PERTENGAHAN 2009, penulis menerima satu panggilan telefon mengenai kematian seorang rakan yang pernah sama-sama menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM). Biarpun berbeza jurusan dan tahun pengajian, hubungan penulis dengan Allahyarham rapat kerana kami sama-sama menginap di Desasiswa Cahaya USM.
Sesuatu yang mengejutkan, berita mengenai kematian Allahyarham itu diterima daripada bekas Penggawa Desasiswa Cahaya, Prof Datuk Dr Omar Osman yang kini menjawat jawatan Naib Canselor USM, bermula awal bulan ini.
Malah, ketika memaklumkan berita kematian itu, Dr Omar dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kelantan untuk menziarahi jenazah Allahyarham, menyebabkan sebahagian besar daripada kami rakan Allahyarham, berasa bersalah kerana tidak berkesempatan berbuat demikian.
Secebis kisah di atas sudah cukup untuk memberi gambaran mengenai hubungan akrab Dr Omar dengan pelajar dan juga bekas pelajarnya. Mengambil kisah kematian rakan penulis, biarpun kami sudah hampir 20 tahun meninggalkan USM, hubungan dengan Dr Omar tetap terjalin.
“Memang saya dan isteri amat rapat dengan Allahyarham, malah dia sudah kami anggap seperti anggota keluarga. Sebaik saja Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung, isterinya terus menghubungi isteri saya.
“Sebab itulah, kami suami isteri menjadi antara individu terawal yang tahu mengenai kematian Allahyarham berbanding rakan-rakannya yang lain,” kata Dr Omar dalam pertemuan dengan penulis di pejabatnya di USM, baru-baru ini.
Mengimbas sedikit kenangan mengenai hubungan dengan bekas pelajarnya, Dr Omar berkata, dia memiliki beberapa pengalaman unik yang sukar dilupakan.
“Bersama Allahyarham, saya antara yang mengiringi jenazahnya ke pusara. Itu mungkin pengalaman sedih. Namun, saya juga ada pengalaman manis apabila pernah diberi kepercayaan menyertai rombongan meminang bekas pelajar saya yang ingin berkahwin,” katanya.
Nyata, pendekatan Dr Omar menjalinkan hubungan akrab dan mesra dengan pelajar memberi banyak kelebihan kepadanya terutama dalam perjalanan kerjaya hingga menjawat jawatan Naib Canselor USM pada hari ini.
Katanya, 'sejarah' hubungan mesra dia dengan pelajar bermula selepas dia mengalami sedikit masalah untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran selesa di peringkat awal kerjaya sebagai pensyarah kursus Pengurusan Projek di Pusat Pengajian Perumahan Bangunan dan Perancangan (PBP) USM pada 1989.
“Selepas menamatkan pengajian peringkat diploma di UTM pada 1981, saya terus ke England untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.
“Keseluruhannya saya menghabiskan masa kira-kira lapan tahun di luar negara, menyebabkan saya mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan budaya pembelajaran di Malaysia apabila mula berkhidmat di USM pada 1989.
“Jadi, untuk mengatasi masalah itu, saya berpendapat cara terbaik ialah dengan bergaul lebih rapat dengan pelajar agar dapat menyelami jiwa mereka, lantas saya memohon menjadi Penggawa Desasiswa Cahaya pada 1990,” katanya.
Pemikiran luar kotak
Biarpun berstatus pakar dan tokoh akademik, Dr Omar tanpa silu menganggap pelajar adalah sebahagian guru yang mengajarnya banyak perkara.
“Banyak perkara yang saya pelajari daripada pelajar saya,” katanya.
Beliau kemudian memberi contoh kejayaan Majlis Penghuni Desasiswa Cahaya (MPDC) sesi 1991/92 menganjurkan Projek Siswa Niaga dan Masyarakat (Prisma) dengan menjadi anak angkat kepada peniaga Kompleks Pekan Rabu di Alor Star, Kedah pada 1991.
“Sebelum itu, apabila bercakap mengenai projek anak angkat, selalunya siswa akan masuk kampung di pedalaman untuk menyelami kepayahan hidup masyarakat miskin.
“Bagaimanapun, hasil perbincangan saya dengan pelajar, timbul cadangan untuk mengadakan Prisma dan kemuncaknya majlis makan malam dan penutup projek itu dihadiri oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.
Dr Omar berkata, kejayaan menganjurkan projek itu membuka mata banyak pihak dan ia turut menjadi perintis kepada penganjuran lebih banyak projek siswa niaga dan masyarakat di USM serta institusi pengajian tinggi lain.
“Bagi saya kejayaan menganjurkan Prisma pada 1991 oleh MPDC adalah satu contoh pemikiran luar kotak atau strategi laut biru yang hangat diperkatakan kebelakangan ini.
“Ia secara tidak langsung menunjukkan, sebelum orang lain bercakap mengenainya, saya bersama pelajar-pelajar saya sudah lebih awal mempraktikkannya.
“Itu antara faedah yang boleh kita dapat bila baik dengan pelajar. Bagi saya, golongan muda atau generasi baru ada banyak idea dan menjadi tanggungjawab pembimbing mereka untuk mengetengahkan idea itu ke tahap lebih baik,” katanya.
Istimewa angka enam
Jarang orang akademik memiliki anak ramai tapi Dr Omar berbangga kerana memiliki enam anak dan secara kebetulan dia sendiri anak keenam daripada keluarga besar seramai 11 beradik.
“Mungkin angka enam agak istimewa kepada saya. Selain saya anak keenam dalam keluarga dan ada enam anak, saya juga adalah Naib Canselor USM yang keenam,” katanya.
Sebagai ketua kepada satu keluarga besar, bagi Dr Omar, tiada yang lebih bermakna kepadanya selain daripada kesempatan untuk menghabiskan masa dengan anak-anaknya kerana ia sesuatu yang bukan senang untuk diperoleh.
“Kalau ditanya apa yang saya lakukan pada masa lapang, itulah jawapan saya kerana menghabiskan masa bersama anak-anak adalah sesuatu yang cukup bermakna dan menggembirakan bagi saya.
“Sejak menjawat jawatan Naib Canselor USM awal bulan ini, semestinya saya semakin sibuk dan secara tak langsung, masa untuk saya bersama anak-anak semakin terbatas.
“Bagaimanapun, saya tetap cuba sebaik mungkin memperuntukkan waktu khusus untuk mereka. Sebagai contoh, saya seboleh-bolehnya akan menghantar dua anak saya yang masih bersekolah ke sekolah mereka, selain cuba mengosongkan jadual pada setiap hujung minggu agar saya dapat bersama anak serta isteri,” katanya.
Dr Omar berkata, dia sentiasa memberi kebebasan kepada anak-anak untuk menentukan masa depan mereka kerana percaya setiap orang ada minat dan kelebihan masing-masing.
“Tanggungjawab kita sebagai ibu bapa adalah memberi peluang dan menyediakan kemudahan terbaik untuk mereka mencapai cita-cita mereka itu,” katanya.
Menurutnya, kebebasan serta bimbingan itu itulah yang diberi ibu bapanya kepada dia serta adik beradik yang lain dan nyata ia membuahkan hasil apabila mereka kini berjaya dalam kehidupan masing-masing.
“Saya bersyukur kerana dikurniakan Allah ibu bapa yang amat memahami serta bertanggungjawab. Cuma, rasa sedikit terkilan kerana hanya dua hari sebelum nama saya diumumkan sebagai Naib Canselor USM keenam, ibu saya meninggal dunia.
“Apapun, saya reda dengan ketentuan takdir dan percaya ibu pasti berbangga dengan pencapaian ini biarpun dia tidak lagi bersama saya,” katanya.
PROFIL
NAMA: Profesor Datuk Dr Omar Osman
JAWATAN: Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM)
KELAHIRAN: 2 September 1958, Nibong Tebal, Pulau Pinang
PENDIDIKAN: Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Setar, Nibong Tebal, Pulau Pinang; Penang Free School, Pulau Pinang; Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur (Diploma Ukur Bahan); Polytechnic of Wales (Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan); Heriott Wott University, Edinburgh, England (Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah Pengurusan Pembinaan dan Pengurusan Projek).
AYAH: Osman Md Isa, 90
IBU: Allahyarham Chick Ismail
ISTERI: Noraizam Jamaluddin
ANAK: Shahril, 28; Shazleen, 24; Safiah, 23; Safiynaz, 20; Shamil, 16 dan Shafiq, 14.
PENGALAMAN:
Timbalan Naib Canselor, USM (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar) Mac 2007- September 2011
Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM 2008-2009)
Pengarah Bahagian Pembangunan Lestari dan Korporat, USM (2005-2007)
Pegawai khas kepada Menteri Pendidikan (2000-2004) Penggawa Desasiswa Cahaya, USM (1990-1996)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: