Sunday, October 23, 2011

Peluang terbuka untuk orang muda


Pengarah terkenal Ahmad Idham menerangkan sesuatu ketika diajukan soalan oleh para peserta di Forum Karyawan Filem Muda di Finas baru-baru ini.


PERBINCANGAN, serta perkembangan idea-idea baru perlu kerap dilakukan bagi memastikan pergerakan pembikinan filem yang lebih bermutu berada pada landasan yang sepatutnya.

Perbincangan yang diadakan ini juga perlulah meliputi segala segi keperluan bidang perfileman ketika ini, antaranya perbincangan bagi setiap skrip yang dihasilkan termasuk pengubahsuaian yang sepatutnya terhadap skrip tersebut.

Bagi pengarah filem dan drama yang sedang meningkat naik ketika ini, Ahmad Idham berkata, perkara ini sangat penting bagi menjaminkan kerjaya serta hala tuju industri ini terus meningkat sejajar dalam menjayakan matlamat sebuah negara maju pada tahun 2020 nanti.

"Persepsi, cita rasa dan idea-idea kreatif golongan karyawan muda ini begitu menarik, kreatif dan turut membawa suara tertentu yang tidak boleh sama sekali diabaikan oleh masyarakat sekeliling.

"Jumlah mereka yang baru muncul dalam industri ini semakin bertambah dari masa ke semasa, ini adalah perkembangan yang positif," ujarnya ketika menjadi panel dalam Forum Karyawan Filem Muda di Finas, Ulu Kelang, Khamis lalu.

Jumlah institusi pendidikan kerajaan dan swasta yang menawarkan kursus dan program yang berkaitan dengan bidang perfileman juga telah bertambah ketika ini.

Boleh dikatakan semua 20 buah IPTA dan lebih dari 100 IPTS menawarkan kursus-kursus berkaitan perfileman di negara ini.

Tambahnya lagi, setiap pelajar jurusan filem serta karyawan muda perlulah bersama membaik pulih segala permasalahan serta kekurangan yang timbul dalam setiap karya mereka.

Karyawan muda juga tidak perlu takut kepada bayangan mereka sendiri, tidak perlu takut sekiranya penggunaan bahasa menjadi permasalahan ketika ini.

Jika dilihat kepada filem dari Thailand misalnya, bahasa mereka juga tidak difahami di negara-negara lain, tetapi filem mereka telah meninggalkan karya-karya filem kita boleh dikatakan agak jauh ketika ini.

Di Indonesia misalnya, satu teater mini, telah dibina bagi setiap karyawan muda mereka mempersembahkan hasil buah tangan masing-masing dan dalam teater mini itu jugalah perbincangan antara mereka dilakukan bagi menambah baik produk yang mereka hasilkan itu.

Ujar Ahmad Idham lagi, jika dilihat perkembangan yang sedang pesat seperti ini, tidak mustahil karya filem kita juga boleh bertanding di tahap antarabangsa selepas ini.

"Secara tidak sengaja, perkembangan ini berlaku akibat dari perkembangan industri perfileman ketika ini, pengarah-pengarah yang menghasilkan filem ketika ini secara tidak langsungnya telah membakar semangat pengkarya-pengkarya muda.

"Perkara seperti ini perlu diteruskan dari generasi ke generasi agar semangat seperti ini tidak luntur," jelasnya.

Dalam pada itu, pembikin filem muda juga tidak perlu risau untuk mencari dana bagi menghasilkan produk mereka apabila Dana Industri Kreatif yang diperuntukkan oleh kerajaan sebanyak RM250 juta seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentang Bajet 2012 baru-baru ini boleh dipohon mereka.

Peluang sama rata diberikan bukan sahaja kepada penerbit filem Melayu tetapi juga penerbit filem dari pelbagai kaum meliputi pelbagai genre filem.

Menurut wakil dari Bank Simpanan Nasional (BSN), Abdullah Azizi Buyong berkata, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bagi menilai skrip-skrip filem daripada syarikat penerbitan yang mengemukakan permohonan.

"Asalkan filem yang dihasilkan adalah produk tempatan, peluang untuk memperoleh pinjaman bagi dana berjumlah antara RM50,000 hingga RM5 juta terbuka luas.

"Tujuannya bagi memastikan kualiti serta hasil filem yang memperoleh pinjaman dari dana tersebut mencapai mutu serta piawaian yang telah ditetapkan," jelasnya.

Tambahnya lagi, dengan adanya dana seperti ini, ia juga turut mempergiatkan pembangunan industri kreatif negara selaras dengan perkembangan teknologi terkini seperti program multimedia dengan perisian komputer.

Beliau berkata, dasar itu dapat mempercepatkan pelaku industri memperoleh pendapatan yang baik dan memartabatkan budaya yang tinggi menjelang Malaysia menjadi sebuah negara maju.

"Kadar faedah yang dikenakan untuk tempoh pembangunan pinjaman dana tersebut ialah dua peratus untuk tempoh satu hingga dua tahun manakala empat peratus untuk tempoh lima tahun," ujar Azizi.

Forum yang diadakan selama sehari ini telah dihadiri seramai 400 orang karyawan filem muda yang terlibat dengan penerbitan filem cereka, program televisyen , filem pendek, animasi, pembikin filem indie dan kandungan media baru khususnya pelajar tahun akhir IPTA dan IPTS seluruh negara.

Objektif forum yang dianjurkan oleh Institut Kesenian dan Kajian Media (Semesta) dengan kerjasama Finas ini diadakan bagi membincangkan perkara berkaitan dengan kerjaya, peluang dan peranan yang boleh dimainkan generasi karyawan filem muda dalam mengisi keperluan pada masa ini dan dalam menjayakan matlamat sebuah negara maju akan datang.

Wakil dari pelbagai agensi yang berkaitan dengan pembangunan industri filem, penyiaran dan kandungan kreatif seperti Finas, Perbadanan Pembangunan Multimedia (Mdec), Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti), Astro, TV3 dan RTM, persatuan-persatuan perfileman serta beberapa karyawan muda turut hadir.

Bagi kalangan pelajar, forum ini adalah permulaan bagi mereka membina jaringan dengan industri pekerjaan dan bidang pilihan mereka.

Para pelajar juga dapat memahami perkembangan terkini industri dan membolehkan mereka membina hubungan penting dengan pemain utama industri serta agensi yang berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: