Monday, October 3, 2011

Munchy’s giat cipta nama

Pasti ramai yang sedia maklum tentang penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) pada awal bulan ini mengatakan salah sebuah pengeluar biskut terkenal keluaran tempatan iaitu Munchy’s mencampurkan bahan tidak halal semasa memproses biskut. Ternyata penyebaran SMS itu sama sekali tidak benar dan perkara itu dijelaskan secara terperinci Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Chuan Kok sebagai palsu.

Menurutnya, semua produk keluaran Munchy’s mengikut peraturan dan mendapat status halal menerusi sijil dan sentiasa berada di bawah pemantauan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Pengesahan sijil halal kami sentiasa dipantau dan semua produk ada sijil halal yang diiktiraf Jakim, dengan tempoh sah sehingga 31 Julai 2013,” katanya sebagai maklum balas terhadap tohmahan itu.

Penubuhan MFI

Bercerita tentang penubuhan Munchy Food Industries (MFI) Tan berkata, perniagaan itu dibina sebagai perusahaan keluarga bermula pada 1991 di Batu Pahat, Johor. Pada awal perniagaan, perusahaan itu dibangunkan menggunakan mesin pembuatan wafer batang terpakai dengan harga RM80,000.

Pada 1993, produk pertama iaitu wafer yang dinamakan Yosss dikeluarkan. Bertitik tolak daripada itu, jenama Munchy’s semakin berkembang dan mendominasi pasaran biskut negara. Kini MFI telah diperbadankan kepada dua entiti, MFI dan MunchWorld Marketing Sdn Bhd (MW). MFI bertindak sebagai syarikat pembuatan, manakala MW sebagai cabang pemasaran jenama.

“Pada awal pembabitan dahulu, aliran jualan kami agak perlahan. Kami hanya berjaya meraih jualan RM3 juta dan dengan sejumlah wang itulah kami agihkan untuk tiga bahagian seperti pemasaran, kewangan dan sumber manusia, jadi perjalanan urus niaga agak mencabar pada ketika itu,” katanya.

Menurutnya, selepas lima tahun membangun, akhirnya urus niaga Munchy’s berada pada landasan yang baik.

“Perniagaan yang hanya diusahakan secara berskala kecil itu akhirnya mula berorientasi sebagai perusahaan yang lebih besar dan kini muncul sebagai jenama nombor satu keluaran Malaysia,” katanya.

Katanya, kilang pembuatan di Batu Pahat ketika ini ada enam bidang kerja utama; dua untuk penghasilan wafer manakala empat untuk biskut di samping tujuh unit mesin wafer jenis batang. Setiap bulan 4,000 tan produk dikeluarkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: