Saturday, June 25, 2011

Sheikh Muszaphar dan Halina kongsi cerita

Panggilan ‘sayang’ dari Datin Halina Yunos, 31, buat suami, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, 39, ketika menghadiri sebuah majlis, membuktikan kedua mereka kini sedang mengecapi kebahagiaan.

Halina yang kelihatan anggun berpakaian merah jambu itu mula melakar senyuman manis apabila panggilan manjanya itu turut dibalas dengan sapaan ‘sayang’ oleh Angkasawan Negara itu.

Apatah lagi, pasangan ini bakal menyambut ‘orang baru’ pada Julai depan. Dan pastinya kehadiran ‘si dia’ akan membuatkan rumah tangga pasangan serasi ini akan lebih berseri.

Akui teruja dengan kehadiran cahaya mata pertama, Sheikh Muszaphar dan Halina, sudah melakukan pelbagai persiapan. Masing-masing tidak sabar bergelar daddy dan mummy.

Bagi Sheikh Muszaphar, kehadiran bayi sulungnya membuatkan hidupnya bertambah lengkap. Sementelah lagi, hasratnya untuk bergelar daddy tercapai meskipun usianya bakal mencecah angka 40.

“Apa yang tidak boleh dilupakan adalah apabila berita kehamilan isteri diketahui ketika kami berada di tanah suci ketika mengerjakan ibadah Haji. Lantas, kami memanjatkan kesyukuran pada Ilahi.

“Setakat ini, semua persiapan kami dah buat. Daripada pakaian, katil hinggalah aksesori terkini sudah pun dibeli,” kata Sheikh Muszaphar yang ditemui di majlis ‘tabung pusat’ anjuran CellSafe International, di Bangsar Village II, baru-baru ini.

Sementara itu, Halina yang kini sedang sarat mengandung berkata, penantian untuk menatap wajah comel bayinya sukar digambarkan dengan kata-kata. Malah naluri keibuannya mendorongnya untuk mendalami ilmu keibubapaan dengan lebih baik.

“Saya banyak bertanya kepada orang-orang tua untuk berkongsi pengalaman berkenaan penjagaan bayi dan pantang larang ibu bersalin. Malah dia juga turut membantu saya untuk menghadapi masa itu.

“Bersusun buku panduan berkenaan bayi di rumah, sehingga mengalahkan saya pula. Malah, pantang ada masa terluang, dia akan melayari Internet hanya semata-mata untuk bayi kami,” ujarnya yang bernikah dengan Angkasawan Negara itu pada 10 Oktober 2010.


Halina bersalin dalam air

Bercerita tentang proses kelahiran, Halina yang juga seorang doktor pakar anestesia, lebih selesa memilih kaedah bersalin dalam air.

“Kaedah bersalin ini sudah menjadi satu perkara yang biasa di United Kingdom dan Amerika Syarikat. Malah ramai yang mempraktikkan kaedah ini umpama spa yang memberi kelegaan dan ketenangan fikiran.

“Tapi di negara ini, jarang dilakukan. Kalau ada pun, hanyalah wanita-wanita berbangsa Inggeris yang bekerja di sini,” katanya yang mendapat sokongan sepenuhnya dari suami tercinta. Bertanyakan tentang jantina bayinya itu, baik Halina atau Sheikh Muszaphar, sepakat tidak mahu mengetahui perkara itu dan membiarkannya menjadi kejutan buat mereka.

Malah pasangan ini juga tidak kisah tentang jantina anak, asalkan bayi mereka sihat dan sempurna.

Menantikan saat kelahiran, Halina, akan bercuti panjang dan mengharapkan yang terbaik untuk rumah tangganya.

“Sejak hamil, masa saya lebih banyak terluang bersama keluarga kerana tidak mengambil tugas tambahan. Saya juga bersyukur kerana suami cukup mengambil berat tentang saya walaupun dia sibuk membahagikan masa antara karier dan negara

“Dia sangat menitikberatkan pemakanan saya dan sering suruh saya makan kerana risau bayi dalam kandungan kekurangan zat. Tapi saya pulau risau kerana berat badan saya bertambah 20 kilogram daripada yang asal,” katanya sambil ketawa kecil.


Sheikh Muszaphar tunai janji

Bertanyakan mengenai perkembangan terbaru angkasawan pertama negara ini, Sheikh Muszaphar berkata, sejak kebelakangan ini beliau sangat sibuk untuk memenuhi undangan ceramah dan program motivasi.

“Tiga kali seminggu, saya akan memberi ceramah di sekolah terpilih mengenai program angkasawan dan sains angkasa. Kemungkinan besar pada tarikh Halina bersalin, saya akan berada di Sarawak atas urusan kerja demi menunaikan janji pada negara.

“Dulu saya pernah berjanji, tugasan negara akan tetap diutamakan walaupun saya sudah berkeluarga,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: