Tuesday, June 21, 2011

Sultan Johor lawat pelajar kurang upaya


SULTAN IBRAHIM (tengah) menyaksikan tarian selamat datang di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indahpura, Kulaijaya pada program Kembara Mahkota Johor 2011 di Kulaijaya semalam.


KULAIJAYA - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melawat pelajar-pelajar kurang upaya di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Indahpura di sini bersempena Kembara Mahkota Johor 2011 (KMJ 2011) edisi ke-14 semalam.

Kunjungan julung-julung kali itu disambut meriah oleh warga sekolah dan beberapa sekolah lain berhampiran dengan pelbagai persembahan.

Sepanjang hampir dua jam di SMPKV Indahpura, baginda yang diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berpeluang menyaksikan demonstrasi permainan goalball oleh pelajar buta sebelum menyaksikan kawad badan beruniform oleh pelajar hilang pendengaran.

Baginda juga berkenan menyampaikan bantuan daripada Majlis Agama Islam Johor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada anak-anak yatim dan kurang upaya dari sekitar Kulaijaya.

Pengetua SMPKV Indahpura, Khadijah Mohamad berkata, segala penat-lelah tenaga pengajar dan pelajar sekolah berkenaan dalam persiapan menyambut kunjungan Sultan Johor berbaloi apabila baginda dilihat teruja dengan persembahan dan pertunjukan oleh pelajar kurang upaya.

"Saya mewakili warga SMPKV Indahpura sungguh berbesar hati kerana pihak penganjur sudi memilih sekolah ini sebagai salah satu destinasi kunjungan KMJ.

"Kami juga berbangga apabila dapat bertemu sendiri dengan baginda Sultan," katanya ketika ditemui.

Baginda yang menunggang motosikal berkuasa tinggi bersama 20 motosikal pengiring kemudiannya meneruskan kembara ke daerah Pontian.

Semasa di gerai Majlis Daerah Pontian, baginda meneruskan misi untuk mendampingi rakyat apabila beramah mesra bersama peniaga gerai serta menyaksikan perlawanan bola sepak persahabatan antara pasukan Sultan Johor menentang pasukan Daerah Pontian.

Pada perlawanan tersebut, pasukan Sultan Johor yang diketuai Tunku Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Obet Tawil menang 12-0.

KMJ selama empat hari sejauh 727 kilometer akan menamatkan penjelajahan di Bangunan Sultan Abu Bakar, Muar hari ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: