Saturday, June 25, 2011

Masih berjiwa masyarakat

Melihat wajahnya pasti teringat ungkapan “Apa Kejadahnya”. Ianya acap kali digunakan untuk rancangan kendaliannya Edisi Siasat membawa nama Wan Kamarudin Wan Ibrahim ke tahap yang boleh dibanggakan.

Mengutarakan isu-isu masyarakat dilihat antara keberanian yang dimiliki anak kelahiran Kuala Terengganu ini.

Berperwatakan serius membuatkan ramai yang agak gusar mendekati dirinya. Namun apabila mengenali insan yang lebih mesra dengan panggilan Wan K ini, dirinya tidaklah serius sewaktu tugasnya.

“Saya serius pada kerja sahaja. Waktu lapang, saya masih seperti biasa.

“Tapi, kerana waktu kerja saya yang tidak menentu, mungkin susah sikit orang nak nampak wajah biasa saya. Saya boleh sahaja tersenyum,” katanya apabila ramai yang takut untuk menegurnya.

Kredibilitinya sebagai penerbit dan pengacara TV tidak dapat disangkal lagi.

Mengimbas permulaan kerjayanya, Wan K berkata, tugasnya bermula di saluran NTV7 dalam unit kaji selidik dan pembangunan.

“Dalam unit ini, tugas saya mencari bahan-bahan baru serta idea untuk memantapkan setiap rancangan yang akan diterbitkan. Setahun bersama unit ini, saya diarahkan untuk menghadiri uji bakat sebagai penyampai berita.

“Dulu, saya sangat takut untuk bercakap di depan kamera. Apatah lagi untuk menyampaikan berita.

“Itu bukan tugas senang. Tapi setelah diberi keyakinan oleh ketua dan rakan sekerja, ditambah dengan pengalaman membaca berita untuk stesen Metrovision secara sambilan, jadi saya mencubanya,” ceritanya.


Penangan ‘Apa kejadahnya’?

Setahun berkhidmat sebagai penyampai berita, Wan K diberikan tugasan baru.

Menerima arahan untuk mengendalikan sebuah rancangan yang begitu dekat dengan masyarakat dan kepenggunaan memberi kegusaran di hatinya.

“Siapa yang tak takut kalau nak buat isu mengenai masyarakat. Saya hanya menjadi pengacara. Semua skrip disediakan oleh produser.

“Saya memahami setiap masalah dan skrip. Daripada takut, ia bertukar kepada suka,” katanya.

Dengan tagline ‘apa kejadahnya’ nama Wan K diingati sehingga ke hari ini. Impak besar yang diterimanya ini dianggap sebagai bonus kepadanya.


Penghijrahan baru

Mengambil keputusan menarik diri daripada rancangan itu dan perkhidmatan di NTV7, Wan K tidak tenggelam.

Membuka syarikat One To One View, Wan K meneruskan legasi menghasilkan rancangan-rancangan berbentuk kemasyarakatan.

Rancangan seperti Bongkar (TV3), Talian Hayat (NTV7), Ziarah (Astro Prima), Sarapan Di Mana? (Astro Prima) dan terkini Khidmat Syariah di saluran TV AlHijrah merupakan antara rancangan terbitan syarikatnya.

“Isu masyarakat sudah sebati dengan diri saya. Saya rasa seronok apabila dapat mendekati masyarakat dan memberi bantuan seumpama ini,” katanya yang selesa bertindak sebagai pengacara dan penerbit dalam satu masa.

Baginya, menjadi pengacara untuk rancangan sebegini memerlukan komitmen yang sangat tinggi.

“Saya tahu ada ramai pengacara hebat di luar sana. Tapi, untuk rancangan saya ini, waktu kerjanya tidak menentu dan perlu benar-benar faham.

“Bila nak tunggu pengacara memahami situasi ia akan mengambil masa yang agak lama. Jadi untuk langkah selamat, saya buat sendiri sahaja,” tambah�nya.

Tidak ramai pengacara setegar dirinya. Namun, itulah cabaran yang dipikul membuatkan dirinya berada dalam gelanggangnya tersendiri.

Bercerita mengenai cabaran yang dipikul sepanjang menjadi penerbit dan pengacara, Wan K menjelaskan dia mendapat kerjasama begitu baik daripada banyak pihak.

“Bukan mudah untuk saya menerbitkan rancangan tanpa bantuan orang ramai. Di sini, cabaran itu saya tidak rasakan kerana semuanya berjalan seperti yang dirancang.

“Ini mungkin kerana saya sebagai orang tengah yang cuba menyelesaikan masalah berbangkit. Jadi, sebagai jambatan, tidak ada cabaran yang begitu kuat untuk saya,” katanya.

Wan K menambah, sepanjang hampir lapan tahun menerbitkan rancangan seumpama ini, dia hanya mendengar sahaja cerita orang tidak berpuas hati terhadapnya namun bersyukur tidak di apa-apakan.

Tidak hanya cabaran, hidup sebagai Wan K juga perlu berani menghadapi segala macam risiko. Tambahan mengendalikan rancangan yang cukup berat dan berisiko tinggi seperti Kes Jenayah.

”Saya bukanlah mahu mengajar orang ramai melakukan jenayah tetapi sekadar berkongsi dengan masyarakat akan risiko jenayah yang boleh berlaku kepada kita semua. Saya cuba mengajak masyarakat agar lebih sensitif dan peka dengan persekitaran,” katanya.

Menurut Wan K, Kes Jenayah merupakan sebuah program yang akan mengajak penonton meningkatkan keselamatan dalam kehidupan harian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: