
PASANG surut hubungan Malaysia-Indonesia bukan berlangsung dalam tempoh sehari atau setahun dua. Mengambil titik mula sejak zaman konfrantasi pada tahun 1963, lewat kebelakangan ini perbalahan hubungan yang dikatakan serumpun itu dilihat begitu acap tercetus.
Mengambil contoh tahun 2002 mengenai perebutan Pulau Sipadan dan Ligitan dan tahun 2005 pemilikan Ambalat, kemudian isu-isu seperti penderaan tenaga kerja atau pencerobohan nelayan di perairan juga sudah selalu menjadi percakaran yang diperbesarkan sehingga menaikkan kemarahan rakyat.
Malah peliknya, perkara yang menjadi kebersamaan turut dijadikan ‘konflik’ sehingga slogan yang pernah disebut oleh Presiden Soekarno, Ganyang Malaysia pada tahun 1960-an kembali bermain di bibir warga Indonesia. Perkara kebersamaan itu termasuklah lagu Rasa Sayang, batik dan sajian lemang.
Lebih malang, apabila percakaran tersebut berlanjutan dengan kejadian mencabar maruah seperti ugutan penggunaan buluh runcing, melempar najis di Kedutaan Malaysia di Indonesia serta membakar bendera negara.
Menyedari betapa, hakikatnya seteru Malaysia-Indonesia banyak terbawa-bawa daripada isu yang remeh bahkan, termasuk hal-hal kebersamaan yang sebenarnya tiada berpenghujung, maka banyak pihak yang mencari jalan untuk mengakrabkan hubungan dua negara.
Bak kata Gabenor Sumatera Barat, Profesor Irwan Prayitno: “Media berhentilah mengejar rating,” membuktikan beliau menyedari ada sesetengah media terutamanya di Indonesia gemar menaikkan api kemarahan rakyat dengan isu sentimen untuk melariskan saluran TV, akhbar atau online masing-masing.
Inisiatif Iswami
Sekumpulan wartawan kedua-dua buah negara turut menyedari betapa, media sebenarnya boleh menjadi pencetus peperangan atau juga menjadi pendamainya.
Memilih untuk menjadi pendamai, maka terwujudlah apa yang dinamakan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia atau singkatannya Iswami sejak dua tahun lalu.
Merintis pelbagai program melibatkan politik, ekonomi, pendidikan dan sosial sejak tahun 2009, minggu lalu Iswami mengumpulkan lebih 300 wartawan dan budayawan kedua-dua buah negara di Bukit Tinggi, Sumatera Barat, Indonesia untuk satu pertemuan julung-julung kali yang bertemakan: Kita Jalinkan Hubungan Malaysia-Indonesia Yang Harmonis dan Bermartabat.

Walaupun pertemuan yang mengumpulkan tokoh wartawan dan budaya dari kedua-dua negara seperti pelakon Datuk Tamimi Siregar, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin, budayawan Indonesia, Taufik Ahmad dan tokoh wartawan Indonesia, H. Basril Djabar disulami dengan banyak isu-isu panas, namun pada akhirnya semua bersetuju untuk menyahut seruan sebuah bangsa serumpun yang jauh daripada perbalahan isu-isu remeh.
Bahkan, dalam pertemuan tersebut juga wartawan dan budayawan diterajui oleh Ketua Iswami Indonesia, Saiful Hadi dan Timbalan Pengerusi Iswami Malaysia, Datuk Chamil Wariya, melafazkan ikrar yang dinamakan Ikrar Bukit Tinggi.
Ia ikrar sebulat hati yang bukan sahaja janji untuk membantu secara proaktif mengukuhkan hubungan kedua-dua negara, memupuk persamaan dan persefahaman bahkan, membentuk perilaku wartawan dan kewartawanan yang lebih bertanggungjawab.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, melihat wartawan, budayawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga mempunyai peranan yang sangat besar kerana lebih dekat atau lebih mudah menyentuh hati masyarakat.
“Media tidak seharusnya saling mencabar atau mengapi-api sesama kita, sedangkan asal usul kita sebenarnya daripada susur galur yang sama iaitu Melayu. Seharusnya kebersamaan itulah yang perlu kita gali untuk mengeratkan hubungan.
“Malah, kalau dulu kita ada P. Ramlee, S. Effendi, D’Lloyd kemudian kini kita ada Siti Nurhaliza dan Upin Ipin, kita wajar menambahkan lagi jumlah budayawan serantau.
“Bahkan, dengan bahasa Indonesia dan bahasa Malaysia yang serumpun kita boleh menyarankan ia menjadi bahasa rasmi Asia Tenggara kerana kita mempunyai lebih 300 juta penutur termasuk di Singapura, selatan Thailand dan Brunei,” katanya.
Susur galur serumpun
Tokoh wartawan dan Pemimpin Redaksi ahkbar Harian Haluan, Hasril Chaniago, menarik para peserta dengan hakikat bahawa tiga suku kaum Indonesia yang banyak terdapat di Malaysia iaitu Minangkabau, Bugis dan Jawa menyebabkan kita berkongsi banyak kebersamaan.
Beliau juga mendalami mengenai susur galur suku Minangkabau termasuk melalui gambar tiga orang berketurunan Minang di mata wang Ringgit Malaysia, Rupiah dan Dolar Singapura untuk melihat betapa serumpunnya bangsa di nusantara ini.
Tiga individu tersebut ialah Yang di-Pertuan Agong pertama Malaysia, Tuanku Abdul Rahman, Presiden Pertama Indonesia, Soekarno serta Timbalan Presiden Pertama Indonesia, Mohammad Hatta dan Presiden Pertama Singapura, Yusof Ishak.
Justeru akuinya, peranan wartawan sesama wartawan seperti yang sedang dilakukan pada hari ini adalah sangat penting dan strategis.
“Kita sebagai wartawan dunia Melayu patutlah berperanan sebagai penjaga atau jurukunci pendapat umum. Kita patutlah mengutamakan pegangan dengan akal yang sihat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: