Sunday, June 5, 2011

‘Poyo’ makanan Syamsul




DALAM hela nafas seorang anak muda yang pada pandangan pertama terlihat penuh ego, ada kegusaran bersarang di hatinya. Mohd Syamsul Datuk Yusuf Haslam, 27, tidak berbohong dengan perasaannya itu.

Dia sedar bahawa khalayak sedang melihat hasil kerjanya. Malah, rentetan kejayaan filem-filem terdahulu seakan-akan mencabar dirinya untuk bertahan lebih lama dalam liganya.

Syamsul dinobat sebagai Pengarah Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-23 melalui filem Evolusi KL Drift 2. Insiden air mata Syamsul tidak mungkin dilupakan penonton.

Dia menangis sewaktu diumumkan pemenang anugerah berprestij itu walaupun kemenangannya kemudian dipertikaikan.

Dia juga mencapai angka kutipan RM8 juta untuk filem Khurafat arahannya. Portfolio yang dibina itu perlu dibatasi diri sendiri dan bukan orang lain, fikir Syamsul.

“Jujurnya saya berasa takut untuk tayangan KL Gangster pada 9 Jun ini. Filem itu menjual lelaki sahaja. Tidak ada heroin.

“Terdetik juga, adakah peminat filem wanita akan pergi menonton kerana semua pelakonnya lelaki dan didasari cerita tentang gengster?” jujur dia bersuara di hadapan salah seorang aktor filem itu, Adiputra.

Takut gengster

Sebuah filem tanpa heroin dan tanpa suntikan cerita cinta, itu taruhan terbaru Syamsul.

Dalam benaknya kini semua terpulang kepada selera penonton yang kadangkala tidak boleh dijangka. Apa yang dilakukannya ialah membariskan aktor-aktor mantap untuk tujuan itu.

Adiputra, Soffi Jikan, Zizan Raja Lawak dan Aaron Aziz bakal ‘dijual’ untuk naskhah KL Gangster. Untuk dirinya sendiri, Syamsul mengakui kematangan dan kebolehannya mengarah sedang digilap.

“KL Gangster mempunyai suntikan identiti dan budaya masyarakat kita sendiri. Jadi, ia lebih dekat dengan jiwa penonton.

“Saya merujuk kepada filem Young and Dangerous dan The Godfather, tetapi saya mahu filem aksi negara kita sendiri,” ujarnya yang mahu mencipta karakter Chan Ho Nam dan Chicken versi Malaysia.

Peminat pengarah tersohor Michael Bay dan M. Night Shayamalan ini berkata dia mengikut selera pasaran dalam membikin sesebuah filem.

Dalam masa yang sama, dia turut akur dengan kebolehan dirinya yang tidak cenderung membuat sesuatu atas nama seni sebaliknya mengikut perkiraan komersial.

Malah, ujarnya, faktor angka atau kutipan adalah sesuatu yang menjadi rujukannya.

“Dalam pemerhatian saya, filem komersial lebih menjadi pilihan penonton berbanding filem seni,” ujarnya yang tidak pandai menyebut nama-nama sutradara berpaksikan seni seperti yang dijadikan rujukan oleh Pierre Andre.

Maka itu, Syamsul lahir dengan filem yang berada dalam skala komersial seperti Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi Kl Drift, Evolusi KL Drift 2 dan Khurafat: Perjanjian Syaitan.


MAMAT ‘poyo’, itu antara gelaran yang diberikan kepada Syamsul selain ‘pelakon kayu’. Namun kata Syamsul, adalah tidak adil dirinya dihakmi sebelum sempat dikenali.


Poyo

Entah kenapa, Syamsul merasakan sesi interbiu dengan Sensasi Bintang kali ini lebih bersifat kaunseling.

Saya bertanyakan lelaki ini tentang dirinya yang digelar poyo oleh sesetengah orang - slanga anak muda untuk seseorang yang suka tunjuk bagus. Maklumlah, dia sutradara yang masih muda tetapi sudah merangkul anugerah.

“Gelaran poyo itu sudah jadi makanan saya sejak di bangku sekolah lagi. Tetapi itulah karakter saya walaupun saya sedar ada yang tidak suka.

“Namun, tanggapan orang memang bermacam-macam,” jawabnya.

“Saya rasa ia sudah sedia ada dalam genetik saya. Ayah dan adik perempuan saya juga mempunyai karakter dan wajah yang serius.

“Sama seperti saya, mereka juga kadangkala dianggap poyo.

“Malah, ada kenalan yang telah lama mengenali saya menyatakan tanggapan pertama mereka tentang saya adalah saya seorang yang poyo.

“Bagaimanapun, setelah lama berkawan, saya sebenarnya tidak seperti yang mereka sangkakan,” katanya ketawa.

Syamsul turut merasakan adalah tidak adil dia dihakimi sebelum dirapati.

Membuka lagi selapis selaput dirinya, Syamsul bercerita perihal wanita pula. Topik itu semestinya ada dalam nafas setiap lelaki.

Anak lelaki Yusuf Haslam ini mendakwa dia sukar untuk rapat dengan wanita bahkan tidak memiliki ramai kawan daripada kaum hawa itu.

“Pengalaman banyak mengajar saya tentang cinta dan wanita,” ujarnya.

Syamsul berkata dia juga seringkali disalah anggap antara bersahabat dan bercinta apabila rapat dengan seseorang gadis.

Ujarnya, jika dia mula merapati seseorang, akan ada yang menyangka dia sudah jatuh cinta dengan si gadis itu.

“Saya pernah rapat dengan Liyana Jasmay sewaktu filem Khurafat. Tapi itu cerita lama. Tidak benar kalau kami bercinta.

“Saya cuba mengenalinya dengan lebih dekat tapi nampaknya tidak sesuai. Jadi eloklah kami kekal sebagai teman,” ujarnya.

Buat masa ini, Syamsul sekadar mengatakan dia sedang mengenali seseorang yang bukan berada dalam industri yang sama.

Pecah panggung

Gadis itu wanita biasa yang ingin diselami hatinya oleh Syamsul.

Selain bergelora dengan persoalan cinta, jelas Syamsul, dia sedang cuba memewahkan dirinya dengan impian.

Selepas bertungkus-lumus mengangkat semua hasil kerjanya, impiannya kini cuma satu tetapi besar ertinya.

Dia mahu menghasilkan 10 buah filem pecah panggung yang sekarang sudah jelas berikutan kejayaan empat buah filem arahannya terdahulu.

“Saya inginkan kejayaan luar biasa daripada seorang insan biasa,” kata Syamsul bersulam doa.

Selepas KL Gangster, Syamsul akan keluar dengan Aku Bukan Tomboi dan Bohsia 2: Jalan Kembali untuk tatapan penonton.

Akhir sekali, penulis menembak reaksi Syamsul untuk melihat kebal atau tidak dinding amarahnya.

Dia mungkin dipuji sebagai pengarah muda yang bagus tetapi bukan sebagai pelakon yang berwibawa.

Ramai yang masih menyatakan dia kaku membawakan karakter apa pun. Syamsul terdiam.

“Saya tahu orang kata saya kayu. Saya berfikiran terbuka dan mampu membezakan komen yang jujur atau berniat menjatuhkan saya.

“Saya akui saya perlu belajar. Tetapi setiap pelakon ada kelemahan dan kelebihan. Saya juga ada peminat sendiri.

“Kalau teruk sangat lakonan saya, Khurafat tidak akan dapat kutipan yang memberangsangkan sebegitu,” tuturnya kepada kritikan yang datang.

Malah, Syamsul menolak khabar yang mengatakan dia hanya mampu berlakon di bawah produksi yang sama kerana tidak pernah mendapat tawaran daripada produksi lain.

Sama ada kayu atau tidak, poyo atau bukan, Syamsul menegaskan dia kini berdiri dengan penuh kematangan. Mungkin masa sahaja yang dapat menentukan kebenaran pelbagai tanggapan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: