sama.

Menerima banyak pendedahan mengenai seni, Faisol membuat keputusan mempelbagaikan produk bermotifkan batik dengan mengambil kira aspek Asli, Ikat Celup, Warna, Alam dan Kontemporari.

Selain aktif mencetuskan idea menghasilkan fesyen terkini batik, Jendela KL menghasilkan produk gaya hidup seperti memasukkan motif batik pada sarung kusyen, set pinggan, set cawan serta kulinari.

Jendela KL yang memiliki nama besar dalam fesyen batik dunia dan memiliki cawangan di Four Seasons Resort Hotel, Pulau Langkawi turut menerima pengiktirafan Pereka Inovatif STYLO untuk dua tahun berturut-turut pada 2008 dan 2009.

Industri batik semakin berkembang apabila syarikat korporat dan kerajaan turut mempromosikan batik menerusi pakaian seragam, yang kebanyakannya diilhamkan oleh Jendela KL.

Terbaru, syarikat penerbangan tambang murah, Firefly menampilkan pakaian kasual bertemakan batik moden dan dihasilkan daripada fabrik lembut cetusan Jendela KL.

Mengulas idea menghasilkan fesyen terbaru, Faisol lebih senang memerhatikan orang ramai di persekitarannya yang dianggap pereka kepada fesyen dipakai mereka seperti di tepi jalan dan kedai kopi.

Pernah menyaksikan wanita berpakaian baju kurung diperbuat daripada sifon dan terpaksa meredah hujan membuat lelaki ini lebih bersemangat menghasilkan pakaian selesa mengikut keperluan si pemakai.

Biarpun berusia lebih 50-an, Faisol masih kreatif memberi idea baru kepada Jendela KL namun mengakui memerlukan bakat muda untuk meneruskan kesinambungan seni batik ke mata dunia.



PROFIL:

NAMA: Faisol Abdullah
JAWATAN: Ketua Pegawai Eksekutif Jendela KL
LAHIR: 29 April 1956
ASAL: Petaling Jaya, Selangor
STATUS: Bujang
ADIK-BERADIK: Ketiga daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Malaysian Certificate of Education (MCE) di Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle (1973)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: