Monday, October 24, 2011

Dakwah Faiz dalam sains, seni




Kejayaan para ilmuwan Islam terdahulu memberi inspirasi kepada masyarakat dunia hingga ke hari ini. Begitulah bernilainya inspirasi para ilmuwan yang turut menjadi pemangkin kepada Ahmad Faiz Ab. Aziz, 24, yang berasal dari Merbok, Kedah ini .

Ahmad Faiz yang bercita-cita menjadi saintis teknologi masa hadapan begitu menghargai setiap detik yang dikurniakan dalam menimba dan mempelajari gelodak teknologi inovatif dan kreatif yang semakin canggih hari ini.

Ahmad Faiz yang kini pelajar Sarjana Sains Komputer, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus melakar bakti di universiti tercinta dalam meniup semangat buat generasi siswa baru untuk terus mencipta kejayaan dan kerjaya yang baik sebagai Pegawai Teknologi Maklumat di USIM.

Di sebalik kerjaya dan impian beliau di dunia teknologi dan inovasi, beliau merupakan seorang pemimpin pelajar yang begitu aktif dalam aktivis dakwah dan seni disamping aktif dalam bidang teknologi dan sistem maklumat.

Lulusan Sarjana Muda Sains Komputer (Sekuriti Maklumat) ini begitu teruja apabila berjaya menguasai ilmu dalam aspek 'Virus Komputer' sepanjang menuntut di USIM.

"Sekuriti Siber dipelihara bagi membolehkan jaminan maklumat itu terus lestari dalam pembangunan tamadun manusia.

"Di peringkat sarjana saya terus menjalankan kajian yang meliputi aspek-aspek kejuruteraan dan teknologi sains kesihatan," katanya.

Beliau yang juga bekas Exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM ini, begitu besar pengaruhnya dalam mahasiswa USIM apabila sering diundang sebagai pengacara dan hos.

Semua itu memberi ruang yang begitu berharga buat beliau meraih kesempatan menyampaikan elemen-elemen dakwah dalam program universiti.

Anak muda yang pernah merangkul beberapa anugerah dalam bidang kesenian ini ternyata tidak mempersiakan bakatnya.

Pelbagai persembahan mendapat sentuhan Ahmad Faiz antaranya persembahan lakonan, puisi dan berbagai lagi ternyata memberi kesan dan impak memukau para penonton.

Antara anugerah dan menjadi rekod pencapaiannya adalah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Harapan 2007/2008 peringkat institusi pengajian tinggi seluruh Malaysia, sempena Festival Teater Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (Makum).

Ia merupakan anugerah pertama kategori individu yang dirangkul oleh USIM dalam bidang lakonan dan teater.

Baginya melakar sejarah kejayaan bukanlah mudah tetapi komitmen dan kesungguhan yang tinggi apatah lagi lakonannya yang berpaksikan hukum-hukum syariah.

Sebagai Presiden kumpulan teater USIM (ATRA) dari 2006-2009, Ahmad Faiz pembawa watak 'Pak Desa', yang berperwatakan lawak dan kelam kabut ini menjadi asas kekuatan kejayaan teater Tikar Mengkuang Hamparan Bulu.

Selain itu, pada tahun 2009 beliau turut diangkat menjadi Finalis Anugerah Bonang Emas, iaitu anugerah yang dinobatkan untuk Tokoh Seni Mahasiswa Malaysia peringkat kebangsaan.

Aplikasi kepelbagaian ilmu yang menjadi enjin kepada teknologi, dan keindahan seni membangkitkan lagi daya kreativiti dalam pembangunan masyarakat yang bertamadun yang seimbang.

Justeru, bagi Ahmad Faiz, sisi dakwah itu begitu luas dengan pendekatan dan penguasaan dalam ilmu dan kemahiran.

"Inilah yang harus terus diperjuangkan," tegasnya.

Ahmad Faiz (dua dari kiri) semasa lawatan The Future Scientist di Melbourne, Australia, baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: