BUKAN tidak pernah dikritik tetapi Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18) pada tahun ini barangkali berdepan kecaman dan cabaran yang paling hebat. Ia seiring dengan cabaran penjualan bahan muzik yang jatuh merudum gara-gara trend penjualan muzik secara digital yang kini menjadi fenomena di seluruh dunia.
Sejak pengumuman jumlah kategori yang dipertandingkan sehinggalah kepada pemberitahuan senarai pencalonan, episod sidang media AIM18 tidak pernah tenang sebaliknya berakhir dengan emosi tegang. Ada sahaja isu yang tidak dapat dileraikan.
Menjelang malam kemuncak AIM18 yang dijadualkan pada 12 November nanti, bahang kepanasan AIM18 belum bersisa. Belum selesai kaedah penjurian dan pencalonan yang dipertikaikan sesetengah karyawan, isu boikot-memboikot kini mengisi dewan sidang akhbar.
Biarpun tiada sepanduk atau demonstrasi, ombak gerakan memboikot AIM18 dikatakan berlaku secara senyap melibatkan individu dan pihak yang tidak puas hati terhadap penganjuran AIM tahun ini. Resolusi boikot termasuk tidak mahu memberikan sokongan kepada sebarang aktiviti promosi atau terlibat pada malam kemuncak nanti.
"Saya ada terdengar tentang boikot ini. Siapa yang boikot itu, rasanya kami tahu, tetapi tidak perlulah ia diperbesarkan. Memang susah untuk memuaskan hati semua pihak lagipun tahun ini banyak perubahan besar yang dilakukan. AIM18 juga kali pertama dikendalikan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).
"Sekarang, kami tidak boleh hentikan soal orang tidak puas hati, mungkin selepas penganjuran AIM nanti baru boleh kita perbaiki semula kelemahan tahun ini. Bagaimanapun, saya harap isu boikot ini sekadar satu khabar angin," jelas Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penganjur AIM18, Andrian Lim yang ditemui pada majlis pengumuman barisan penyampai dan persembahan artis AIM18 di ibu negara.
Menambah kenyataan daripada Adrian, Rosmin Hashim yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur AIM18 menjelaskan, tiada sebab kenapa orang dalam industri harus memboikot majlis berkenaan kerana jelas penganjurannya sendiri bermotif untuk meraikan dan memberi pengiktirafan kepada karyawan muzik tempatan.
"Saya faham hasil penjurian AIM18 tidak memuaskan hati semua pihak, tapi ia dilakukan oleh juri profesional yang dilantik.
"Selepas malam kemuncak nanti, mungkin pada pertengahan November, kami akan adakan satu sesi bedah siasat antara jawatankuasa penganjur, karyawan dan media. Di situ nanti, saya harap semua aspek penganjuran AIM18 akan dibincangkan. Saya alu-alukan pandangan semua pihak untuk memperbaiki segala kekurangan AIM18," kata Rosmin.
|
|
Memandangkan aspek penjurian paling banyak dipersoalkan ketelusannya, kemungkinan pihak RIM akan menimbangkan kewajaran mengambil komposer atau pemuzik profesional dari luar sebagai jalan penyelesaian AIM.
"Anugerah ini untuk memberi pengiktirafan kepada karyawan tempatan, objektif itu jelas, jadi ia juga harus dinilai oleh karyawan tempatan sendiri, jadi kemasukan komposer import sebagai juri pada AIM akan datang tidak akan berlaku," tegas Rosmin yang melihat segala kritikan terhadap AIM18 satu aliran yang positif.
"Itu tandanya kecintaan orang kita terhadap industri muzik sangat menebal. Saya lihat kritikan itu sebagai satu perkara yang positif. Kami harap usaha ke arah memperbaiki AIM khususnya dalam aspek penjurian pada November nanti akan dapat dilakukan," katanya.
Mengambil tempat di Stadium Putra, Bukit Jalil, kemuncak AIM18 pada 12 November nanti memilih Persada Bergermelapan dan Glamor sebagai tema malam anugerah.
Selain para artis yang bertanding dalam 18 kategori anugerah, seramai 20 artis termasuk Datuk M. Nasir, Nora, Sarimah Ibrahim, Iwan, Remy Ishak, Neelofa, Siti Saleha, Ziana Zain, kumpulan Search serta ramai lagi diundang sebagai penyampai trofi.
Acara yang akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria itu juga memperkenalkan AC Mizal dan Zizan Raja Lawak sebagai pengacara majlis. Ia akan digegarkan dengan persembahan daripada Ella, Jaclyn Victor, Shila Amzah, Ning Baizura, Mawi, Exist, Azlan and The Typewriter, Meet Uncle Hussein featuring Hazama, 6ixth Sense, Yuna, Stacy serta ramai lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: