|
|
AKTOR Nasib Bilal Khan kembali dengan wataknya sebagai seorang penggali kubur. Sebelum ini dia cukup popular dengan drama Cinta Si Penggali Kubur yang pernah ditayangkan di TV3 tidak lama dulu.
Kini, Nasir kembali menggali kubur dalam drama bersiri Tanah Kubur yang sedang hangat ditayangkan di Astro Oasis bermula 13 Mei lalu.
Namun begitu, Nasir yang ditemui ketika sesi tayangan perdana drama itu di pawagam TGV KLCC baru-baru ini menjelaskan meskipun wataknya sebagai penggali kubur tetapi karakternya berbeza.
“Kalau dulu dalam drama Cinta Si Penggali Kubur, saya seorang yang lurus dan senang kena tipu tetapi tidak dalam drama Tanah Kubur di mana watak saya sebagai Tok Adi seorang yang dihormati di kampung dan mempunyai pendirian yang tersendiri,” jelasnya.
Sambung Nasir, pengalaman menjadi seorang penggali kubur dan penggambaran singkat termasuk pada waktu malam selama sebulan memberi kepuasan kepadanya.
“Ini salah satu cara saya berbakti kepada masyarakat dan mendapat saham di akhirat. Saya harap mesej saya sampai. Saya tidak kisah walaupun satu peratus meresap dalam fikiran dan membuka mata masyarakat.
“Tidak banyak yang dapat saya perkatakan kerana drama bersiri ini sangat menarik. Ia merupakan 13 cerita yang berbeza dalam 13 episod, dengan cerita-cerita itu diambil daripada pengalaman penggali kubur yang sebenar dan juga menerusi sejarah pada zaman Rasulullah,” tuturnya.
Nasir berkata, sebagai anak seni dia akan terus memberi sokongan terhadap penghasilan drama atau filem yang memberi kesedaran dan keinsafan kepada penonton.
“Jika dalam cerita seram, orang takut hantu, tetapi dalam drama bersiri ini, mereka takut kepada dosa,” katanya lagi.
Pengarahnya pula, Rashid Sibir yang cukup terkenal dengan drama air mata dan keinsafan memberitahu, ketika dia mula membaca skrip itu tiada orang lain yang terlintas dalam fikirannya untuk memegang watak Tok Adi seorang penggali kubur selain daripada Nasir Bilal Khan.
“Watak Tok Adi ini seorang yang tegas, berprinsip dan juga memiliki karakter yang unik. Apa yang saya nampak ia hanya ada pada Nasir Bilal Khan, sebab itu saya tawarkan watak ini kepadanya selain kami juga sudah selalu bekerjasama,” ceritanya mengenai drama yang menjalani penggambaran di empat tanah perkuburan.
Menurut pengarah itu lagi, dia menggunakan pelakon yang sebenar untuk dimasukkan ke dalam liang lahad supaya visual nampak lebih benar.
“Kami menggunakan mayat sebenar iaitu pelakon sendiri dikafankan termasuk beberapa ular hidup untuk memberikan impak sebenar di liang lahad.
“Drama ini menggunakan tiga tonggak pelakon utama yang tampil dalam setiap episod dengan 39 pelakon tambahan dengan setiap episod membawa jalan cerita dan pengalaman kubur yang berbeza,” tuturnya.
Drama Tanah Kubur yang menemui penonton pada setiap Jumaat bermula 13 Mei lalu pada pukul 7.30 malam di saluran Astro Oasis mengisahkan pelbagai pengalaman aneh seorang penggali kubur, Tok Adi (Nasir Bilal Khan).
Antaranya kemunculan ular hitam di liang lahad akibat amalan memakan riba, nisan mengeluarkan api kerana si mati sewaktu hayatnya suka mengumpat dan liang lahad mengeluarkan air hitam busuk kerana si mati dulunya suka memakan harta anak yatim.
Turut membintangi drama itu ialah pelakon hebat seperti Fauziah Nawawi, Ahmad Tarmimi Siregar, Abu Bakar Juah, Mariani, Nabila Huda, Zami Ismail dan Rosnah Mat Aris.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: