SIBUK...pemandangan di Sungai Chao Phraya.
KETIKA artikel ini ditulis, penduduk di utara Thailand berhadapan bencana alam, malah ia hampir melemahkan hati penulis ketika mula-mula tiba di ibu kota gajah putih itu untuk merasai pengalaman menyusuri Sungai Chao Phraya.
Bagaimanapun, hasrat penulis akhirnya tercapai apabila rakan memberitahu atur cara makan malam berjalan seperti biasa, cuma lawatan ke kota bersejarah, Ayutthaya terpaksa dibatalkan berikutan laluan untuk ke situ ditutup kerana banjir besar.
Penulis sememangnya teruja untuk merasai sendiri pengalaman menyusuri sungai 372 kilometer itu kerana beberapa rakan yang ditemui sebelum berangkat ke Bangkok memberitahu, kunjungan ke Thailand tidak sah sekiranya seseorang pelancong tidak merasai kenikmatan menyusuri Sungai Chao Phraya menaiki bot pelancong.
Hati penulis berdebar-debar sebaik kaki melangkah masuk ke bot pelancong, ‘Rue Khun Mae’ bermaksud bot mak saya kerana ketika itu alunan air agak kuat hingga memercik mengenai muka penulis.
Sungai Chao Phraya atau Menam Chao Phraya mengalir dari utara Thailand menuju ke Teluk Thailand (Teluk Siam) di selatan. Sungai ini membentuk Lembah Chao Phraya atau Basin Chao Phraya.
Cuaca ketika itu mula gelap ditambah dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa, manakala arus sungai agak laju menambah lagi debaran penulis bersama 32 peserta rombongan.
Namun kebimbangan itu terhapus sebaik enjin bot dihidupkan dan mula bergerak perlahan-lahan meninggalkan muara Saint Cruise Church. Bot itu diubahsuai dan sememangnya sangat klasik, bersih dan terjaga rapi.
Badan bot dicat kuning pinang masak, bangkunya diubah suai cantik sekali gus membuatkan hati penulis terus jatuh cinta pandang pertama.
Walaupun sibuk menyediakan 10 hidangan untuk malam itu, pemilik bot berkenaan, Sue Phang, sempat berbual dan berkongsi pengalaman dengan penulis.
Menurut Sue, rombongan penulis agak bertuah kerana arus sungai ketika itu agak perlahan berbanding beberapa hari sebelumnya yang agak menggila berikutan hujan lebat di utara.
Malah menurutnya lagi, dia diberitahu oleh pihak berkuasa supaya meningkatkan tahap keselamatan ke tahap tertinggi kerana jika tidak bernasib baik bakal berhadapan dengan ranting atau kayu hanyut.
Jika pada waktu siang, mudah kelihatan fungsi sungai ini. Walaupun lebuh raya sudah banyak dibina, kesesakan lalu lintas menyebabkan warga Bangkok lebih gemar menaiki bot panjang untuk bergerak di sepanjang sungai berkenaan.
Selain tempat bersejarah yang ada di pinggir sungai berkenaan, hampir kebanyakan bangunan pejabat kerajaan, hotel dan pusat perniagaan terletak di tebing Chao Phraya.
Bagaimanapun, suasana sebelah malam juga tidak kurang hebatnya. Bangunan pesisir sungai ini dihiasi neon yang indah bergemerlapan sehingga mewujudkan perasaan yang sukar digambarkan.
Antara destinasi pelancong yang terletak di tebing Chao Phraya ialah Grand Palace, Temple of Dawn (Wat Arun), Temple of the Emerald Buddha (Tha Chang), pasar borong yang dikenali sebagai Pak Klong Talad (Tha Rajinee) dan Muzium Negara (Tha Maharat).
Justeru, tidak hairanlah apabila Sue memberitahu kerajaannya memperuntukkan berjuta-juta ringgit menaik taraf dan mengindahkan pesisir sungai selain menjadikannya lawatan wajib bagi pelancong yang mengunjungi Bangkok.
Bangkok pesat membangun seperti sekarang kerana adanya sungai ini. Penduduk kota gajah putih berjumlah 12 juta itu amat bergantung hidup kepada sungai yang terpanjang dan terpenting.
Hati penulis tergamam seketika sejurus bot yang dinaiki melintasi tiga jambatan iaitu Rama 8, Sung Swe dan Pin Kaow, malah jambatan Rama 8 menyerupai jambatan Pulau Pinang.
Pengalaman menaiki bot sukar dilupakan walaupun sesekali kecut perut melihat air sungai kekuningan manakala caj yang dikenakan juga berpatutan.
Mujur sepanjang dua jam penulis tidak berhadapan dengan situasi tidak diingini cuma ketika ingin berlabuh di Sipiaya Piei, enjin bot mati tiba-tiba disebabkan ada ranting tersangkut pada kipas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: