Sunday, June 5, 2011

Utamakan ikatan keluarga

pix_middle

SENYUMAN mesra meleret di bibir Rabecca Nur Al Islam Ahmad tatkala menyambut kehadiran penulis bersama jurugambar, Amrul Azuar Mokhtar yang dibantu Muhammad Salleh Sharipuddin ke kediaman cantiknya. Dengan ramah dipersilakan kami duduk di sofa mewah yang tersusun rapi sambil meminta pembantu rumahnya menyediakan minuman.

Dia yang rancak didandan jurusolek Epie Temerloh ceria bercerita mengenai rutinnya sambil melayan gelagat putera bongsunya, Nor Adam Daniel, 3. Sesekali dua lagi zuriat hasil perkahwinan terdahulu suaminya, Nor Azam Datuk Sulaiman iaitu Nor Khayrin Sofia, 9 dan Nor Arif Qayyum, 15, menjengah ke ruang tamu untuk bermain dengan Adam dan bertanyakan beberapa perkara kepada pelakon jelita ini.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Suasana harmoni itu sudah cukup membuktikan betapa penyayang aktres ini. Kasihnya sama rata bahkan kewibawaannya sebagai ibu sangat menyerlah. Dalam usia 25 tahun, dia mampu melaksanakan tugas seorang ibu dengan baik sama ada terhadap Adam ataupun dua anak tirinya itu.

"Alhamdulillah, kehidupan saya sangat bahagia di samping suami dan anak-anak. Mereka jadi keutamaan malah boleh dikatakan sebahagian besar masa saya setiap hari adalah melayan mereka.


"Sebagai ibu, saya mahu berikan kehidupan terbaik buat mereka. Apa yang mereka perlukan, saya sediakan malah akan pastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan gembira. Sebab itulah jika tidak terikat dengan penggambaran, selepas anak-anak pulang dari sekolah, saya akan bawa keluar berjalan-jalan.


"Kalau pun ada penggambaran, saya akan sediakan segala keperluan mereka terlebih dulu. Sepanjang ketiadaan saya, pembantu rumah dan suami akan tengokkan mereka.

"Saya dan suami juga amat menitikberatkan pendidikan anak-anak. Walaupun baru berusia tiga tahun, Adam sudah saya hantar ke sekolah dan ke kelas komputer. Abang dan kakaknya pula memang rajin belajar. Mana yang mereka tidak tahu, saya akan bantu sampai mereka faham," katanya.

Bagi menambahkan kemesraan, Rabecca melayan anak-anak seperti rakan karib. Justeru itu, tiada istilah segan atau kekok untuk berbicara apa saja perkara bahkan dia menjadi tempat mengadu dan luahan hati anak-anak.

Hatinya mudah tersentuh andai anak-anak bersedih, pasti dipujuk secepat mungkin agar suasana kembali ceria. Usah disebut istilah anak tiri atau angkat kerana baginya Adam, Sofia dan Qayyum adalah anugerah terindah dalam hidupnya.

Biarpun nampak moden, wanita ini amat mementingkan ikatan kekeluargaan bahkan baginya keluarga adalah syurganya. Hidupnya sudah cukup indah jika dikelilingi keluarga malah tabiat berkumpul diamalkan sehingga ke hari ini.

"Saya dilahirkan dalam keluarga yang besar, ada lapan beradik serta 12 anak saudara. Hubungan saya dengan abang, kakak dan adik sangat rapat, begitu juga dengan lima kakak ipar. Kesemua anak buah memanggil saya Mummy. Bila dikelilingi keluarga, tak keluar rumah pun tak mengapa kerana mereka sudah buat hati saya gembira dan masa saya terisi.

"Apabila berkahwin, keluarga besar saya bertambah. Kehadiran suami dan anak-anak saya disambut baik, malah mereka menjadi kesayangan ramai. Saya juga bertuah kerana mendapat mentua dan ipar-duai yang sangat baik.

"Mentua saya penyayang orangnya, ke mana-mana saja mereka pergi pasti ada ole-ole untuk saya. Jika menganjurkan majlis, ibu mentua akan hadiahkan saya jubah dan kami anak-beranak akan tampil sedondon dalam acara berkenaan," katanya.

Lima bulan mendirikan rumah tangga, dia disirami kasih sayang tidak bertepi malah dilayan bagaikan puteri. Dia antara wanita bertuah dan berdoa moga cinta yang melimpah ruah itu kekal hingga ke akhir hayat.

Biarpun ada yang cuba mengganggu kebahagiaan itu, dugaan itu tidak menjadi kudis kepada pasangan ini. Kejujuran dan kepercayaan yang ditekan selama ini menjadi penawar kepada segala racun tidak diundang itu.

"Dari dulu suami telus dengan saya. Kalau ada apa-apa, dia akan cakap termasuklah cubaan beberapa wanita untuk mendekatinya. Ada yang berani mengirimkan SMS untuk menggoda dan perkara itu tidak dirahsiakan daripada pengetahuan saya. Saya percayakan dia dan tidak pernah timbul syak wasangka. Saya tahu dia setia dan tidak akan melayan sesuatu yang boleh merosakkan kerukunan ikatan kami.

"Pernah juga hati saya terguris tapi Mama nasihatkan supaya jangan ikutkan sangat hati. Dalam rumah tangga perlu ada toleransi dan banyak bersabar jika mahu aman damai. Saya jadikan kata-kata Mama sebagai panduan.

"Saya tahu dia suka saya nampak sentiasa cantik, kalau boleh tidur pun kena cantik. Untuk buat dia senang hati, saya pastikan dia senang melihat saya. Jadi kenalah sentiasa jaga penampilan tidak kira di rumah ataupun keluar bersamanya.

"Biarpun sibuk dengan anak-anak dan komitmen sebagai pelakon, saya tidak pernah mengabaikan perasaannya. Sesibuk mana sekalipun saya akan luangkan masa untuk berdua-duaan. Jadi rutin setiap malam Sabtu selepas anak-anak tidur, kami akan keluar menikmati momen romantik bersama tidak kira makan lewat malam, menonton wayang ataupun mendengar muzik," katanya.

Bercerita lanjut mengenai pengamal undang-undang yang bertakhta di hatinya itu, Rabecca berkata:

"Dia suami yang penyayang, baik dan sangat menghargai isteri. Paling cepat dia keluar ke firma guamannya adalah pada 9 pagi dan akan pulang ke rumah paling lewat 5.30 petang. Di pejabat, dia akan menghubungi saya beberapa kali untuk bertanya khabar. Kami ibarat pasangan yang hangat bercinta, kalau berpisah sekejap pun akan rasa rindu. Buat saya lebih menghormatinya adalah dia suka melayan anak-anak dan adil dalam pembahagian kasih sayang. Tidak ada beza antara Sofia, Arif dan Adam. Kalau buat salah dia akan tegur tetapi dengan cara yang sangat berhemah."

Bagi mengakrabkan lagi ikatan kekeluargaan, mereka akan memperuntukkan masa membawa anak-anak bercuti ke luar negara. Setakat ini keluarga bahagia ini sudah berkunjung ke Hong Kong, Vietnam, Singapura, China dan akan ke London selepas anak sulung mereka selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah.

Mengulas perihal karier, wanita tinggi lampai ini masih ligat di lokasi penggambaran. Selagi ada tawaran dia pasti beraksi dan tidak pernah terfikir untuk berundur atau memperlahankan rentak biarpun mampu hidup mewah.

Dia yang kini hamil tidak betah duduk diam sementelah lagi berlakon sudah jadi darah dagingnya. Jika tidak bekerja atau beraksi depan kamera seperti ada yang tidak kena dalam hidupnya. Setidak-tidaknya sebulan sekali dia akan berlakon untuk kepuasan diri.

"Setiap bulan suami ada bagi duit belanja, kalau tak bekerja pun jumlahnya lebih daripada cukup. Namun, saya sudah biasa bekerja, jadi saya minta izin suami untuk berlakon seperti sebelum kami mendirikan rumah tangga.
Alhamdulillah dia tahu minat saya dan tidak pernah menghalang. Cuma, pesannya saya kenalah pandai jaga diri dan maruah keluarga.

"Lakonan saya dalam telefilem Cinta Qadeja ditayangkan 21 Mei lalu di saluran TV3. Begitu juga drama Bait Cinta yang ditayangkan di TV9 setiap Isnin dan Selasa.

"Ada beberapa lagi tawaran yang sedang dalam pertimbangan. Saya tidak cerewet dalam pemilihan watak, selagi boleh bawa saya akan buat. Suami setakat ini faham dan tidak kisah saya pegang apa saja watak kerana dia tahu itu hanyalah lakonan dan atas dasar profesional," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: