HUJUNG minggu lalu nama Erra Fazira dan protegenya, Salma hangat di dalam ruangan gosip semua akhbar mingguan. Kemenangan mereka meraih wang tunai RM100, 000 serta gelaran juara musim kelima program realiti Mentor 5 dipertikaikan.
Walaupun ramai yang mengakui kehebatan vokal Salma, namun ibu tunggal beranak satu itu dikatakan sengaja dimasukkan semula untuk bersaing ke final selepas terkeluar seminggu sebelum final.
Lantas apabila dia diangkat sebagai juara, banyak pihak mendakwa ia merupakan politik terbesar pihak produksi program itu yang sengaja memberi kemenangan kepada Erra dan Salma.
Turut menjadi buah mulut, kehadiran Ziana Zain selaku juri biar dilihat relevan kerana Ziana merupakan juara Mentor musim lalu, turut dipertikai kerana keakrabannya dengan Erra.
Bertanya tentang sensasi yang dibangkitkan itu kepada Erra, nyata 'orang lama' seni itu cukup tenang menjawab. Tidak cepat melatah, Erra mempunyai hujah sendiri untuk mempertahankan pemilihan dia dan Salma sebagai juara program tersebut.
"Adat dalam pertandingan pasti ada yang suka dan tidak suka. Bagi yang tidak suka mereka akan cuba mereka cerita dan mempertikaikan kemenangan Salma. Bagi saya, Salma telah membuktikan persembahannya bagus dan dia menang dengan bermaruah.
"Kalau dia nyanyi tidak bagus pada malam akhir itu saya akui kemenangannya boleh dipertikai. Tetapi, Salma sudah memberi sehabis baik. Memang di akhir-akhir pertandingan undian Salma jatuh. Daripada situ Salma bangkit melakukan yang sebaiknya untuk konsert akhir Mentor 5," katanya ketika dihubungi Kosmo! bagi mengulas isu kemenangan Salma yang dikatakan telah dirancang.
Ramai juga yang mempertikaikan Salma diserap masuk ke konsert akhir Mentor dan menganggapnya salah satu strategi pihak Mentor untuk menjadikannya juara sedangkan undiannya di paras terendah berbanding peserta-peserta lain.
Bagi Erra, tiada istilah rancang atau susunan strategi. Perkara yang sama berlaku untuk konsert-konsert Mentor sebelum ini.
"Sememangnya jadi trend persembahan realiti apabila peserta terkeluar diserap masuk semula. Ia bukan sahaja berlaku kepada mentor tetapi juga rancangan realiti lain seperti Akademi Fantasia (AF). Contoh yang berlaku kepada Shahir. Dia terkeluar dan dimasukkan semula. Malah, rezeki berpihak kepadanya apabila dia muncul sebagai juara AF," katanya.
Erra kemudian memberitahu, isu Ziana Zain menjadi juri sepatutnya tidak elok ditimbulkan.
Jelasnya: "Saya sendiri tidak tahu salah seorang juri pada malam itu adalah Ziana. Ziana seorang yang cukup profesional. Dia tidak akan memberi undi semata-mata kerana kami berkawan. Lagipun, industri seni ini kecil dan saya berkawan dengan semua orang.
"Kak Pah (Datuk Sharifah Aini) juga baik dengan salah seorang juri pada malam itu iaitu Datuk Ramli MS. Jadi terpulanglah kepada individu yang mereka cerita itu sendiri.
"Memang pada awalnya saya sudah beritahu Salma, kalah atau menang tidak menjadi persoalan. Paling penting, kita bagi sebaik mungkin. Jika kalah pun, kita menang secara bermaruah."
Selektif bukan eksklusif
Beralih bicara tentang penglibatannya dalam dunia lakonan, Erra, 37, sudah lama tidak muncul di layar perak. Kali terakhir filem lakonannya dapat ditonton adalah menerusi watak pembantu dalam filem Andartu Terlampau - 21 Hari Mencari Suami di bawah produksi Haliza Misbun pada tahun 2010.
Kali terakhir Erra memegang peranan utama pula adalah menerusi filem seram Anak di samping Ida Nerina pada tahun 2008.
Selepas itu, wajah Erra lebih banyak menghiasi kaca TV dan program pengacaraan.
Disebabkan itu ramai yang membuat andaian bahawa dirinya begitu eksklusif.
Ibu jelita kepada Engku Aleesya Engku Emran, 2, itu menjawab mengenai statusnya yang dikatakan begitu eksklusif.
"Saya tidak meletakkan diri eksklusif, cuma kini saya kena lebih selektif melihat tawaran yang datang. Kalau dulu semasa belum berumah tangga dan belum dikurniakan anak saya menerima sahaja apa jua tawaran tetapi kini saya kena bahagikan dua iaitu antara kerjaya dan juga keluarga," katanya ketika ditemui semasa sidang media memperkenalkan pelakon-pelakon teater Badai Semalam di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) tahun 2001 dan 2005 itu juga menolak yang dirinya dikatakan sudah kurang menerima tawaran filem disebabkan bakat-bakat baru yang muncul seperti Lisa Surihani dan Fasha Sandha.
Menurutnya, banyak faktor kenapa dirinya sudah lama tidak menghiasi panggung. Kata heroin Sembilu itu, sekarang ini dia cuma memperkecilkan skop kerjayanya. Jika ada tawaran menarik untuk berlakon filem dan tidak bertindih dengan jadual lain baru dia akan menerimanya.
"Saya akan pastikan 50 peratus fokus saya terhadap kerjaya dan 50 peratus lagi terhadap keluarga," katanya yang bakal muncul dengan drama seram komedi terbaru terbitan Astro iaitu Hantu Susu.
Jadi guru
Sudah berada dalam industri hiburan hampir 20 tahun lamanya, Erra diajukan pula soalan tentang kemungkinan dia menjadi guru lakonan mahupun vokal.
"Erra belum terlintas lagi mahu jadi guru. Sekarang ini pun, jadual begitu padat. Tetapi, mungkin satu hari nanti bila sudah kurang berlakon dan merasa diri sudah tidak laku saya akan memikirkannya," katanya sambil melirikkan senyuman yang menawan.
Ulasnya, tanggungjawab untuk mengajar vokal, tarian mahupun lakonan bukan tugas yang mudah. Ia memerlukan komitmen yang tinggi untuk menggilap bakat baru bagi dijadikan bintang.
Beralih pula cerita mengenai si puteri jantung hatinya, Engku Aleesya, Erra memberitahu, genap 30 Mac lalu puterinya sudah berusia dua tahun.
Engku Aleesya yang kini sudah mencapai berat badan 15 kilogram sentiasa diberi perhatian biarpun dirinya sibuk.
"Saya akan pastikan jika ada masa terluang saya akan bawa Aleesya keluar dan peruntukkan masa sepenuhnya bersama dia," kata Erra.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: