
Akibat perbuatannya yang tidak mendapat keampunan orang tua, pemuda itu menghadapi kesukaran ketika berada di ambang sakaratul maut.
Drama yang sarat dengan mesej itu bukan sahaja berhasil menyuntik keinsafan di hati penonton, malah membawa signifikan tersendiri buat pengarahnya, Mohd Murali Abdullah, 38.
Berbekalkan olahan jalan cerita yang menarik, Sebelum Akhirat membolehkan Murali diangkat sebagai Pengarah Terbaik Drama di Anugerah Skrin (ASK) yang berlangsung tahun lalu.
Kejayaan di kecapi anak kelahiran Parit Buntar, Perak itu bukan yang pertama kerana sebelum ini dia pernah menjulang trofi sama melalui drama Suara Saleha di ASK) 2008.
Sedikit sebanyak, trofi yang berada dalam genggaman membuktikan Murali kini berada dalam senarai pengarah tersohor sebaris dengan Jinggo, Eirma Fatima dan Bernard Chauly.
Mungkin ramai menganggap Murali berhak berada di kedudukan sekarang kerana dia sudah mempunyai pengalaman selama 16 tahun dalam bidang ini.
Namun, perjalanan pengarah berketurunan India ini tidaklah semudah disangka kerana sejak kecil lagi hidupnya bergelumang dengan kesusahan.
Bagaimanapun, kepayahan hidup bukanlah penghalang buat pemilik nama asal V Muralitharan ini untuk meminati bidang seni.
Menurut Murali, minat itu mula bercambah apabila menjalani uji bakat sebuah drama sekolahnya bersama teman-teman yang lain.
“Tanpa disangka, lakonan saya mendapat pujian dan saya berasa puas apabila dapat berlakon di hadapan penonton. Bidang seni mula menjadi cinta saya dan selepas itu saya berjinak-jinak menghasilkan skrip pula,” katanya.
Akan tetapi bak kata pepatah, harapkan mendung hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Minat Murali untuk bergiat aktif dalam bidang seni terbantut apabila karyanya dipandang sepi.
“Saya berasa amat kecewa dan membawa diri sebagai kelasi kapal. Namun, satu lagi khabar buruk diterima iaitu saya menghadapi masalah kesihatan.
“Pekerjaan kelasi kapal tidak sesuai dengan keadaan kesihatan membuatkan saya terpaksa berhenti. Ketika itu, saya hampir berputus asa untuk hidup,” katanya.
Ternyata Tuhan menyayangi Murali dan dia kemudiannya mendapat kesedaran untuk tidak berterusan kecewa, sebaliknya perlu melakukan sesuatu untuk kehidupan yang lebih baik.
Berbekalkan semangat untuk mengubah nasibnya, Murali akhirnya tekad berhijrah dari Alor Star, Kedah ke Kuala Lumpur (KL) pada 1988 dengan impian yang menggunung.
“Kehidupan di KL bukanlah semudah disangka kerana saya pergi ke sana seorang diri dan langsung tidak mengenali sesiapa.
“Bagi mendapatkan wang, pekerjaan pertama yang saya lakukan adalah menjadi pemandu van yang menghantar tukang cuci ke pejabat untuk membersihkan telefon,” katanya.
Oleh sebab Murali terlalu baru dan tidak mahir dengan jalan di KL, dia kemudiannya diberhentikan selepas dua hari bekerja dan diberi gaji RM50.
“Saya kuatkan semangat dan cuba mencari pekerjaan lain melalui iklan di surat khabar. Kerja kosong yang sebagai krew produksi di HVD Production menambat hati saya.
“Walaupun pernah kecewa, tetapi minat terhadap bidang seni masih belum luntur. Lantas, berbekalkan RM50, saya pergi menghadiri temu duga di Damansara Utama,” katanya.
Mengimbau kembali detik itu, Murali berkata, dia terlewat kerana kekosongan itu sudah pun diisi oleh orang lain.
“Alang-alang sudah sampai di situ, saya berdegil untuk berjumpa dengan pengurus dan tidak mahu pulang selagi belum bertemunya.
“Saya menyatakan kesanggupan untuk bekerja tanpa dibayar gaji kerana mahu menimba pengalaman dalam bidang ini. Akhirnya, saya diterima sebagai krew produksi,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Murali, tugas sebagai krew produksi hanyalah pada nama kerana dia sebenarnya perlu melakukan pekerjaan tukang cuci.
“Saya langsung tidak kisah kerana yang penting saya dapat mempelajari ilmu produksi. Mujurlah saya tinggal di hostel krew dan tidak perlu membayar sewa.
“Selepas dua minggu, saya dapat menyertai latihan jurukamera yang diadakan pada sebelah malam. Penat memang penat kerana perlu melakukan dua kerja, tetapi demi minat saya relakan,” katanya.
Naik pangkat
Selepas tiga bulan menyertai latihan, Murali membuktikan dia bukan sekadar bersandar kepada minat, tetapi juga memiliki bakat.
“Saya kemudiannya ‘naik pangkat’ dan tidak lagi menjadi tukang cuci apabila diberi tanggungjawab menjadi jurukamera dan penerbit teknikal.
“Segala ilmu yang dipelajari sepanjang tempoh itu saya gunakan sebaiknya sebagai membalas kepercayaan yang diberikan kepada saya,” katanya.
Sejak itu, Murali tidak lagi menoleh kerana menganggap peluang tidak akan datang berkali-kali. Malah, istilah putus asa dibuangnya jauh-jauh dari kamus hidupnya.
Menyedari impiannya untuk duduk di kerusi pengarah masih belum termakbul, dia belajar sedikit demi sedikit melalui tugasnya sebagai jurukamera.
“Tujuh tahun menjadi jurukamera, barulah saya diberi kepercayaan untuk menjadi penolong pengarah.
“Akhirnya, pada 1996 saya berjaya bergelar pengarah dan drama pertama yang diarahkan saya berjudul Kedai Kopi,” katanya.
Terima hidayah
Langkah Murali sebagai pengarah pada permulaanya lebih cenderung kepada drama komersial. Bagaimanapun, kebelakangan ini dia sering tampil dengan karya-karya berunsurkan keislaman dan bercorak kemanusiaan.
Tidak menafikan perkara itu, menurut Murali, dia mula mendapat kesedaran untuk menyelitkan unsur dakwah dalam dramanya sejak menerima hidayah pada 2000.
“Seperti diketahui, saya sudah memeluk Islam sejak 1995 lagi kerana ingin berkahwin dengan wanita Melayu. Ketika itu, ilmu agama saya sangat cetek dan menjadi muslim atas tujuan perkahwinan saja.
“Ditakdirkan Tuhan, saya mendapat mimpi bertemu dengan Rasulullah SAW yang menyuruh saya membaca al-Quran. Menakjubkan, saya mampu membacanya dengan baik walaupun dalam kehidupan sebenar saya langsung tidak tahu membawa al-Quran.
“Sejak itu, saya mula mendalami Islam dan menggunakan platform drama untuk berkongsi ilmu. Bagi saya, setiap drama yang dihasilkan adalah cara untuk saya berdakwah ke jalan ALLAH SWT,” katanya.
Menurut Murali, dia akan terus menghasilkan drama sebegitu kerana menganggap sudah menjadi tanggungjawabnya menyampaikan mesej yang baik kepada masyarakat.
“Walaupun tema atau isu yang diketengahkan agak berat, saya yakin penonton masih boleh mendapat pengajaran dan taulandan daripada drama yang saya arahkan,” katanya.
Terjun ke dunia filem
Menggenggam trofi pengarah terbaik sebanyak dua kali adalah satu kejayaan besar buat Murali setelah dia melalui pelbagai cabaran dan onak duri.
Bagaimanapun, tidak sedetik pun niat di hati Murali untuk berbangga dengan pencapaian itu kerana apa yang penting baginya adalah mencari keredaan ALLAH SWT.
“Jika drama yang dihasilkan mampu membawa kesedaran kepada penonton, ia sudah cukup bermakna buat saya.
“Anugerah yang diterima bukan milik saya seorang kerana kejayaan diperoleh adalah hasil kerjasama semua krew produksi. Tanpa mereka, tidak mungkin saya mengecap kejayaan.
“Selain itu, anugerah juga membuatkan saya lebih bersemangat untuk menghasilkan karya yang lebih baik selepas ini. Saya tidak mahu mengecewakan mereka yang meletakkan kepercayaan tinggi kepada saya,” katanya.
Selepas berjaya dalam pengarahan drama, Murali menjadikannya sebagai inspirasi untuk melompat ke dunia filem pula.
Bagaimanpun, nasib tidak menyebelahi Murali apabila filem pertama arahannya, Aku Kaya The Movie yang ditayangkan pada 2004 kecundang di pawagam.
Berpegang kepada prinsip gagal sekali tidak bermakna gagal selamanya, Murali sekali lagi menyahut cabaran untuk mengarahkan filem keduanya, Hantu Air yang dibintangi Saiful Apek dan Nisha Dirr.
Enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai filem itu, Murali berharap, karyanya itu akan diterima baik oleh penonton apabila dijangka ditayangkan tahun depan.
Melihatkan dirinya kini dikenali sebagai salah seorang pengarah yang berjaya, ramai anak muda menjadikan Murali sebagai idola.
Tidak lokek dengan ilmu, Murali sempat menitipkan pesanan dan tips untuk menjadi pengarah berjaya.
“Pengarah yang bagus perlu sentiasa mempelajari perkara baru dan tidak malu untuk bertanya. Dengan adanya ilmu, barulah kita dapat menghasilkan karya yang hebat.
“Selain itu, saya amat menitikberatkan hubungan dengan semua krew yang terlibat. Kadangkala, idea daripada mereka amat berguna bagi meningkatkan kualiti drama atau filem yang dihasilkan,” katanya yang akan terlibat dengan telemovie Bismillahirohim tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: