MENYELAMI kisah hidup penyanyi bergelar pelakon, Elly Mazlein memang menarik. Sepanjang kariernya sebagai anak seni dia tidak pernah berhenti daripada dihujani persoalan membingungkan berkaitan status dirinya.
Khabar mengenai wanita bernama Sharifah Aida Mazlin Syed Hanafi telah berkahwin dengan golongan atasan atau VVIP heboh dicanang lebih-lebih lagi apabila mendapat tahu Elly mengisi ruang sebagai isteri ketiga lelaki itu.
Tiada angin tiada ribut, warta itu bertiup kencang dan warga media tidak pernah penat bertanya soalan serupa walaupun Elly sering menafikan berita kurang enak itu.
Namun Elly tidak sekali pun membentak mahu pun melarikan diri daripada umum malah dia memilih untuk tidak melayan soalan sedemikian dan memilih untuk merahsiakan kisah peribadinya daripada pengetahuan ramai waima pihak media sekali pun.
Akhirnya setelah sekian lama bergelut dengan kisah sensasi itu, dia kini mampu menarik nafas lega apabila sah menjadi tunangan orang yang benar-benar dicintainya.
Perkenalan lebih dua tahun dengan pilihan hati, Azmi Hata membawa kepada perhubungan mereka itu bercambah mekar hingga masing-masing membuat keputusan untuk ke peringkat lebih serius dan mengikatnya dengan pertunangan.
Kesediaan Elly mengakhiri zaman bujangnya diumumkan seikhlas mungkin dan turut menjadikan faktor usia yang kini mencecah angka 30 sebagai pemangkin untuk serius dalam perhubungan.
“Alhamdulillah, Elly berasa amat bersyukur dan sejujurnya Elly lega dengan adanya majlis pertunangan ini kerana akhirnya ia dapat menutup cerita yang heboh diperkatakan sebelum ini.
“Seperti yang semua tahu sebelum ini Elly memang banyak berahsia tentang kisah peribadi Elly tetapi Elly pernah berjanji akan mengumumkannya apabila tiba masanya.
“Hari ini Elly tunaikan janji Elly itu dan berharap semua cerita yang timbul sebelum ini akan berakhir dan terjawablah bahawa Elly masih bujang dan baru sahaja hendak membina rumah tangga,” ujarnya.
Kepuasan yang dikecap Elly itu seolah-olah memberi maksud bahawa Elly rimas dengan cerita-cerita lama itu dijaja tanpa henti hingga menggugat kerjayanya sebagai seorang selebriti yang mempunyai imej bersih.
Namun dia tidak rimas malah dia menerima segala cerita-cerita itu kerana tahu sebagai seorang anak seni dia perlu menelan semua pahit manis yang datang dan perlu ditempuhi semua insan bergelar figura awam.
Lelaki matang yang cerdiik
Mengingat kembali detik hati Elly tertaut dengan pengarah filem Duhai Si Pari-Pari itu, dia tidak dapat menyembunyikan karakter lemah lembut dan sifat kebapaan yang dimiliki Azmi membuatkan dirinya mudah jatuh hati dengan Azmi.
Mengungkap Azmi sebagai seorang lelaki matang yang cerdik dalam menyelesaikan masalah apabila timbul perselisihan faham dalam perhubungan mereka memberi bayangan bahawa Elly benar-benar bahagia di sisi bakal suaminya itu.
“Saya gembira dengan pilihan saya, apa yang penting Azmi sangat menghormati kedua ibu bapa saya dan yang paling menarik perhatian saya ialah dia cepat mesra dengan anak-anak saudara saya.
“Selain itu dia juga seorang yang suka buat kejutan lebih-lebih lagi apabila Elly pulang dari penggambaran di lokasi yang jauh-jauh, pasti akan ada kejutan daripada Azmi,” luah Elly denyan senyuman.
Bagi Azmi pula pemilihan Elly sebagai suri hatinya sememangnya tidak dikesali kerana dia menyifatkan Elly sebagai individu yang serasi dengan dirinya dan menyatakan keserasian dalam perhubungan amat sukar dicari.
Menyunting Elly sebagai teman istimewa juga membuatkan Azmi berasa bertuah kerana memiliki wanita yang mudah mengerti kerjayanya serta mampu untuk bertolak ansur dalam serba-serbi.
Bapa kepada dua anak lelaki, Azam, 10, dan Aqif, 9, hasil perkahwinan pertamanya dahulu itu juga memberitahu, kedua-dua puteranya itu tidak berdepan masalah dengan perhubungannya bersama Elly malah anak-anaknya itu memanggil Elly dengan gelaran mama.
Kahwin Februari
Tempoh pertunangan yang diikat itu bakal diakhiri dengan perkahwinan yang dijangka akan berlangsung Februari tahun hadapan di mana terdapat keistimewaan di sebalik tarikh yang dipilih pasangan itu.
“Tarikh perkahwinan kami itu merupakan hari istimewa buat Azmi tetapi buat masa ini biarlah ini menjadi rahsia dahulu dan diumumkan apabila hari tersebut menjelang tiba,” kata Elly penuh makna.
Sekilas dilihat keakraban pasangan itu, tidak mustahil pengalaman dimiliki masing-masing yang bergelumang dalam industri seni tanah air menjadikan mereka cepat mesra dan mengerti jadual kerja satu sama lain.
Jika sebelum perkenalan, mereka tidak pernah disatukan dalam mana-mana kerja sekali pun, namun selepas menjadi pasangan kekasih mereka bekerjasama untuk beberapa drama bersiri seperti Kasih Berbunga Lalang, Relakan Cinta dan terbaru, Hantu Gigi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: