
Itulah yang dilalui penyampai radio Era FM, Haniff Hamzah, 27 atau lebih dikenali, Haniff Era, yang kini semakin serasi bersama radio popular negara.
Terkenal dalam slot Riuh Pagi Era bersama Pak Nil dan Ray, Haniff juga punya kredibiliti tersendiri apabila dipilih mengendalikan segmen, Can I Help U?, yang ke udara jam 8.30 pagi, setiap Isnin hingga Jumaat.
Mahir berbahasa Inggeris memberi laluan mudah buat anak Jati Selangor ini mengendalikan program berbahasa Inggeris itu. Menurut Haniff, segmen ini memberikan semangat dan kepuasan dalam kerjayanya.
“Sejak kecil lagi, keluarga saya selalu menggunakan Bahasa Inggeris di rumah. Bukan mahu menunjuk sebaliknya kami mahu mengusai bahasa Inggeris dengan lebih baik. Kita sedia maklum, ramai segan menggunakan Bahasa Inggeris kerana bimbang tersalah sebut.
"Jadi, bila saya diberi tanggungjawab mengendalikan segmen ini, saya dapat membantu dan berkongsi ilmu dengan masyarakat. Dalam segmen ini, saya mahu masyarakat mendalami Bahasa Inggeris. Betul atau salah itu bukan masalahnya, yang penting kita dapat belajar,” katanya yang bergelar penyampai di radio Era sejak 2009.
Menurut Haniff, setiap hari dia semakin selesa bekerjasama dengan stesen radio itu yang diibaratkan sebuah keluarga. Selain serasi dengan seluruh warga kerja, Haniff juga dapat berkongsi pendapat dan masalah bersama.
"Sejak saya kerja di Era, saya memang seronok. Semua penyampai ada personaliti tersendiri dan kami memang 'satu kepala'.
"Dalam banyak-banyak penyampai, saya paling rapat dengan Ray. Malah, saya juga kagum dengan Aznil. Sebagai abang, dia banyak memberi tunjuk ajar kepada saya.
"Di konti, saya memang gila-gila dan nakal sikit. Mujurlah, Aznil dan Ray juga satu kepala," katanya yang pernah memulakan kerjaya di stesen radio X Fresh FM pada 2005.
Bercerita pengalaman awal bergelar penyampai, Haniff berkata, penglibatan bersama X Fresh FM ketika itu hanyalah sekadar mengisi masa lapang memandangkan dia masih terikat sebagai penuntut Kolej Damansara Utama (KDU) dalam bidang Komunikasi Massa.
“Lama juga saya bersama X Fresh, lebih kurang tiga tahun, masa tu saya bermula sebagai skuad X Fresh FM.
“X Fresh dan Era di bawah satu bumbung. Jadi ketika Era mencari pengganti arwah Din Beramboi, saya mencuba nasib. Tak sangka saya terpilih dan saya nekad menggunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin," katanya.
Ikut jejak abang
Mungkin ramai tidak tahu, Haniff, ada seorang abang yang bekerja sebagai penyampai radio, sekali gus menjadi idola untuknya menjejaki dunia penyiaran.
"Abang sulung saya adalah penyampai radio di Mix FM. Sudah lama dia menjadi penyampai untuk stesen radio Inggeris itu," katanya.
Jelasnya, sebelum itu, ibunya tidak mahu dia menyertai dunia penyiaran kerana ibunya seorang profesor, jadi tidak hairanlah dia mahu kami ikut jejaknya.
"Saya dah cuba yang terbaik dan jaga hati ibu. Tapi dalam masa sama, saya ingin buktikan pada ibu, saya juga boleh berjaya sebagai penyampai," katanya yang yakin kerjaya itu mampu pergi jauh dan punya masa depan cerah.
Sokongan padu Isteri
Walaupun kini bergelar selebriti popular, Haniff, tidak pernah menyembunyikan statusnya kepada masyarakat, mahupun peminat setianya.
Suami kepada, Wan Noor Katherina Wan Mohamad, 28, ini bersyukur kerana sokongan padu daripada isteri tercinta melancarkan perjalanan karier seninya.
“Dulu memang agak sukar untuk kami sesuaikan diri selepas berkahwin. Bayangkan, saya bekerja seawal, 5.30 pagi, sedangkan dia waktu pejabat.
“Jadi bila saya pulang, dia tiada di rumah dan bila malam saya perlu tidur awal. Ketika itu waktu kami bersama sangat terhad.
"Tapi setelah berbincang, demi rumah tangga kami, dia sanggup berhenti kerja. Sekarang segala-galanya berjalan dengan baik dan kehidupan kami lebih bahagia setelah dikurniakan cahaya mata pertama September lalu,” katanya yang bersyukur dengan kehadiran anak lelakinya, Tuah Kaliff, yang baru berusia 40 hari.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: