Tuesday, October 25, 2011

Lan Trojan nyaris maut kena peluru sesat


Azlan Ahmad (tengah) membantu anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Lebuh Raya Alor Setar-Sungai Petani, Kedah.


SEBAGAI anggota polis, Koperal Ahmad Ismail amat memahami bidang tugas dan keistimewaan kerjaya dalam pasukan keselamatan itu.

Walaupun menyedari gaji sebagai kakitangan awam tidaklah tinggi seperti sektor swasta, namun bapa kepada enam anak itu berazam mewariskan pekerjaan tersebut kepada anak-anaknya kerana yakin ia mampu membentuk mereka menjadi lebih berdisiplin.

Hajat bekas anggota polis dari cawangan kereta peronda di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar, Kedah itu akhirnya tercapai apabila tiga anak lelakinya diterima menganggotai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Salah seorang anaknya yang memilih kerjaya polis ialah Sarjan Azlan Ahmad, 46, yang kini bertugas dengan Trafik Pasukan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebagai Penyelia Sektor 2 iaitu Alor Setar-Sungai Petani.

Azlan atau popular dengan gelaran Lan Trojan di kalangan rakan setugas berkata, bapanya yang sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu pasti akan berbangga apabila dapat mewariskan kerjaya polis kepada beliau dan dua lagi abangnya.

Selain Azlan, turut memilih bidang kepolisan sebagai kerjaya ialah abang sulungnya, Sarjan Mejar Mohd. Jamil Ahmad, 52, yang bertugas sebagai anggota Cawangan Khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan abang keduanya, Asisten Supritendan Mohd. Kamal Ahmad, 50, pegawai Bahagian Agama dan Kaunseling (Baka) PDRM di Briged Tengah, Cheras.

"Saya sebenarnya dipaksa oleh ayah agar memohon jawatan konstabel kerana ayah kata ia dapat mendisiplinkan saya dan mahu memastikan masa depan saya lebih terjamin.

"Walaupun berat hati memenuhi kemahuan ayah, namun saya kini bersyukur apabila akhirnya mampu menikmati kehidupan selesa dan gembira dengan pekerjaan tersebut," katanya kepada Gaya Polis baru-baru ini.

Azlan memberitahu, beliau memulakan kerjaya dalam bidang kepolisan pada 13 Mac 1986 apabila menjalani latihan konstabel di Pusat Latihan Polis Air Hitam (Pulapah, kini dikenali sebagai Pulapol Air Hitam) di Negeri Sembilan.

Tamat latihan, beliau memulakan tugas pertama sebagai anggota tugas am di IPD Kota Tinggi, Johor sehinggalah ditukarkan ke Cawangan Trafik Johor Bharu, Johor.

Pada 2003, beliau dipindahkan ke Cawangan Trafik Bukit Aman ditempatkan di pejabat Peronda Lebuh Raya Ipoh Selatan sebelum ditukar ke jawatan sekarang pada 2008.

Anak keempat daripada enam beradik ini memberitahu, sepanjang 25 tahun dalam PDRM, pelbagai pengalaman pahit dan manis sudah ditempuhinya.

Antara yang sukar dilupakan ialah insiden yang hampir meragut nyawanya berlaku pada 1988 semasa tinggal bersama rakan-rakan di berek bujang IPD Kota Tinggi.

"Saya baru dua tahun bertugas dalam pasukan polis apabila terkena tembakan dilepaskan secara tidak sengaja oleh seorang rakan yang baru pulang menjalankan tugas rondaan.

"Tembakan itu terkena pada belakang badan dan menembusi antara dada dan perut saya menyebabkan saya mengalami cedera parah," katanya.

Azlan memberitahu, dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu, beliau bersama tujuh rakan sedang berehat sambil menonton televisyen di ruang tamu berek apabila rakan yang juga sahabat karibnya terlepas tembakan dari pistol yang dipegangnya secara tidak sengaja.

Menurutnya, beliau langsung tidak menyedari terkena tembakan sehinggalah seorang rakan menghampirinya memaklum ada darah keluar dari belakang badannya.

Apabila diperiksa, beliau terkejut apabila mendapati ada kesan tembakan menembusi tubuhnya dan melihat sebutir peluru bersama daging terlekat pada almari di hadapannya.

"Pada masa itu, baru saya terasa sakit dan darah mula membuak-buak keluar dari tubuh saya. Saya dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi sebelum dipindah ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bharu untuk rawatan lanjut," katanya sambil memberitahu kesakitan dirasai waktu itu menyebabkan beliau teringat akan mati.

Azlan berkata, beliau bernasib baik kerana tembakan tersebut tidak terkena pada organ penting di dalam tubuhnya dan kembali sihat selepas tiga bulan menjalani rawatan di hospital dan secara tradisional di rumahnya.

Azlan mengakui peristiwa itu meninggalkan kesan dalam kehidupannya sehingga kini terutama semasa hujan dan petir kerana bekas tembakan akan terasa ngilu, malah beliau tidak mampu lagi mengangkat benda berat.

Suami kepada seorang jururawat, Tengku Norlaila Tengku Mat, 36, dan bapa kepada tiga cahayamata berusia 6 hingga 12 tahun ini bagaimanapun tidak berdendam dengan rakan yang 'menembaknya' kerana menyedari ia adalah satu kemalangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: