Sunday, October 23, 2011

Ayu mahu lupakan sejarah hitam


Hilang bukan bermakna Ayu sudah lupakan bidang nyanyian.


MANA hilangnya Ayu? Rata-rata itulah soalan yang dilemparkan kepada penyanyi yang pernah menjuarai One In a Million (OIAM) musim kedua.

Ya. Kita sedang bercakap mengenai Norayu Damit, penyanyi lagu Hanya Di Mercu.

Itupun dengan hanya satu lagu sahajalah. Selepas itu, langsung tak ada khabar berita, lesap entah ke mana.

Tahu-tahu sahaja, sekarang sudah ada anak dua. Kali pertama dia menghilangkan diri, sewaktu semua orang kecoh mengenai dirinya yang sengaja bersembunyi gara-gara dikatakan hamil sebelum waktunya.

Tidak lama kemudian, dia muncul dan mengaku sudah berkahwin. Anak lelaki bernama Syed Nashrul Haikal itu adalah hasil perkongsian hidupnya bersama Syed Fauzi Syed Baharuddin, 24.

Seakan suka bermain teka-teki, Ayu tak lama kemudian kembali menghilangkan diri tanpa sebarang berita, menyebabkan ramai peminat tertanya-tanya.

Kini selepas setahun mendiamkan diri, Pancaindera berkesempatan bersua muka dengan wanita muda berusia 22 tahun ini yang ternyata punya cerita di sebalik apa yang berlaku.

Dia sudi berkongsi mengenai kehidupannya sebagai ibu kepada bukan sahaja Nashrul Haikal, 2, tetapi kepada puteri kedua Sharifah Alya Adriana yang kini berusia 3 bulan.

“Saya sekarang bahagia menjalani kehidupan sebagai isteri dan ibu kepada dua anak,” kata Ayu memulakan bicara.

Menurut Ayu, dia tidak pernah menghilangkan diri, cuma berehat ekoran sedang hamil anak keduanya.

“Saya pun tak faham kenapa orang cakap saya menghilangkan diri. Aktiviti seni saya masih ada, cuma tak kerap macam dululah.

“Mungkin sebab saya dah tak keluar di akhbar, majalah dan sebagainya lalu orang kata saya dah menghilang,” terang Ayu.

Sama seperti alasannya sebelum ini, anak kelahiran Putatan, Sabah ini mengulas tindakannya mendiamkan diri dari tempias dunia glamor buat kali kedua adalah kerana fokusnya terarah kepada keluarga.

Apalagi ketika itu, dia sedang mengandungkan anak keduanya itu.

“Masa mengandungkan anak kedua, saya banyak menghabiskan masa di Sabah.

“Itu atas permintaan mak sebab masa mengandungkan anak pertama, saya berpantang di rumah ibu mertua di Kuala Kangsar, Perak.

“Jadi untuk anak kedua, mak minta saya pulang sebab nak tengok-tengokkan sampailah saya bersalin.

“Sebab itulah saya balik sana, bukan sebab saya nak sembunyi lagi. Lagipun tak ada apa yang nak disembunyikan,” katanya.

Itu cerita lama

Sempat juga Pancaindera mengajukan pertanyaan kalau-kalau Ayu sebenarnya berkecil hati dengan layanan dunia seni terhadapnya.

Bukan apa, jujurnya, Ayu dilihat seperti menjadi mangsa keadaan kerana dari segi karier, dia seakan tidak mampu bergerak jauh walau punya bakat nyanyian yang cukup besar.

Apa yang tidak kena? Bimbang tutur katanya disalah tafsir, Ayu penuh wasapada mengaku kadangkala dia tidak dapat lari daripada merasakan dirinya diperlakukan begitu.

Bagaimanapun, kata Ayu, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana itu tidak akan mengubah apa-apa pun kecuali memburukkan.

“Hilangnya saya mungkin ada kena-mengena dengan perjalanan karier saya sendiri yang sedikit lembab.

“Album kedua saya dengan syarikat rakaman Monkey Bone pun masih dalam pembikinan dan mengambil masa agak lama untuk siap.

“Bila lambat siap, maka saya punya banyak masa terluang dan adakalanya, saya tak tahu apa yang perlu dibuat. Saya menunggu dan terus menunggu sampailah pihak syarikat memaklumkan perkembangan selanjutnya.

“Tapi saya faham memang suasana industri seni kita begini. Proses nak hasilkan benda berkualiti kena ambil masa sikit, saya percaya begitu. Sebab itu saya cakap, saya tak salahkan sesiapa.

“Saya harap janganlah ada pihak kata yang pekara ini terjadi kerana saya ada masalah dengan syarikat rakaman. Walhal sebenarnya kami tidak ada masalah. ” katanya bersungguh.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai kebarangkalian syarikat berbuat begitu kerana kontroversi kehilangannya sebelum ini, Ayu melahirkan rasa kurang selesa.

Baginya, kontroversi dia mendiamkan diri tidak ada kena-mengena dengan tindakan syarikatnya itu.

Malah, kata Ayu, sebolehnya, dia tidak mahu orang asyik mengungkit perkara silam itu yang baginya cuma tinggal sejarah hitam dalam hidupnya kini.

“Kalau boleh tak mahu ingat langsung pasal hal lama tu. Pada saya, terpulanglah apa orang nak cakap. Saya tak boleh nak tutup mulut orang, bukan?

“Janji saya hidup bahagia dengan suami, anak-anak dan keluarga, itu sudah cukup,” tegasnya yang percaya, pembaca mungkin akan muak dengannya jika wajah dan cerita mengenainya sering dijaja semberono di dada akhbar atau majalah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: