Tuesday, October 25, 2011

Media Berperanan Didik Urus Konflik Malaysia-Indonesia

Pengerusi ISWAMI, Saiful Chalid bersama Timbalan Pengerusi ISWAMI Malaysia, Datuk Chamil Wariya memegang Ikrar Bukit Tinggi selepas persidangan Pertemuan Wartawan dan Budayawan Indonesia-Malaysia di sini hari ini. Turut kelihatan (dari kanan) Ketua PWI, Basril Basar, Naib Presiden II, A.Jalil Ali dan Ketua Dewan Kehormat PWI, Tarman Azzam.

PADA mata kasar, hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia kelihatan terjalin erat, akrab dan baik.

Namun pada masa yang sama kita dapati, dari semasa ke semasa pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sentiasa menjadi mangsa segelintir rakyat Indonesia melepaskan marah, geram dan rasa tidak puas hati mereka walaupun ke atas isu-isu kecil yang tidak sepatutnya membawa kepada tunjuk perasaan dan demonstrasi hari demi hari malah kadang kala ia kelihatan seperti seolah-olah kedua-dua buah negara ini ‘sedang berperang’.

Yang lebih mengeruhkan lagi keadaan ialah apabila terdapat media-media utama Indonesia mengapi-apikan perasaan rakyat Indonesia dengan laporan pemberitaan yang boleh mencetuskan kemarahan.

Walaupun situasi ini kelihatan seperti panas dan boleh menjejaskan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia tetapi masih ada usaha untuk mengukuhkan persahabatan di peringkat akar umbi atau hubungan rakyat dengan rakyat dilakukan di antara pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan di antara kedua-dua buah negara ini, Tujuannya ialah untuk mengelakkan prasangka yang boleh mengeruhkan hubungan di antara rakyat kedua-dua buah negara.

Ini dapat dilihat melalui usaha yang dirintis oleh Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) yang bertindak sebagai ejen permuafakatan di antara pengamal media.

Pertemuan antara wartawan dan budayawan dari kedua-dua buah negara di Bukit Tinggi, Indonesia bulan lalu boleh disifatkan sebagai titik mula kepada jalinan kerjasama khususnya bagi mencari persefahaman dalam perbezaan.

Sungguhpun pada dasarnya, penekanan terhadap perkembangan industri kreatif yang meliputi pelbagai aspek antara Malaysia-Indonesai dilihat cukup mudah diterima rakyat, namun pada hakikatnya ia sukar dilaksanakan.

Lihat sahaja bagaimana rakyat Indonesia begitu menyanjungi penyanyi popular Malaysia hingga muncul provokatif ‘ganyang Malaysia selamatkan Siti Nurhaliza’ gara-gara pertikaian wilayah di Laut Sulawesi tidak lama dulu.

Malah lagu Semalam di Malaysia nyanyian asal oleh S. Affendi serta lagu Antara Anyir dan Jakarta dendangan Datuk Sheila Majid yang begitu meresap di sanubari rakyat kedua-dua negara juga gagal dijadikan ‘penyejuk’ pasang surut hubungan tetangga Malaysia-Indonesia.

Pada pengamatan penulis, pengukuhan terhadap hubungan negara serumpun ini tidak cukup dengan hanya menerusi industri kreatif mahupun seni dan budaya.

Sebaliknya pengamal media perlu menggerakkan peranan sewajarnya menerusi laporan berita yang bertanggungjawab tanpa provokasi demi mengejar rating atau sensasi.

Persefahaman ini yang perlu diberi perhatian khususnya oleh para pengendali media di Indonesia supaya apabila membuat laporan mereka tidak mensensasikan sesuatu isu itu tanpa terlebih dahulu memastikan fakta yang mereka laporkan benar atau tidak.

Lihat sahaja perkembangan terbaru apabila pertubuhan bukan kerajaan seperti Forum Betawi Rempug (FBR) berdemonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dengan melempar batu, kayu, buluh serta telur ke dalam kawasan kedutaan.

Ia berikutan dakwaan Naib Ketua Komisi 1 Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), TB Hasanuddin bahawa republik itu kehilangan 1,400 hektar tanah di Camar Bulan serta 800 meter garis pantai di Tanjung Datu, Kalimantan Barat kerana ‘dirampas’ oleh Malaysia.

Secara logiknya, bolehkah kawasan seluas dan sebesar itu sewenang-wenangnya dirampas oleh Malaysia tanpa memikirkan kesan dan risikonya ke atas hubungan diplomatik antara kedua-dua negara? Malang sungguh, kenyataan yang sangat sensitif itu tetap dibuat dan kemudian dilaporkan tanpa usul periksa terlebih dahulu sama ada ia logik, benar atau tidak oleh media-media Indonesia.

Nasib baiklah Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Laksamana Agus Suhartono muncul dengan kenyataan rasmi di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia menegaskan bahawa sebenarnya tiada wilayah negara itu yang diambil pun oleh Malaysia.

Namun tidak ada permohonan maaf atau susulan positif yang dibuat oleh media Indonesia terhadap isu ini.

Kebebasan Media

Tidak dinafikan sejak berakhirnya era Suharto, Indonesia lebih ke hadapan dari sudut keterbukaan dan kebebasan media.

Namun hakikatnya kebebasan tanpa kawalan diri boleh mendatangkan masalah berbanding faedah khususnya dalam soal hubungan dua hala antara negara dan rakyat.

‘Memainkan isu’ secara melampau oleh media arus perdana mereka terhadap sesuatu isu yang membabitkan Malaysia adalah sesuatu yang tidak adil berbanding media Malaysia yang sering kelihatan lebih waspada dan ‘mengawal diri’ apabila memperkatakan tentang sesuatu isu berkaitan negara asing apatah lagi negara jiran.

Sayang sekali sekiranya hubungan serumpun yang termeterai secara budaya, sejarah dan tradisi sejak zaman berzaman dirosakkan secara perlahan-lahan seperti anai-anai yang memakan rumah, ia boleh merobohkan ikatan yang terjalin.

Oleh yang demikian, pertemuan antara wartawan dan budayawan Indonesia-Malaysia yang berlangsung di Bukit Tinggi baru-baru ini sewajarnyalah menjadi satu platform yang dapat membantu mengukuhkan hubungan kedua-dua buah negara agar ia tidak mudah dipecah belahkan oleh anasir yang tidak sihat.

Deklarasi yang dinamakan ‘Ikrar Bukit Tinggi’ yang termeterai sewaktu pertemuan itu berhasrat untuk menerbitkan kod etika kewartawanan di antara kedua-dua buah negara sebagai panduan bagi membentuk perilaku wartawan yang bertanggungjawab, adil dan saksama dalam pengumpulan dan menerbitkan bahan berita.

Ikrar Bukit Tinggi turut menggariskan beberapa perkara, antaranya, membantu mengukuhkan hubungan baik kedua-dua negara di semua peringkat termasuk rakyat dan pemerintah khususnya dalam bidang sosial, ekonomi dan budaya.

Selain itu mereka juga bersepakat untuk mengangkat martabat Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu serta bahasa tamadun pada peringkat serantau dan antarabangsa.

Urus konflik

Berbanding Malaysia, rakyat Indonesia perlu lebih banyak dididik mengenai tatacara pengurusan konflik bagi mengelakkan perbuatan berdemo dan merosakkan kedutaan Malaysia berulang lagi. Media Indonesia perlu mendidik masyarakat mereka bahawa berdemo secara keterlaluan dan penuh emosi di hadapan pejabat konsulat atau kedutaan asing bukanlah satu tindakan yang beradab, bermaruah dan terhormat.

Rakyat kita juga pernah berdemo di hadapan kedutaan asing tetapi tidaklah berakhir dengan membaling telur, objek lain atau najis sepertimana yang pernah mereka lakukan ke atas kedutaan kita. Kita hanya sekadar menyerahkan memorandum.

Andai kata rakyat Malaysia juga turut melatah melakukan perkara yang sama, hubungan dua hala kita akan hanya berakhir dengan konflik dan yang paling buruk dan dikhuatiri ialah menjejaskan talian persahabatan dan kekeluargaan. Yang rugi ialah rakyat kedua-dua buah negara yang sebahagian besarnya mempunyai keluarga, sahabat dan rakan niaga.

Akhirnya, medialah yang perlu memainkan peranan besar dan bertanggungjawab kerana media adalah jambatan yang sepatutnya mengharmonikan hubungan bukannya membakar jambatan.

Maka laporan yang adil dan benar merupakan jalan terbaik bagi mengelakkan tercetusnya kemarahan rakyat kedua-dua buah negara jiran ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: