Seorang peniaga di Pasar Chow Kit menunjukkan pam air yang digunakan untuk menyedut air dari dalam tanah kerana tidak mempunyai meter air sendiri untuk berniaga. SEBURUK mana pun imej dan identitinya, kawasan ini tidak pernah sunyi, apa lagi ‘mati’; itulah keunikan Chow Kit.
Sama ada gerai itu kecil atau besar, peniaga di sini hanya berniat mahu mencari makan.
Bagi golongan pembeli, masih ada yang menjadikan pasar berusia lebih 50 tahun ini sebagai destinasi membeli-belah sejak generasi demi generasi.
Tidak keterlaluan jika dikatakan mereka inilah yang menjadi penyambung rezeki peniaga di sini.
Namun, pengguna yang berasa jijik dengan keadaan sekitar Chow Kit juga semakin meningkat.
Semurah mana pun harga barang, tidak mungkin mereka ini ‘mengizinkan’ kaki menjejaki kawasan ini. Barangkali bimbang tikus-tikus Chow Kit akan ‘singgah’ menjilat atau mengigit kaki ketika membeli.
Sampah-sarap berselerakan dapat dilihat dengan jelas di kawasan Chow Kit terutama pada waktu malam.Mungkin juga mereka bimbang diganggu penagih atau pelacur yang berkeliaran - juga mencari makan.
Pendek kata, Chow Kit bukan sahaja sinonim sebagai tempat mencari makan tetapi juga sinonim dengan imej ‘sampah masyarakat’ dan juga sampah-sarapnya.
Dulu mungkin situasi ini dianggap biasa, namun pada era manusia semakin prihatin dengan kebersihan, situasi ini nyata luar biasa.
Walaupun lokasinya bernama pasar, generasi pengguna hari ini tetap mahukan persekitaran bersih, selesa dan selamat.
Malangnya para peniaga masih lagi dengan mentaliti lama dan masih ingin berniaga cara lama.
Justeru, Chow Kit tanpa identiti baru, ditambah sikap pengotor segolongan peniaganya tidak mustahil akan ‘menutup’ periuk nasi para peniaga yang lain di kawasan ini.
Beberapa penambahbaikan perlu dilakukan agar Chow Kit, kawasan unik dan popular di tengah ibu kota kita terus diingati.
Jika tidak, lambat-laun Chow Kit bukan sahaja ‘tenggelam’ bersama arus kemodenan tetapi juga bersama pelbagai jenis ‘sampah’ yang dilonggokkan di laluan belakang dan di tepi pasar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: