SUDAH menjadi lumrah setiap pertandingan, pasti ada yang menang dan kalah. Namun salah sebuah kumpulan yang menyertai program realiti tarian di 8TV, Showdown 2011 iaitu Borneo Crew (BRC) telah meluahkan rasa tidak puas hati dan kecewa yang teramat terhadap penyingkiran dalam episod yang berlangsung pada minggu lepas.
Luahan mereka dibuat tanpa berselindung sebaik penyingkiran diumum oleh juri yang terdiri daripada juri tetap, Maple Loo dan Joe Flizow serta juri undangan, Lady B.
BRC menegaskan mereka berasa tidak dihargai dan juga mempersoalkan tentang kenapa pada setiap minggu, empat kumpulan tercorot akan diisi oleh kumpulan tarian b-boy seperti mereka dan bukan hip hop.
“Grup yang memperjuangkan tarian b-boy tidak dipandang di Malaysia. Kami sebenarnya ingin mengharumkan nama Malaysia menerusi tarian b-boy namun tidak dihargai. Penyingkiran (kami) ini seperti mimpi ngeri bagi BRC sendiri.
“Kami mempunyai pengalaman hingga ke luar negara dan peminat kami juga ramai. Namun, mengapa setiap minggu kumpulan tarian b-boy akan jatuh ke senarai empat tercorot? Tetapi apakan daya, kami harus menerima keputusan ini seadanya,” ujar salah seorang anggota BRC, Abdul Kadir Unding.
Tambahnya, bukan hanya BRC berpendapat begitu, malah ramai lagi yang tidak berpuas hati dengan keputusan dan komen para juri.
“Setiap minggu juri tidak berpihak kepada kumpulan tarian b-boy terutama Maple Loo. Walaupun Maple seorang penari profesional, tetapi sebenarnya dia tidak tahu mengenai skil-skil tarian b-boy.
“Dia sering berikan komen yang tidak adil dan kami tidak pasti sebenarnya mereka menilai kami dari segi apa. Apa yang pasti, kami tidak lagi bercadang mahu memasuki semula Showdown pada musim hadapan,” tegas Abdul Kadir.
Selain kecewa dengan pihak juri profesional, bagi BRC, pemilihan lagu juga tidak memihak kepada kumpulan tarian b-boy. Lagu-lagu yang dipilih pihak produksi setiap minggu lebih memihak kepada genre hip hop.
“Kami pernah suarakan pendapat kami tentang hal itu, namun jawapan pihak produksi ialah kami perlu ambil ia sebagai cabaran. Sememangnya setiap pertandingan mempunyai cabaran, tetapi biarlah ia adil.
“Ini kerana dalam Showdown, peserta yang bertanding boleh dibahagikan kepada dua kumpulan tarian iaitu hip hop dan b-boy. Jika pemilihan lagu tidak diselaraskan dengan adil, semestinya kami kumpulan b-boy tidak dapat mempersembahkan skil dan kreativiti kami,” ujar seorang lagi anggota kumpulan BRC, Weiskarnain Md. Yasin.
Walau bagaimanapun, penyingkiran tersebut tidak mematahkan semangat BRC untuk kekal bergelar penari b-boy. Mereka juga bercadang untuk membuka studio tarian pada masa akan datang.
Dengan penyingkiran BRC itu, kini hanya tinggal lapan kumpulan yang akan berentap untuk merebut gelaran juara Showdown 2011 iaitu Panic, Elecoldxhot, Blazin Squad, HMC Phlow, Rokusteps, Force 136, Bounce Stepperz dan Stepholic.
Showdown 2011 bersiaran secara langsung di 8TV pada setiap Rabu, pukul 9.30 malam. Untuk mengikuti kisah-kisah di sebalik tabir dan mengenali kumpulan-kumpulan yang bertanding, jangan lupa menonton Showdown 2011 Diaries ….. From the Streets yang disiarkan pada setiap Selasa pada pukul 11.30 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: