Wednesday, October 12, 2011

Fida bangkit sebagai 'orang baru'

Sejak akhir-akhir ini, namanya menjadi perhatian ramai. Kisah persahabatannya bersama seorang artis dilaungkan ke seantero dunia. Biarpun tidak pernah membuat pengakuan mereka sedang bercinta, namun cerita itu sampai ke pengetahuan umum.

Lebih menyedihkan apabila berlaku insiden kurang menyenangkan buat dirinya saat bersama artis tersebut. Tidak mahu memanjangkan cerita, kini hatinya bebas dan beroleh kebahagiaan.

Begitu kental melawan segala kata-kata dan tohmahan, Fida atau nama sebenarnya Rafidah Ibrahim tidak lemau dengan perkara itu. Menganggap itulah asam garam sebagai anak seni, Fida akur dan bingkas bangkit menentukan nasib.

"Saya telan apa yang berlaku. Inilah pelajaran yang saya terima dan inilah hikmah yang saya dapat. Saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan sesiapa. Saya mahu fokus kepada kerjaya seni saya.

"Saya mohon berilah ruang dan peluang untuk saya buktikan bakat dan kemampuan saya sebagai pelakon. Tujuan asal saya memasuki bidang ini bukan mahu mencipta kontroversi, sebaliknya mahu bersaing secara sihat dengan insan seni sedia ada dan berkongsi dengan mereka.

"Apa yang boleh saya katakan, saya sudah pun melupakan kisah hitam yang berlaku dan mahu kembali ke pentas seni seperti biasa," katanya yang muncul juara sebagai Gadis Pantene pada ketika memulakan kerjaya seninya.

Sejak itu, Fida terus mencipta nama sebagai pelakon dan pengacara. Sepanjang berada di dalam industri, Fida tidak pernah menerima tamparan sehebat ini. Namun sebagai insan biasa, dia berharap peminat dapat memahami situasi dirinya.

Menyentuh mengenai penglibatan seninya berikutan apa yang terjadi, Fida menegaskan apa sahaja kontroversi tidak sekelumit pun memberi kesan terhadap kerjaya seninya. Bagi anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur ini, dia tidak pernah campuradukkan urusan kerjaya dan peribadi.

"Saya rasa, masalah ini bukan datang dari diri saya. Jadi, urusan kerjaya saya masih bergerak seperti biasa. Memang ada kesannya terhadap diri saya, cuma saya tidak mahu memeningkan kepala memikirkan perkara itu semasa bekerja.

"Buat masa ini, saya sibuk dengan pelbagai jadual yang diuruskan pengurus saya. Saya juga dimaklumkan, sudah ada dua tawaran drama menunggu. Alhamdulillah, perkara ini tidak mengganggu saya ketika bekerja.

"Cuma, saya masih belum dapat memutuskan mana satu menjadi pilihan saya. Selain itu, saya juga sibuk dengan undangan persembahan nyanyian. Saya berharap pada tahun hadapan saya dapat muncul dengan album saya," katanya yang berbakat besar sebagai penyanyi.

Sudah menyumbangkan suara untuk runut bunyi drama Epilog Syurga Cinta dan terbaru drama Kasih Alia, Fida berharap peminat menerima kehadirannya sebagai penyanyi.

"Saya minat semua cabang seni. Tapi, saya tidak terburu-buru. Buat masa ini, saya masih belajar vokal.

"Saya tidak mahu orang melabelkan saya tangkap muat. Biarlah apa yang saya buat itu ada asasnya dan dapat memberikan hasil terbaik sama ada nyanyian, lakonan atau pengacaraan," ujarnya.


Cuba imej baru untuk kelainan

Melihat penampilan barunya, ada yang memberi tanggapan, inilah imej baru Fida setelah mengharungi pelbagai kisah duka. Menafikan perkara itu, pelakon utama drama Kasih Alia ini sebenarnya suka mencuba pelbagai imej dan mencari kelainan.

"Orang suka mentafsir sesuatu yang tidak pasti. Sebenarnya imej skaf ini adalah percubaan saya. Sejak dari awal lagi, saya suka mencuba sesuatu yang baru. Lagi pula, saya tidak mahu kekal dengan satu imej sahaja.

"Saya sudah lama memakai skaf. Mungkin ramai tidak perasan. Saya selesa dengan imej ini. Tidak ada kena mengena dengan apa yang terjadi dalam hidup saya.

"Mungkin secara kebetulan orang nampak perubahan saya di saat diri saya diuji. Tapi, imej begini tidak kekal lama kerana fesyen berubah-ubah. Mungkin setahun atau lebih, saya sendiri tidak pasti. Seperti saya katakan, saya seorang yang suka mencuba," katanya.

Mempunyai lebih 10 helai skaf yang dibeli di luar negara, Fida mengakui mula minat memakai skaf ketika bercuti ke luar negara.

"Saya pergi ke Indonesia dan tengok skaf ini cantik. Setelah mencubanya, saya rasa ia sesuai dan membelinya. Sebetulnya, saya suka mencipta imej daripada hanya mengikut sahaja.

"Mungkin ada yang suka dan ramai juga yang mengkritik. Saya terima semuanya kerana setiap pembaharuan dalam imej pasti akan ada kritikan. Dari situ kita nampak kelemahan dan kekuatan diri kita," katanya.

Sepupu kepada penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza ini juga berharap tidak akan ada spekulasi lagi mengenai imej tudungnya.


Minat berniaga

Mengikut jejak langkah beberapa artis lain sebelum ini, Fida juga berminat untuk memulakan perniagaan. Memilih perniagaan tudung, Fida berasakan perniagaan itu dekat dengan dirinya.

Hampir sebulan menguruskan perniagaan bersama teman rapatnya, Fida berharap perniagaan pertamanya itu mendapat sambutan.

"Asalnya, saya buat perniagaan ini secara suka-suka. Saya berkongsi dengan seorang kawan baik saya. Tapi setelah difikirkan, lebih baik saya buat secara serius. Saya cuma perlu bijak bahagikan masa berlakon dan berniaga.

"Insya-ALLAH saya boleh lakukan memandangkan ramai artis berjaya sebagai anak seni dan pada masa sama berjaya dalam perniagaan masing-masing," katanya.

Menjurus kepada skaf sama seperti digayakan sewaktu sesi fotografi ini, Fida juga ada menjual pelbagai barangan aksesori wanita khususnya wanita bertudung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: