Monday, October 24, 2011

Kerjasama KAYM, Universiti Adelaide


SARONI Judi bertukar-tukar dokumen MoA dengan Yung Ngothai sambil disaksikan Najib Razak di Melaka, baru-baru ini.


KOLEJ Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) melakar sejarah apabila menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Universiti Adelaide (UA), universiti terkemuka Australia bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang akademik.

MoA itu telah ditandatangani Ketua Eksekutif KAYM, Datuk Saroni Judi dan Timbalan Dekan Antarabangsa Fakulti Sains Matematik dan Kejuruteraan Komputer UA, Dr Yung Ngothai.

Majlis pertukaran MoA itu telah disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam sempena Majlis Perasmian Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) baru-baru ini.

Memorandum Perjanjian ini merangkumi kerjasama bagi program pertukaran ijazah dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik dan Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, di mana pelajar-pelajar akan melanjutkan pengajian mereka selama dua tahun di KAYM, Malaysia dan seterusnya dua tahun menyambung pengajian di UA.

Bagi bidang sains komputer, perniagaan dan perakaunan para pelajar akan memulakan pengajian selama satu tahun setengah di KAYM dan baki setahun setengah lagi akan diteruskan di UA.

Sementara itu, Saroni berkata, UA sedia bekerjasama dengan KAYM bagi menjalin hubungan dua hala dalam bidang pendidikan tinggi dan ini merupakan peluang KAYM mengukuhkan hubungan sejagat di peringkat antarabangsa.

Katanya, dengan termeterainya MoA ini dapat membentuk rangkaian antarabangsa yang akan memperkukuhkan kerjasama dalam bidang akademik dan beberapa inisiatif utama.

"Ini akan menjadi satu penanda aras bagi KAYM untuk terus maju setapak lagi di arena antarabangsa dalam usaha mencari peluang dan memperluaskan jaringan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi di peringkat global" katanya.

Menurut Saroni, melalui kerjasama ini, kerajaan Malaysia akan dapat mengurangkan kos perbelanjaan menghantar para pelajar ke luar negara apabila program ini dilaksanakan KAYM.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: