Wednesday, October 26, 2011

Siti Zubaidah terima saja




ATLET pecut wanita negara, Siti Zubaidah Adabi (gambar) kini hanya menunggu keputusan daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sama ada mahu menyenaraikannya atau tidak pada temasya Sukan SEA 2011 di Indonesia bulan depan.

Awal bulan ini, Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim telah memberi peluang kepada Siti Zubaidah untuk membuktikan bahawa dia layak untuk disenaraikan semula dalam skuad olahraga negara bagi menghadapi temasya dwitahunan itu.

Ketika itu, Shahidan dilapor berkata, Siti Zubaidah sekurang-kurangnya perlu melepasi had kelayakan bagi melayakkan dia dihantar menyertai Sukan SEA 2011 atas tiket kategori B.

Disebabkan itu, prestasi Siti Zubaidah akan dinilai pada Kejohanan Olahraga Terbuka Wilayah Persekutuan yang telah melabuhkan tirainya Ahad lalu.

“Dengan hanya menjalani latihan selama tiga minggu sebelum kejohanan bermula, saya berasakan saya telah melakukan yang terbaik pada Terbuka Wilayah Persekutuan kali ini.

“Kini, biarlah KOM menilai sendiri prestasi saya dan terpulang kepada mereka sama ada mahu menyenaraikan saya ataupun tidak pada Sukan SEA nanti,” kata Siti Zubaidah ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.

Pada Terbuka Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Trek Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Siti Zubaidah berjaya menamatkan saingan dalam acara 100 meter di tempat kedua dengan catatan masa 12.34 saat.

Dalam acara 200 meter pula, dia muncul juara dengan catatan 25.05s.

Ditanya sama ada catatan yang dirakamkannya dalam kedua-dua acara itu menepati kriteria yang ditetapkan KOM, Siti Zubaidah menjawab: “Catatan tersebut memang tidak menepati seperti mana yang telah ditetapkan.

“Namun, itu adalah catatan terbaik yang boleh saya rekodkan buat masa sekarang. Seperti yang saya katakan, dengan hanya tiga minggu sahaja masa yang saya ada untuk melakukan persiapan, ia ternyata sukar.

“Apa jua keputusan KOM, saya terima dengan hati yang terbuka,” ujar Siti Zubaidah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: