PERAK Ladies Club (PLC) atau Kelab Wanita Perak Wilayah Persekutuan dan Selangor kini boleh berbangga kerana telah menjangkau usia 10 tahun sejak ditubuhkan pada 30 Mei 2001.
Sepanjang tempoh itu, PLC kini dikenali sebagai antara persatuan wanita yang begitu aktif melakukan kerja-kerja amal khususnya membantu meringankan beban golongan fakir dan miskin.
Kelab ini ditubuhkan oleh Datuk Siti Hendon Chik, anak kelahiran Ipoh, Perak selaku Presiden bersama dengan 13 ahli jawatankuasa yang lain.
PLC dinaungi oleh Raja Datuk Seri Azureen Sultan Azlan Shah sejak tahun 2003.
Jelas Siti Hendon, matlamat utama PLC ditubuhkan adalah untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik melalui gabungan wanita-wanita kelahiran Perak yang bermastautin di luar Perak.
Sehubungan itu, katanya, bukan satu tugas mudah apabila mendaftar sebagai ahli PLC kerana ahli perlu bekerja keras untuk mengumpul dana yang diperlukan.
''PLC akan kumpulkan dana yang dicari supaya dapat disumbangkan kepada fakir miskin terutama yang tinggal di Perak,'' katanya.
Berikutan itu, setiap tahun PLC akan mengunjungi tempat-tempat yang dipilih supaya dapat menghulurkan terus bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Rombongan lawatan ini bukan sahaja melibatkan ahli, malah juga anak-anak ahli untuk memberikan keinsafan, di samping merasai pengalaman berada di kampung setelah sekian lama menetap di ibu kota.
Selain itu, PLC juga tidak mengabaikan bantuan untuk golongan fakir dan miskin yang tinggal di Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Baru-baru ini, sambutan ulang tahun PLC ke-10 bertemakan 'Glitz & Glam' telah diadakan di Double Tree by Hilton di Kuala Lumpur.
Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun juga berkenan hadir ke majlis berkenaan.
Kesempatan itu digunakan oleh PLC untuk meraikan ulang tahun baginda Sultan Perak yang ke-83 tahun dengan acara memotong kek.
Pada majlis itu juga diadakan pertunjukan fesyen oleh dua pereka terkenal, Rizman Ruzaini dan Hatta Dolmat.
Selain itu, majlis itu dimeriahkan dengan persembahan penyanyi Ning Baizura, Datuk M. Daud Kilau dan Harris (Nor Harris Alif Rashidi), Juara Idola Kecil Musim Ketiga.
Turut berlangsung pada majlis itu ialah acara penyampaian replika cek untuk sumbangan derma daripada syarikat City Growth sebanyak RM50,000 dan Asia Herbal Biotech (RM30,000).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: