|
|
DALAM usaha melahirkan golongan mahasiswa yang prihatin dengan isu-isu kemasyarakatan, Universiti Sains Pengurusan (MSU) melalui Fakulti Sains Kesihatan Kehidupan (FHLS) dengan kerjasama Kelab Sains Bioperubatan (BMSC) telah menganjurkan program jalinan masyarakat Reach Out To The Needy 2011.
Program itu melibatkan 40 pelajar semester empat BMSC yang telah mengunjungi golongan miskin bandar di Perumahan Awam Seri Pahang, Jalan Bukit Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pengarah program, V. Kalidasan berkata, program ini bermatlamat untuk memberikan peluang kepada pelajar untuk membantu dan meringankan beban golongan kurang bernasib baik terutama bagi mereka yang tinggal di bandar serta mendedahkan pelajar tentang pentingnya berinteraksi dengan masyarakat luar.
Katanya, pengisian program melibatkan pemberian bantuan berupa wang tunai dan hamper kepada lapan keluarga yang rata-ratanya terdiri daripada golongan warga emas.
"Peluang untuk berbakti kepada golongan yang memerlukan bantuan merupakan pengalaman yang amat bernilai.
"Kami juga tidak menyangka masih banyak lagi keluarga yang memerlukan bantuan. Mereka jelas terhimpit dengan pembangunan pesat ibu kota," katanya.
Selain itu, menurut Kalidasan, pelajar turut melakukan pelbagai aktiviti lain seperti melakukan khidmat pemeriksaan kesihatan dengan menggunakan dua kaedah pemeriksaan iaitu dari rumah-rumah (mobile health screening) di dewan orang ramai.
Ia meliputi perkhidmatan mengukur tahap tekanan darah, ujian glukosa, mengukur indeks jisim badan (BMI), ujian jenis darah (ABO) dan ujian asma.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: