Thursday, June 2, 2011

Shira, Rudy Beri Impak Suria FM & Red FM

PETALING JAYA: Peningkatan jumlah pendengar stesen radio Suria FM dan Red FM adalah disebabkan kehadiran pelakon Sharifah Shahira (Shira) dan juga bekas deejay Hitz FM, iaitu Rudy.

Ketua Pegawai Operasi Suria FM dan Red FM, Azrullah Mohd Nor, berkata, langkah mereka memancing kedua-dua personaliti tersebut menunjukkan hasil apabila slot siaran pagi kedua-dua stesen radio berkenaan menunjukkan peningkatan mendadak.

“Kehadiran dua deejay ini sememangnya membantu peningkatan pendengar kedua-dua stesen radio kami. Mereka secara tidak langsung mengukuhkan barisan jentera kami untuk terus maju ke hadapan.

“Sebagai seorang yang sudah dikenali, ternyata kedua-dua mereka tidak mengecewakan dan mempunyai pengikut tersendiri,” ujar pada sidang media di Majlis ‘Get Together’ bersama media, di Tropicana City Office Tower, Rabu.

Majlis tersebut diadakan bagi memperkenalkan pejabat baru stesen radio tersebut dan mengumumkan hasil kaji selidik radio bagi suku pertama tahun ini.

Pejabat baru yang sudah mula beroperasi itu juga menempatkan tiga stesen radio iaitu Suria FM, Red FM dan 988 FM.

Berdasarkan penyampaian yang ditunjukkan, segmen yang dikendalikan oleh Halim, Shira dan Zizi di Suria FM meningkat sebanyak 62 peratus, manakala segmen Red FM Breakfast Show merekodkan peningkatan sebanyak 104 peratus.

Dalam pada itu, Azrullah memberitahu mereka sedang membuat kajian terperinci dan merancang strategi baru bagi mencapai sasaran seterusnya.

“Kami sentiasa membuat kajian apa yang pendengar mahukan dan merancang strategi yang tepat untuk jangka panjang pula.

“Kami sedang dalam proses menganalisis setiap slot dan memperbaiki lagi kandungan,” ujarnya.

Bagaimanapun, dia menolak akan melakukan rombakan terhadap barisan penyampai atau melakukan penambahan deejay dalam masa terdekat.

“Kita belum ada perancangan untuk menambah bilangan deejay terutamanya di kalangan artis atau selebriti kerana barisan sekarang sudah mencukupi.

“Begitu juga tiada rombakan yang dilakukan dalam masa terdekat ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: