Tuesday, October 25, 2011

Mentaliti Kita Punca Tempat Awam Kotor

Dr Asnarulkhadi

MENTALITI, sikap dan budaya masyarakat Malaysia banyak mempengaruhi kebersihan dan identiti sesebuah kawasan.

Hal ini berbeza dengan identiti individu yang banyak didorong oleh kesedaran yang timbul dalam diri masing-masing.

“Masyarakat di Malaysia sama ada di kampung atau bandar rata-rata menjaga kebersihan diri. Tidak cukup dengan kebersihan, imej dan fesyen mereka juga sentiasa mengikut perkembangan semasa.

“Tetapi, kebersihan kawasan terutama di tempat awam masih menjadi isu di negara ini,” kata Pensyarah Pembangunan Komuniti, Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Dr Asnarulkhadi Abu Samah kepada Mingguan mStar.

Menurut Dr Asnarulkhadi lokasi-lokasi yang sering dikaitkan dengan imej negatif dari segi kebersihan termasuklah kilang dan kawasan perindustrian, restoran, gerai makan serta pasar.

“Di sesetengah kedai makan misalnya, hanya luaran nampak bersih tapi kebersihan di lorong belakang atau dapur diabaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan dan sikap sesetengah peniaga di sekitar kawasan Chow Kit yang kurang mementingkan kebersihan di tempat mereka.

Mengulas lanjut, Dr Asnarulkhadi berkata, isu ini sangat berhubung kait dengan peniaga dan pelanggan.

Pasar meriah dan berkonsep terbuka bukan sahaja unik di mata masyarakat Malaysia, tetapi juga pelancong asing.

Katanya, peniaga generasi kini khususnya di sekitar Chow Kit perlu berfikiran lebih matang dan berpandangan jauh agar pelanggan dan perniagaan mereka terus diterima.

“Mereka perlu buang jauh-jauh persepsi pasar atau peniaga jalanan tidak dapat dipisahkan dengan terma negatif.

“Walau berniaga di pasar atau menjaja di tepi jalan, mereka perlu buktikan mereka juga mengutamakan kebersihan dan imej positif.

“Di negara luar, terdapat banyak pasar basah tetapi pengunjungnya dapat membeli dengan selesa tanpa ada rasa geli. Mereka tak perlu menyinsing seluar untuk berjalan di pasar,” jelasnya.

Dalam konteks ini katanya, pelanggan mempunyai pengaruh besar terhadap keseluruhan operasi perniagaan terutama kawasan perniagaan seperti Chow Kit.

“Pengguna juga sudah pandai jaga imej. Jika tempat itu tak sesuai dengan imej mereka, mereka tak akan pergi dan begitulah sebaliknya.

“Kurangnya pelanggan di sesebuah kawasan perniagaan yang sebelum ini menjadi tumpuan ramai adalah isyarat tempat itu tidak lagi diterima kelompok pengguna,” katanya.

Syor pasar mesra pelanggan

Cadangan membangunkan Chow Kit dan memulihkan imej kawasan ini amat dialu-alukan peniaga dan orang ramai.

Dr Asnarulkhadi berkata dalam prinsip pembangunan komuniti terdapat beberapa aspek yang perlu dilihat dan dikaji sebelum keputusan dibuat.

Aspek paling penting ialah sejauh mana pembangunan itu memberi kemudahan kepada masyarakat sekeliling.

Justeru katanya, pasar ‘mesra pelanggan’ adalah satu konsep yang baik di samping beberapa penambahbaikan perlu dibuat bangunan di kawasan ini.

“Kalau bina pasar bertingkat mungkin tiada lagi masalah tempat letak kereta. Tetapi bagaimana orang tua mahu menaiki anak tangga untuk ke pasar.

“Tak guna juga bina pasar besar dan moden tapi tak ada pelanggan mahu singgah,” katanya.

Dr Asnarulkhadi berkata, pembangunan dibuat tanpa kajian menyeluruh, tidak mustahil ianya akan memusnahkan kawasan Chow Kit dan menutup periuk nasi ramai peniaga terutama peniaga kecil.

Katanya, adalah lebih wajar kawasan ini dibaik pulih menjadi sebuah kawasan beli-belah yang terurus dan bersistematik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: