Monday, October 24, 2011

Hadiah Take Me Out sekadar temujanji


SEBAHAGIAN daripada 30 peserta yang terbabit dalam Take Me Out pada pelancarannya di Cyberjaya, baru-baru ini.


BIASANYA sesebuah pertandingan akan menjanjikan hadiah berupa barangan ataupun wang tunai. Bagaimanapun berlainan pula halnya dengan pertandingan terbaru yang diberi nama Take Me Out terbitan stesen televisyen, ntv7.

Menurut Pengurus Besar ntv7 dan 8TV, Airin Zainul, pertandingan yang bertujuan mempertemukan pasangan jejaka dan gadis itu hanya akan menyediakan hadiah berupa temujanji yang akan ditaja oleh pihaknya.

"Seorang peserta wanita yang berjaya dipertemukan dengan lelaki pilihan mereka atas dasar suka sama suka itu akan dipilih sebagai pemenangnya pada setiap minggu. Mereka berpeluang mengadakan temujanji bersama.

"Pada pertemuan itu, pasangan terbabit akan mendapat tajaan daripada segi lokasi, makan minum dan kemudahan pada pertemuan mereka itu nanti," katanya pada sidang akhbar pelancaran Take Me Out di Cyberjaya, baru-baru ini.

Take Me Out yang akan disiarkan di ntv7 pada setiap Jumaat pukul 8.30 malam mulai 11 November ini, sebanyak 15 episod, akan menampilkan seramai 30 wanita daripada pelbagai kaum.

Para peserta terbabit akan dipertemukan dengan seorang jejaka pada setiap minggu di mana mereka akan bersaing sesama sendiri dalam usaha untuk memilih atau menolak jejaka terbabit mengikut citarasa masing-masing.

Jelas Airin, Take Me Out yang diadaptasi daripada rancangan berasal dari Australia dan telah disiarkan di 35 negara itu mampu menarik perhatian para penonton kerana ia mempunyai banyak nilai hiburan yang tersendiri.

"Dalam rancangan ini kami mahu menunjukkan gaya pencarian cinta yang tersendiri melalui para peserta yang diketengahkan. Ia sesuatu yang menarik lagi melucukan. Banyak elemen kejutan dalam setiap episod pertandingan ini.

"Kami yakin Take Me Out mampu menarik perhatian ramai terutamanya selepas ia disiarkan di negara seperti Thailand dan Indonesia. Kami telah meninjau untuk mengadaptasi pertandingan ini sejak dua tahun lalu.

"Bagaimanapun kami terpaksa menyesuaikannya dengan suasana budaya dan agama di negara ini agar tidak timbul isu sensitif. Ini kerana, Malaysia tidak sama seperti di Thailand atau Indonesia yang agak terbuka dalam isu berpacaran," ujarnya.

Rancangan yang diacarakan oleh Nazrudin Rahman dan Julie Woon itu sentiasa peka dengan isu-isu sensitif membabitkan soal berpacaran kerana terdapat kalangan peserta Melayu dan di dalamnya.

Justeru, menurut Penerbit Kandungan Take Me Out, Sean Jesudasan, pihaknya tidak akan menyiarkan adegan-adegan yang dirasakan kurang sesuai membabitkan peserta beragama Islam bagi mengelakkan sebarang isu.

"Kami bukan sahaja akan memastikan setiap peserta mestilah masih bujang tetapi pada masa sama setiap peserta beragama Islam yang berjaya memenangi pertandingan itu visual mereka keluar bersama jejaka pilihan tidak akan disiarkan.

"Ia bagi mengelakkan persepsi negatif kerana bimbang ia akan menjadi isu apabila seorang wanita keluar berdua-duaan dengan lelaki yang bukan muhrim. Kami juga mempunyai lembaga penapis bagi menjaga isu itu.

"Selain itu, jika kami dapati ada peserta yang menipu masih bujang sedangkan mereka sudah ada kekasih atau telah berkahwin maka mereka secara automatik akan disingkirkan daripada pertandingan ini," jelasnya.

Pemilihan 30 peserta wanita berusia 30 tahun ke atas dalam Take Me Out dilakukan menerusi sesi ujibakat yang diadakan di mana ada juga peserta yang menghantar penyertaan melalui online sebelum mereka dipilih selepas menjalani ujian oleh panel pertandingan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: