Tuesday, October 25, 2011

ATM komited bantu Lebanon


Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (kanan) bersalaman dengan Kumpulan Kedua Malbatt 4 bagi misi UNIFIL di Pangkalan Udara Subang, semalam.


KUALA LUMPUR 24 Okt. – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) komited untuk terus menghantar pasukan misi keamanan Batalion Malaysia (Malbatt) ke Lebanon untuk memastikan keamanan di negara berkenaan sentiasa terpelihara.

Menurut Panglima Angkatan Bersama, Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, penglibatan ATM dalam misi keamanan di peringkat antarabangsa itu juga membuktikan bahawa sumbangan organisasi tersebut sangat dihargai oleh kerajaan serta rakyat Lebanon.

Malah, katanya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengiktiraf sumbangan itu sehingga memberi kepercayaan kepada ATM untuk meneruskan penghantaran pasukan Malbatt ke Lebanon.

“Setakat hari ini, kita telah menghantar empat pasukan Malbatt ke Lebanon untuk menyertai misi keamanan di sana. Kita amat komited untuk melaksanakan tugas memelihara keamanan di Lebanon dan diberi kepercayaan oleh PBB untuk melaksanakannya.

“Ia bukan sahaja telah melonjakkan nama ATM sebagai salah sebuah organisasi ketenteraan bertaraf antarabangsa, malah ia sekali gus memperkenal serta mengharumkan nama negara dengan kejayaan pasukan-pasukan Malbatt sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penghantaran 212 anggota kumpulan kedua Malbatt 4 yang menyertai misi pasukan PBB selama setahun di Lebonan iaitu mulai 25 Oktober 2011 sehingga 25 Oktober 2012.

Selain itu, menurut Ahmad Kamarulzaman, penerimaan kerajaan serta masyarakat Lubnan terhadap kehadiran ATM untuk membantu mengawal keamanan di negara tersebut menjadi satu isyarat bahawa masyarakat antarabangsa yakin serta menaruh kepercayaan terhadap keupayaan, kredibiliti dan profesionalisme ATM.

“Penglibatan ATM dalam misi ini juga membuktikan bahawa tahap kesiagaan organisasi ini sering kali berada pada tahap tertinggi dan boleh diatur gerakkan pada bila-bila masa sahaja,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: