Friday, June 10, 2011

Sektor E&E berdepan kurang tenaga berbakat

Kekurangan kumpulan tenaga berbakat adalah antara cabaran utama dihadapi syarikat elektronik terutamanya dalam bidang reka bentuk dan pembangunan, demikian menurut Industri Elektronik Malaysia Amerika (MAEI).

Pengerusinya, Datuk Wong Siew Hai berkata, anggota MAEI menyeru supaya sistem pendidikan ditingkatkan untuk menghasilkan graduan yang bersedia untuk industri lengkap dengan kepakaran teknikal dan fasih berbahasa Inggeris.

“Industri juga menyarankan supaya proses permohonan dan kelulusan dipermudahkan untuk mengambil bakat dari luar negara di samping bekerja dengan universiti bagi melatih dan membangunkan kemahiran jurutera tempatan,” katanya selepas pelancaran kajian tahunan MAEI 2010/2011 di Kuala Lumpur.

Bagi mewujud dan membangunkan bakat, Siew Hai berkata, kadar cukai 15 peratus perlu dilanjutkan kepada jurutera yang terlibat dalam reka bentuk dan pembangunan serta kadar untuk program teknikal di bawah Dana Pembangunan Sumber Manusia dinaikkan kepada RM15,000 daripada RM5,000 sekarang ini.

Beliau berkata, bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi pada 2020, Malaysia memerlukan kumpulan bakat yang dapat menyumbang kepada kerja pembangunan dan reka bentuk. Perusahaan kecil dan sederhana perlu memainkan peranan.

“Jumlah mereka yang terlibat dalam reka bentuk dan pembangunan dijangka meningkat tahun ini kepada 4,708 daripada 2010 pada 4,508, dengan peningkatan pegawai dagang, yang sebaliknya akan memindahkan kepakaran.

“Jumlah pegawai dagang meningkat 11 peratus kepada 211 pada 2010,” katanya.

Bagi kekal berdaya saing dan mengurangkan kos menjalankan perniagaan, beliau berkata, kerajaan seharusnya menyediakan insentif kepada syarikat multinasional untuk membangunkan pembekal tempatan, terutamanya dalam reka bentuk dan pembangunan.

Tambahnya, kerajaan seharusnya mengemas kini perundangan pekerja bagi mencerminkan keadaan semasa serta daya saing dan melaksanakan upah minimum berdasarkan kos kehidupan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: