
SEORANG pakar psikiatri, Fabian Almeida terkejut apabila sebuah pertubuhan koperasi di sebelah kliniknya yang terletak di luar Mumbai menulis kepadanya mengenai pesakitnya yang menderita akibat isu kesihatan mental.
Dia diberitahu bahawa mereka yang menerima rawatan akibat masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan gangguan obsesif kompulsif, hiperaktif dan disleksia menjadi gangguan kepada penduduk setempat dan harus dikurung di rumah.
"Mereka menuduh golongan berkenaan menyebarkan kuman," katanya melalui telefon dari sebuah pekan di Kalyan, negeri Maharashtra di India.
Pengalaman yang dialami Almeida bukanlah sebuah kes terpencil di India. Kebimbangan terhadap hal itu sudah lama bertapak di negara tersebut yang sebenarnya mempunyai 40 hingga 90 juta orang bermasalah mental dan kekurangan upaya fizikal.
"Negara berkenaan masih belum bersedia membantu penduduknya," kata Aqeel Qureshi, seorang aktivis hak orang kelainan upaya (OKU) yang menguruskan laman web Disability News India dan kempen untuk memupuk hubungan lebih baik dengan OKU.
Qureshi yang menggunakan kerusi roda memberitahu, dia pernah tersadai di terminal lapangan terbang antarabangsa New Delhi yang bernilai AS$2.7 bilion (RM8.6 bilion) selama dua jam awal tahun ini kerana masalah kerosakan lif.
Dia juga pernah terlepas penerbangan kerana pesawat tidak mempunyai lif. OKU juga tidak dibenarkan menaiki pesawat di beberapa lapangan terbang.
Di pekan-pekan dan bandar di India, lorong pejalan kaki yang tinggi, jalan yang tidak berturap dan tidak diselenggara, tangga serta laluan yang tidak mesra OKU merupakan perkara biasa. Semua itu menjadikan kehidupan seharian begitu susah dan mustahil untuk golongan berkenaan.
Bas yang padat dan anak tangga yang tinggi untuk dilangkah, kesesakan penumpang dalam kereta api yang hanya berhenti selama 30 saat di stesen atau kekurangan tandas untuk golongan kurang upaya menambahkan lagi masalah itu.
Di Mumbai, laluan pejalan kaki baharu dipasang di simpang-simpang yang sibuk tetapi isyarat bersuara yang dipasang untuk memberitahu mereka yang cacat penglihatan untuk melintas telah ditutup.
Penduduk membuat aduan bahawa isyarat berkenaan terlalu bising, berdasarkan laporan akhbar Hindustan Times minggu lalu.
Kurangnya kesedaran dan tiada berkomunikasi dengan golongan kurang upaya atau kumpulan yang mewakili mereka dikatakan menjadi punca utama, kata Qureshi.

"Masalah dengan pihak berkuasa di sini adalah mereka fikir mereka terlalu bijak dan mereka tahu apa yang rakyat mereka perlukan. Ia adalah masalah sikap," keluhnya.
Keperluan asas
Masyarakat dilihat tidak membantu golongan yang amat memerlukan. Sebab itulah kebanyakan OKU tidak mempunyai bimbingan dan kuasa.
"Keperluan asas untuk mereka adalah infrastruktur yang lebih baik supaya mereka dapat keluar dari rumah dan hidup seperti orang normal yang lain," kata Qureshi.
Bank Dunia melaporkan bahawa OKU ialah antara golongan terpinggir dalam masyarakat India dan 50 peratus daripada hasil tinjauan mendapat respons bahawa golongan OKU adalah sumpahan daripada tuhan.
"Banyak lagi keperluan harus dilakukan demi pelaksanaan dan mendapatkan hak keperluan asas," jelas organisasi berkenaan yang mahu mewujudkan integrasi lebih besar terhadap OKU dalam masyarakat India.
Para pengkaji mendapati bahawa OKU di India sering dilihat sebagai menerima balasan akibat kesilapan yang mereka lakukan dalam kehidupan terdahulu, terutamanya di kawasan pedalaman.
Ia juga dilihat sebagai menjatuhkan status keluarga berkenaan di India, khususnya apabila status sosial melalui perkahwinan masih kuat dipegang.
Sesetengah masyarakatnya berpendapat, perkembangan ekonomi pantas di India yang didorong sektor pembinaan di bandar-bandar besar merupakan peluang emas untuk membina bangunan baharu yang dilengkapi kemudahan untuk golongan OKU.
Akta Kurang Upaya yang diwujudkan pada tahun 1995 dianggap sebagai paling progresif berbanding negara-negara membangun lain, walaupun pelaksanaannya tidak berjalan sepenuhnya.
Mesej filem
Industri filem Hindi di Bollywood juga turut membantu meningkatkan kesedaran mengenai penyakit-penyakit seperti disleksia dan Sindrom Asperger sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Almeida memberitahu kemajuan telah dapat dilihat, terutamanya mesej-mesej sokongan yang diterima dikliniknya selepas mendedahkan isi surat tidak puas hati dari premis bersebelahan klinik tersebut.
"Insiden seperti ini menjadi penghalang kepada kemajuan negara. Sesetengah orang memilih untuk tidak ambil peduli," katanya yang menggunakan teknik yoga, terapi seni dan sukan untuk membantu pesakit di kliniknya.
Namun, India perlu melakukan lebih banyak usaha untuk menangani masalah seperti kemurungan dan kelemahan fizikal yang meningkat seiring penuaan populasi, tambahnya.
"Saya fikir kita perlu diberikan lebih perkhidmatan kesihatan mental dan menangkis pandangan dan tabu mengenainya. Masih banyak yang perlu dilakukan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: