|
|
MINGGU ini nama Prema Yin, Shahz Jaszle dan Gambit Saifullah meniti di bibir para peminat seni tempatan. Ia gara-gara klip video lagu Marilah nyanyian Prema.
Aksi kurang enak dan separuh porno yang ditonjolkan dalam klip video itu memang tidak difahami motifnya.
Hendak dikatakan ada sentuhan seni, jauhlah sekali. Yang jelas ia seperti sebuah karya tangkap muat atau mungkin strategi pemasaran murahan.
Gambit Saifullah selaku pengarah drama ini berkata, klip video itu dibuat untuk pasaran antarabangsa dan bukan tempatan.
Namun, klip video itu sudah dimuat naik ke laman Youtube dan boleh ditonton oleh khalayak Malaysia. Dalam masa beberapa hari diletakkan di laman tersebut, klip Marilah telah ditonton sebanyak lebih 100,000 kali.
Sensasi Bintang bertanyakan pembawa karakter ‘suami’ dalam klip video tersebut, Shahz. Kata lelaki itu, dia melakonkan watak suami kepada Prema dan rumah tangga mereka sedang bergolak.
Bagaimanapun, khalayak tidak dapat menerima keintiman suami isteri seperti itu dipertontonkan dalam sebuah klip video.
Kenapa anda sanggup terima tawaran berlakon dalam klip video tersebut?
Pertama kerana saya mengenali Gambit. Saya membantunya dengan menerima tawaran tersebut. Sebab kedua kerana Gambit memberitahu saya bahawa klip ini adalah untuk tujuan pasaran antarabangsa.
Saya beritahu dia, kalau pasaran kita memang tidak lepas klip sebegini. Saya rasa ini peluang yang baik untuk saya muncul di pasaran antarabangsa.
Pendapat anda sendiri tentang klip video tersebut?
Sejujurnya saya belum melihat hasil akhir klip video tersebut. Tetapi saya rasa okey. Bab kualiti saya tidak mahu komen panjang. Tapi Gambit telah melakukan yang terbaik sebagai pengarah.
Saya cuma melakonkan watak yang dimahukan oleh Gambit. Dia mahu A, saya bagi A dengan komitmen seratus peratus.
Anda tidak terfikir tentang sensitiviti masyarakat kita?
Bagi saya, orang Malaysia memang susah terima perkara sebegini walaupun sebenarnya adegan begitu juga ada dalam filem mahupun drama lain.
Saya cuma menjalankan kerja saya dan bukan pandai-pandai saya. Saya ikut jalan cerita yang dimahukan sebagai seorang suami.
Tidakkah rasa dimurahkan dengan hasil kerja tersebut?
Tidak. Jalan ceritanya okey, mungkin kekurangan dari sudut seni, efek juga kurang.
Tidak rasa berlebihan?
Saya tidak rasa berlebihan.
Sejauh mana anda mengenali Gambit?
Saya sudah kenal dia beberapa tahun lepas. Kami malah main futsal sama-sama.
Bagaimana bekerja dengan Prema dalam adegan sebegitu?
Klip video ini baru sahaja dibuat bulan lepas. Saya pertama kali mengenali Prema sewaktu penggambaran klip video ini. Dia naif dan baik. Tidak daring seperti dalam klip video tersebut.
Anda tahu klip video ini dikutuk hebat oleh masyarakat?
Inilah mentaliti orang Malaysia. Saya memang dengar dan baca banyak kutukan orang. Tapi saya ingin bertanya kepada yang mengutuk itu, adakah mereka berani dan bersedia untuk membuat sesuatu seperti klip video tersebut?
Saya tidak kisah kalau diberi nasihat tetapi ada juga carutan yang ditulis di laman blog dan web. Pada saya, kalau mereka mencarut, di mana akhlak baik mereka sebenarnya. Akhlak mereka juga tidak betul, mahu betulkan orang lain.
Gambit melakukan tugasan dia sebagai sutradara dan kenapa orang lain yang sibuk-sibuk?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: