Thursday, October 20, 2011

Amerika Tengah diamuk ribut tropika


SEHINGGA kini jumlah kematian di El Salvador sudah mencecah 32 orang, manakala 28 lagi di Guatemala.


DENTUMAN petir bertali arus, gelongsoran lumpur dan banjir melanda Amerika Tengah baru-baru ini berpunca daripada tekanan rendah dibawa oleh ribut tropika.

Ia sekali gus memaksa ribuan penduduk berpindah daripada kediaman mencari tempat perlindungan bagi mengelak terdedah kepada ancaman nyawa mereka.

Hujan lebat mencurah-curah tanpa henti selama beberapa hari itu mengakibatkan beberapa negara seperti El Salvador dan Guatemala terputus hubungan terutamanya kawasan luar bandar akibat jalan utama dinaiki air.

Lebih memburukkan keadaan, kira-kira 80 orang kehilangan nyawa di negara-negara berkenaan. Guatemala merupakan antara negara yang terjejas teruk.

Penyelaras Kecemasan, David De Leon berkata, hampir 48,000 orang yang terpaksa keluar dari rumah mereka disebabkan hujan tanpa henti di Guatemala.

"Sehingga kini terdapat sekurang-kurangnya 28 kematian yang telah disahkan dan para pegawai sedang dalam proses untuk mengesahkan lima lagi kematian dalam bencana ini," katanya.

Presiden Guatemala, Alvaro Colom pula berkata, terdapat peningkatan paras air di kira-kira 12 batang sungai di negara berkenaan yang boleh mengancam penduduk tempatan.


BAH besar di Amerika Tengah menyebabkan ekonomi negara itu terjejas teruk apabila banyak kedai terpaksa ditutup.


"Saya ingin menyampaikan pesanan kepada penduduk agar lebih berhati-hati apabila meneruskan perjalanan di jalan raya kerana bimbang dihanyutkan air atau terperangkap dek tanah runtuh.

"Penduduk juga perlu menjauhkan diri daripada tebing sungai kerana air sungai mula melimpah akibat hujan tanpa henti," katanya dalam akhbar tempatan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Roberto Monroy pula berkata, hujan yang turun tanpa henti telah mengakibatkan 18 buah sekolah dilanda banjir.

Dia menambah, sebanyak 40 sekolah lagi rosak teruk, manakala 80 buah pula tidak mempunyai laluan masuk.

Katanya, penduduk memerlukan tempat perlindungan pula telah dipindahkan ke 12 buah sekolah yang dijadikan lokasi perlindungan sementara.

Kelas-kelas di Quetzaltenango, Quiche, Sacatepequez, Escuintla, Izabal, Jutiapa, San Marcos, Suchitepequez, Peten, Santa Rosa, Retalhuleu dan Solola turut ditangguh buat sementara waktu.


SEORANG lelaki meredah air setinggi paras pinggang di Santa Rosa, Guatemala.


Sistem kaji cuaca yang terjejas teruk juga menyukarkan lagi keadaan di Guatemala dan Honduras bahkan, ada yang terbunuh akibat disambar petir.

Di El Salvador, kematian yang sudah lebih 32 orang selepas enam hari kejadian menyebabkan presidennya Mauricio Funes, mengisytiharkan negara itu berada dalam keadaan kecemasan.

Berbeza daripada Guatemala yang kebanyakan mangsa mati akibat lemas atau dipanah petir, mangsa di El Salvador pula maut akibat ditimbus banjir lumpur.

Di Nicaragua pula sekurang-kurangnya tujuh orang maut, manakala ribuan penduduknya terpaksa dipindahkan untuk memastikan keselamatan mereka.

Selain daripada dua negara berkenaan, Costa Rica yang turut terjejas telah memindahkan penduduknya terutama yang berada di perairan Pasifik dan ibu negara San Jose.

Mexico tidak terkecuali daripada terkena tempias apabila Taufan Jova kategori dua dari Pasifik telah melanda negara itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: