Tuesday, June 28, 2011

Terap seni kepada pelajar

Perkampungan Seni 2011 anjuran Pusat budaya dan Seni (PBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini berjaya menerapkan nilai seni warisan negara kepada pelajar di peringkat bangku sekolah.

Kem ini juga memberi galakan kepada pelajar supaya dapat bergiat secara konsisten dan komited dalam kegiatan kebudayaan dan kesenian.

Menurut Pengarah PBS Huzaidy Hussain, bengkel seperti ini menjadi perangsang kepada pelajar mendekatkan diri dalam seni dan budaya apabila berada dalam masyarakat.

“Kerjasama harus dijalinkan supaya para pelajar lebih bergiat aktif dalam kegiatan kebudayaan dan kesenian ini, dan secara langsung dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka.

“Malah ia mewujudkan hubungan lebih erat dan berkesan antara sekolah dan universiti sekali gus dapat menjalinkan persefahaman dan kerjasama antara pelbagai organisasi di dalam dan di luar kampus.

“Selain itu, ia adalah sebagai langkah dalam mengetengahkan pelajar dalam bidang kebudayaan dan kesenian seterusnya memartabatkan khazanah seni negara”, katanya.

Empat buah sekolah terlibat dengan penyertaan seramai 350 pelajar, antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong, Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Kamunting, Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sintok.

Kem berlangsung selama dua hari itu, melibatkan beberapa slot yang dapat meningkatkan daya kreativiti dan motivasi mereka dalam kegiatan kebudayaan.

Antaranya ceramah motivasi, Ziarah Kampus, aktiviti fizikal seperti bersenam dan bersukan dan bengkel seni di mana setiap kumpulan akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut skop kesenian diminati dan perlu membuat persembahan pada majlis penutup.

Antara aktiviti dijalankan semasa latihan kebudayaan ialah, Bengkel Tarian Melayu, Tarian Thai, Bengkel Muzik Moden, Bengkel Caklempong dan Bengkel Kompang.


Malam Gala SimplySiti di UiTM

Bagi menghargai sokongan pengguna produk SimplySiti, Datuk Siti Nurhaliza akan mengadakan konsert Malam Gala di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Selain konsert, turut di adakan ialah karnival ulang tahun pertama produk tersebut. tidak berseorangan di pentas, Siti ditemani artis popular seperti Aizat, Amy Search dan Ana Rafali yang mendapat kerjasama empat fakulti iaitu Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Teka, Fakulti Senireka dan Fakulti Muzik.

Objektif utama konsert tersebut adalah untuk mengisi Tabung Mengubah Destini Anak Bangsa UiTM dan kesemua hasil kutipan derma dan tiket pada malam konsert akan disalurkan terus ke dalam tabung berkenaan.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan tiket pada harga RM38 di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Shah Alam.

Sehari sebelum konsert akan diadakan karnival jualan barangan SimplySiti, persembahan battle of the band, rumah hantu yang berkonsepkan filem-filem seram di Malaysia dan pameran oleh para pelajar UiTM.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: