Monday, October 3, 2011

Kongsi kesengsaraan penduduk setempat



SEJAK kematian jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd. Nor akibat ditembak ketika bertugas membuat liputan misi kemanusiaan di Somalia pada 2 September lalu, penulis banyak diajukan soalan. “Adakah berbaloi wartawan menggadai nyawa di kawasan bencana dan bergolak?”

Ramai yang tidak percaya pengamal media seperti kami membuat liputan ke tempat-tempat sebegini dengan rela hati dan bukan semata-mata kerana ditugaskan.

“Ya”, kami ditugaskan ke sana dan “Ya” juga kepada soalan bahawa kami pergi dengan rela hati kerana naluri kemanusiaan kami kuat untuk melihat dan membantu memaparkan penderitaan rakyat akibat pelbagai pergolakan di dunia.

Misi bantuan kemanusiaan ke Somalia bermula dari 28 Ogos 2011 anjuran Kelab Putera 1Malaysia yang diketuai oleh Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Kami pergi dua hari sebelum umat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri. Namun tekad untuk berkongsi kesengsaraan yang dirasai oleh penduduk Somalia mengatasi segala-galanya. Kami berdepan dengan situasi yang hampir sama pada tahun lalu.

Ketika itu umat Islam sedang bersiap menyambut Ramadan manakala penulis dan Allahyarham Noramfaizul, yang lebih mesra dipanggil Faizul, sibuk berkemas membuat persediaan untuk menyertai misi kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, Palestin.

Beberapa hari selepas pulang dari Gaza pada 3 September 2010 menjelang Aidilfitri, kami bergegas pula ke Pakistan bagi membantu mangsa banjir paling buruk di negara itu.

Ada apa di Gaza, Pakistan dan Somalia? Semenanjung Gaza kami sifatkan sebagai penjara besar bagi rakyat Palestin. Melihat kehidupan penduduk di situ, penulis dapat merasakan seksa penindasan yang dilakukan rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

Pendorong semangat Faizul dan penulis untuk menyertai misi ke Gaza tercetus daripada peristiwa serangan tentera regim Israel ke atas kapal bantuan Mavi Marmara yang turut membawa sukarelawan Malaysia dan mengorbankan berbelas sukarelawan dari Turki.

Walaupun untuk memasuki Gaza cukup sukar kerana kami terpaksa menunggu selama tiga jam untuk melepasi imigresen di Mesir dari sempadan Rafah, namun masih terkeluar kata-kata; “Dik, kita beruntung dapat mengikuti misi ini,” ungkap Allahyarham Faizul.

Benar, apa yang beliau luahkan kerana pengalaman melihat sendiri penderitaan rakyat Palestin sememangnya tidak cukup untuk digambarkan dengan kata-kata atau tulisan.

Namun melalui rakaman lensa kamera video Faizul, setidak-tidaknya penonton BernamaTV dapat melihat sendiri keadaan di sana dan kesengsaraan penduduk Palestin.

Keadaan dii Gaza

Secara fizikalnya, kesan serangan tentera Israel pada penghujung tahun 2008 dan awal 2009 masih dapat dilihat melalui rumah dan bangunan yang berlubang-lubang. Bahkan ada yang runtuh menyembah bumi akibat ditembak dan dibom.


KEMARAU yang teruk dan pergolakan menyebabkan rakyat Somalia menderita kebuluran.


Serangan kejam itu menyebabkan lebih 2,000 rakyat Palestin terkorban, berbelas ribu lagi cacat dan lebih 80,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.

Tekanan ekonomi turut menghimpit sejumlah 1.5 juta penduduk Gaza dan pengangguran mencecah 70 peratus.

Seorang sukarelawan dari Australia, Dr. Jean E. Calder yang berkhidmat di Kolej Pembangunan dan Keupayaan Khan Younes dan menetap di Gaza selama lebih 15 tahun berkata, parut serangan Israel memberi kesan psikologi yang mendalam kepada kanak-kanak Palestin.

“Perasaan trauma dan takut kepada bunyi letupan terbawa-bawa sehingga ke dalam mimpi. Ia sukar untuk dihilangkan. Jika trauma generasi muda ini gagal disembuhkan, ia akan memberi impak negatif terhadap masa depan Palestin,” kata Dr. Jean.

Faizul yang ketika itu tidak puas merakamkan visual sekitar tempat kami dibawa. Beliau mahu ke terowong penyeludupan Gaza yang dianggap penyambung nyawa rakyat Palestin.

Terowong bawah tanah itu dijadikan laluan penyeludupan bahan mentah dikatakan dari Mesir selepas wilayah itu dikenakan sekatan rejim Zionis sejak tahun 2007.

Tel Aviv kerap menuduh laluan rahsia itu digunakan untuk penyeludupan senjata api sehinggakan kerajaan Mesir suatu ketika bertindak menutupnya.

Beratus-ratus rakyat Palestin mati semasa menggunakan terowong itu semata-mata untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan asas untuk hidup. Keperitan penduduk Palestin menggunakan terowong itulah yang membuatkan Faizul meminta kebenaran ketua media yang mengikuti misi di Gaza, Azman Md. Noor untuk pergi ke terowong berkenaan.

“Misi kita tak lengkap kalau visual terowong tu kita tak rakam. Ia sebahagian tanda perjuangan rakyat Palestin untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Atas desakan Faizul rombongan itu sampai ke kawasan yang mempunyai beratus-ratus terowong penyeludupan yang panjangnya berpuluh-puluh kilometer menghubungkan Gaza dan sempadan Mesir.

Terowong-terowong berkenaan ada yang hanya boleh dilalui seorang individu dan ada juga yang boleh dilalui lori pengangkut barang.

Sepanjang berada di tempat-tempat ini Faizul sering mengingatkan penulis supaya tidak berpisah jauh daripadanya.

“Dik, kau jangan pergi jauh dari abang, kawasan ni berbahaya. Abang tak nak sesuatu berlaku pada kau.”

Begitulah tahap kewaspadaan kami ketika berada di kawasan tidak selamat yang pada bila-bila masa sahaja boleh diserang atau terperangkap dalam serangan puak-puak yang terlibat dalam sesuatu konflik.

Bencana terburuk

Kami juga bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi menggunakan kenderaan yang dilindungi umpamanya di Gaza, kami menaiki kenderaan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.

Semasa di Gaza, misi Kelab Putera 1Malaysia yang dinaungi Perdana, Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya menghulurkan bantuan kepada 5,000 rakyat Palestin di Gaza City, Jabalyah, Der Al Balah, Khan Younis, Rafah dan Saifa.

Lain pula keadaannya di Pakistan yang kami jejaki dari 3 hingga 11 September 2010.


BANJIR yang melanda Pakistan pada bulan Julai 2010 adalah bencana terburuk di negara tersebut dalam tempoh lapan dekad.


Banjir yang melanda negara berkenaan pada bulan Julai 2010 adalah bencana alam terburuk di Pakistan dalam tempoh lapan dekad.

Bencana itu menyebabkan lebih 2,000 nyawa terkorban, tanaman musnah, binatang ternakan mati, satu juta penduduk kehilangan rumah dan 20 juta lagi terjejas kehidupan mereka.

Kira-kira 3.5 juta kanak-kanak terdedah kepada pelbagai jenis penyakit akibat bencana alam itu. Pakistan juga diancam dengan wilayah bergolak.

Dalam keadaan cuaca panas mencecah sehingga 40 darjah Celsius dan perjalanan jauh dari satu tempat ke satu tempat yang adakalanya memakan masa hingga lapan jam, sememangnya suatu pengalaman yang tidak boleh dilupakan terutama anggota misi beragama Islam yang sedang berpuasa.

Jalan tidak berturap ke kawasan berkenaan amat mencabar mental dan fizikal, sehingga ada ketikanya kami terpaksa keluar dari kenderaan bagi membolehkan kenderaan yang membawa kami melepasi halangan aliran air.

Malah kami juga sentiasa berwaspada terhadap sebarang serangan daripada pihak yang berniat untuk merampas barang bantuan.

Sepanjang sembilan hari di Pakistan, penulis melihat kelemahan operasi penyaluran bantuan sehinggakan kesengsaraan mangsa banjir diburukkan lagi dengan konflik bersenjata kumpulan pemberontak.

Visual kanak-kanak yang kotor dan berpenyakit, penempatan sementara yang mempunyai beribu-ribu khemah yang daif dam mangsa bencana yang berebut-rebut mengambil barang bantuan dan makanan, dirakamkan sepenuhnya oleh Faizul.

Selepas misi ke Gaza dan Pakistan, pada bulan Februari 2011, Faizul mengikuti misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke New Zealand bagi membantu mangsa bencana gempa bumi sementara penulis pula membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia membantu mangsa gempa bumi, tsunami dan bencana loji nuklear di Jepun pada Mac 2011.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: