
GOMBAK 24 Okt. - Pasukan debat Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan berentap di peringkat akhir Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri 2011 (PPM) kategori bahasa Melayu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) malam esok.
Pada peringkat separuh akhir hari ini, UiTM berjaya menewaskan Universiti Malaya (UM) manakala USIM pula menumpaskan UIAM.
Bagi kategori bahasa Inggeris pula, UIAM akan bertemu UiTM di peringkat akhir setelah masing-masing menewaskan UM dan Kolej KDU.
Ketua pasukan debat USIM, Ummu Umairah Azahari, 24, berkata, pengalaman memenangi Pertandingan Debat Pendidikan Islam peringkat ASEAN Jun lalu akan dimanfaatkan bagi memenangi debat kali ini.
"Harapan kami supaya dapat melakukan yang terbaik dan jika menang ia dianggap sebagai bonus kepada kami," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Debat PPM yang pertama kali dianjurkan disertai 44 institut pengajian tinggi berlangsung selama lima hari bermula 20 Oktober lalu.
Pertandingan yang dinaungi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu menawarkan hadiah bernilai RM25,000 bagi juara dan RM15,000 kepada naib johan bagi setiap kategori.
Sementara itu, ketua pendebat UiTM, Muhammad Syafiq Musa, 20, menyifatkan kejayaan pasukannya mara ke peringkat akhir sebagai bernasib baik.
"Bagaimanapun kami akan meneliti kembali segala kelemahan pada hari ini untuk memberi saingan sengit kepada pihak lawan esok,'' katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: