Monday, October 10, 2011

Kenapa Malaysia Jadi Pilihan Mereka

Sebahagian daripada pelajar luar negara yang sedang mengikuiti pengajian di USM.

KEPELBAGAIAN bangsa, agama dan budaya secara tidak langsung menjadi ‘umpan’ utama negara bagi menarik minat pelajar luar negara melanjutkan pengajian di Malaysia.

Keunikan ini, ditambah faktor keamanan dan kedudukan strategik negara di peta dunia menyebabkan kebanyakan pelajar dari Eropah, Asia Barat dan negara Asia lain memohon menyambung pengajian mereka di sini khususnya di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Selain itu, yuran berpatutan dan kos sara hidup yang tidak membebankan juga menjadi salah satu sebab mengapa Malaysia menjadi pilihan.

Kelebihan-kelebihan seperti ini dianggap amat berguna oleh pelajar luar negara yang sentiasa mahu mencari pengalaman baru sebanyak mungkin di negara orang, tidak hanya menelaah semata-mata.

Sama ada mereka mengikuti program sepenuh masa atau separuh masa, yang pasti kehadiran mereka sentiasa disambut baik warga universiti tempatan, selaras sifat masyarakat Malaysia yang kaya dengan kesantunan dan budi bahasanya.

Secara tidak langsung, kehadiran mereka di kampus universiti tempatan memberi gambaran bahawa IPTA di Malaysia tidak kurang hebatnya dan mempunyai keistimewaannya sendiri dari sudut pandangan warga asing.

Antara IPTA yang menjadi pilihan pelajar asing termasuklah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan institusi lain seumpamanya.

USM yang sebelum ini mempunyai keistimewaan dari segi lokasinya yang terletak di bahagian pulau kini mempunyai tarikan baru selepas dipilih sebagai universiti pertama di Malaysia di bawah Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (Apex) oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 2008.

Status Universiti Apex yang dipegang universiti kedua tertua negara ini nyata membuka mata ramai pihak, khususnya yang terlibat dalam organisasi akademik global.Begitu juga UPM yang diisytiharkan sebagai salah sebuah Universiti Penyelidikan (RU) di Malaysia.

Status ini menyebabkan pelajar dari luar negara tidak lagi teragak-agak mengisi borang permohonan melanjutkan pengajian di negara ini, malah berlumba-lumba untuk berbuat demikian.

Semua ini berlaku setelah melihat usaha kementerian dan pendekatan inovatif yang diperkenalkan dalam mewujudkan dimensi baru dalam akademik pengajian tinggi di Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: