Thursday, October 20, 2011

Tayangan digital penuh di planetarium



JARI-JEMARI Syaharudin Mohd. pantas menekan tetikus dan papan kekunci untuk memastikan paparan imej muncul tepat pada waktunya. Pada waktu yang sama dia memutarkan butang pada papan kekunci lampu bagi mengawal pencahayaan semasa tayangan filem pada siling kubah Planetarium Negara Kuala Lumpur.

Berbanding hari ini, dahulu dia memerlukan seorang pembantu yang berada di bahagian belakang tempat penonton untuk menjaga sistem bunyi. Mereka berdua perlu seiring supaya tidak berlaku kejadian suara lebih cepat daripada pergerakan mulut.

Bukan itu sahaja, dahulu juga ketika tayangan, Syaharudin perlu mengawal dua buah projektor dan sebuah lampu yang dipanggil Optical Star yang memberi efek cahaya bintang untuk filem-filem berkisar alam semesta.

Sebaik tamat tayangan selama 20 minit itu, lelaki yang sudah bekerja di situ sejak tahun 1993 perlu menggulung semula filem untuk tayangan berikutnya.

“Persediaan untuk tayangan sahaja memakan masa sehingga dua jam. Jadi, dalam sehari hanya ada empat tayangan. Namun hari ini, dengan teknologi yang dipertingkatkan sistem baharu sekarang mampu membuat tayangan sehingga tujuh kali sehari,” ujarnya ketika ditemui di Planetarium Negara baru-baru ini.

Sistem yang baharu dinaik taraf daripada analog ke digital itu mula digunakan sejak Disember 2009 betul-betul memudahkan kakitangan Planetarium Negara, manakala mutu tayangan pula semakin meningkat.

Sejak planetarium dibuka pada tahun 1993, ia menggunakan sistem analog yang dipanggil sebagai IWork iaitu semua tayangan filem menggunakan gulungan filem bersaiz 70 milimeter.

Kini, Syaharudin sudah boleh bekerja seorang diri dan tiada lagi kerja-kerja menggulung filem malah, dia boleh memilih mana-mana adegan pada pertengahan jalan cerita untuk ulang tonton.

Sistem bunyi pula boleh diseragamkan dengan imej dengan mudah melalui beberapa klik pada pengaturcara sahaja.

Daripada mata penonton, gambar yang ditonjolkan sangat baik dengan tayangan imej yang mencapai resolusi sehingga 4,000 megapiksel iaitu empat kali ganda kualiti berdefinisi tinggi (HD).

Selain itu, sistem bunyi pawagam kubah turut dinaik taraf menggunakan sistem F5 Surround Sound dengan kecerahan skrin sebanyak 11,000.

Seloroh Syaharudin, hanya satu perkara yang masih sama dengan sistem lama iaitu tempoh sesebuah tayangan tidak lebih 20 minit.


PLANETARIUM negara mula dibuka kepada orang ramai sejak tahun 1994.


“Filem-filem begini tidak boleh ditayangkan begitu lama kerana akan memberi kesan kepada penonton seperti pening, mual dan mengantuk,” ujarnya mengutarakan pendapat.

Sistem

Sistem digital yang digunakan oleh Agensi Angkasa Negara di Planetarium Negara itu dikenali sebagai sistem Full Dorm Digital. Ia mula digunakan di Amerika Syarikat sejak tahun 2004 tetapi, dengan versi yang berbeza manakala di Malaysia merupakan versi terkini.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Asmidar Zainol, banyak perubahan yang boleh dibuat penukaran sistem daripada analog ke digital pada bahan penyampaian.

“Sebelum ini, bahan tayangan sangat terhad. Hanya filem-filem berbentuk dokumentari yang kebanyakan daripada saluran Discovery Channel sahaja,” ujarnya kepada Kosmo!.

Ia sudah tentu membosankan dan sukar menarik perhatian orang ramai tetapi dengan perubahan terbaharu itu, pihak Angkasa boleh mempelbagaikan genre filem seperti animasi, teori, sejarah dan drama.

Pada tahun ini sahaja, sebanyak empat buah filem ditayangkan untuk tontonan pengunjung iaitu Solar Storm, Fly me to the moon, Dawn of Space Age dan Pasport to the Universe.

Visual-visual yang sukar untuk dipaparkan seperti Galaksi Andromeda, Milkaway dan M42 juga dapat direalisasi dengan menggunakan sistem tersebut, manakala buruj-buruj bintang turut boleh disampaikan kepada penonton dengan lebih realistik.


KINI, lampu yang dikenali sebagai Optical Star ini hanya digunakan pada majlis-majlis yang tertentu untuk memberi efek bintang dan galaksi.


Kini, menurut Asmidar, Optikal Star sudah tidak digunakan lagi untuk tayangan filem. Ia cuma berfungsi pada majlis-majlis tertentu sahaja yang memerlukan efek bintang di langit.

Kanta mata ikan

Pegawai Penyelidik Angkasa, Mohamad Hamka Muslim, 29, berkata, disebabkan skrin di Planetarium Negara berbentuk kubah jadi, setiap bahan tayangan perlu diubah suai supaya boleh digunakan dengan kanta mata ikan.

“Hanya beberapa langkah diperlukan untuk memproses iaitu menyesuaikan pada opsyen dan proses rendering (kemasan),” terang Hamka lagi.

Selain itu, sistem Full Dorm Digital boleh juga digunakan untuk membuat simulasi pergerakan objek-objek cakerawala seperti planet, bulan dan satelit.

“Dengan memasukkan data-data pergerakan satelit dahulu, laluan satelit dan kelakuan pergerakannya dapat dilihat semula,” ujar Hamka lagi.

Animasi angkasa tempatan

Full Dorm Digital juga boleh digunakan sebagai medium untuk meramal pergerakan dan fenomena alam seperti kejadian gerhana dan mengesan lokasi jatuh satelit.

Malah, sistem itu juga boleh menjadikan teori-teori yang belum disahkan seperti lohong hitam ditunjukkan secara visual pada pandangan penonton melalui lohong tersebut.

Darjah kecondongan pada grafik seperti planet dapat ditentukan mengikut kemahuan pereka.


OPERATOR tayangan hanya perlu memasukkan setting dengan memilih tajuk filem sebelum tayangan bermula.


Terbaharu, pihak Angkasa sedang dalam proses untuk menyiapkan sebuah filem animasi tempatan yang dijangka akan ditayangkan pada tahun 2012.

Judul filem yang masih dirahsiakan itu merupakan 100 peratus hasil titik peluh anak tempatan menghasilkan filem bergenre sains angkasa iaitu daripada percambahan idea sehingga post-produksi.

Terang Hamka, sebelum ini, kebanyakan bahan tayangan disewa dari negara-negara di Eropah dan Amerika Syarikat tetapi, jika menggunakan bahan buatan tempatan ia mampu menjimatkan kos sehingga 50 peratus.

Cubaan pertama mereka adalah dengan membuat klip pendek yang memberi penerangan mengenai adab-adab ketika menonton tayangan di skrin kubah, Planetarium Negara.

Sudah empat bulan ditayangkan, paparan grafik yang ditunjukkan amat menarik dan boleh dibanggakan.

Selain Planetarium Negara yang dinaik taraf ke sistem digital, Balai cerap Al-Baruni, Sabah, Planetarium Sultan Iskandar, Sarawak dan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka turut dinaik taraf, manakala di Kuala Terengganu masih sedang dalam perancangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: