Saturday, June 11, 2011

MLM mesti menepati syariah


Kita perlu pastikan setiap pelaburan termasuk MLM menepati syariah supaya rezeki yang diperolehi daripadanya berkat.


SUATU isu yang sering diperkatakan dan dibincangkan melalui neraca muamalat Islam adalah berkaitan Multi Level Marketing (MLM). Ini kerana reka bentuk MLM yang pada asalnya selari dengan syariah seringkali dilencongkan hingga menjadikannya suatu yang diharamkan.

Ironinya, pemain MLM itu sendiri sama ada syarikat atau ejen pengedar yang membentuk dan memandu sistem pengedaran mereka menjadi tidak serasi dengan hukum Islam.

Hal ini boleh dikesan melalui pelan pemasaran, produk, harga, komisen dan pelbagai elemen lain yang tidak memenuhi kontrak muamalat.

Hakikat yang perlu diakui, MLM adalah instrumen pemasaran yang baik untuk mengedar sesuatu produk atau perkhidmatan. Ini berlaku apabila pengedar yang dilantik oleh syarikat akan membentuk rangkaian pengedar lain di bawahnya.

Seterusnya mereka akan mendapat bonus, komisen atau insentif hasil daripada jualan peribadi dan rangkaian masing-masing.

Dalam aspek kontrak muamalat, MLM biasanya melibatkan kontrak al-Bai’ (jual-beli) dan al-Ju’alah (upah). Oleh itu, sistem pemasaran ini sewajarnya menepati dengan semua syarat kontrak-kontrak tersebut seperti produk jualan hendaklah halal, wujud semasa akad dan boleh diserah kepada pembeli.

Selain itu, bonus atau komisen juga hendaklah diketahui nisbahnya, dimiliki oleh syarikat dan bukannya diambil daripada yuran keahlian downline yang ditaja oleh pengedar.

Justeru, MLM yang patuh syariah bukannya menjalankan transaksi secara skim piramid atau money games yang menghendaki peserta baru (downline) membayar yuran dan kemudian bayaran tersebut akan diagihkan kepada pemilik skim dan upline.

Objektif utama MLM mengikut syariah adalah menjual produk dan bukannya menaja downline. Keuntungannya adalah daripada keuntungan jualan produk dan bukannya kutipan yuran keahlian.

Kadang-kadang wujud dalam sistem MLM jelmaan daripada money games yang produknya hanyalah replika duplikasi laman web yang boleh menempatkan downline yang ditaja secara automatik.

Sasaran sistem tersebut adalah menaja dan menempatkan rangkaian dan bukannya untuk jualan produk.

Walaupun kebanyakan sistem sebegini mempunyai produk dalam halaman laman web tersebut, ia hanya helah dan tempelan sampingan untuk mengesahkan transaksi mereka.

Ini boleh dikesan melalui jenama produk yang langsung tidak dikenali, tetapi harganya sangat tinggi dan melampau berbanding produk yang hampir-hampir sama di pasaran.

Malah, kadang-kadang produk tersebut adalah beberapa buah e-book digital yang sebenarnya boleh dicari dan dimuat turun secara percuma di Internet.

Pemasaran secara MLM juga jauh daripada syariah apabila wujudnya elemen pengharaman dalam muamalat Islam seperti riba, judi, gharar (ketidakpastian) dan penipuan serta pemalsuan.

Unsur penipuan sebagai contohnya boleh dilihat melalui promosi serta gambaran melampau terhadap sesuatu produk sedangkan hakikat kualitinya tidak begitu dan harganya juga jauh lebih tinggi dengan produk setaranya di pasaran.

Kadang-kadang tipu daya melibatkan para pengedar yang ditonjolkan dengan gambar berkereta mewah seolah-oleh syarikat yang menghadiahkannya. Walhal, syarikat hanya membayar deposit RM1,000 atau RM2,000 sahaja dan baki ansuran bulanannya sebanyak RM3,000 dibayar oleh pengedar itu sendiri.

Begitu juga gharar juga boleh berlaku apabila upline memperolehi keuntungan daripada jualan downline dengan hanya duduk diam bergoyang-kaki.

Segala usaha jualan dilakukan oleh downline tetapi upline memperolehi habuan jualan tersebut kerana terlibat sebagai penajanya. Begitu juga hal ini berlaku apabila jarak antara keduaduanya terlalu jauh hingga tiada suatu usaha seperti bimbingan atau motivasi kepada rangkaian downlinenya.

Justeru, semua perkara tersebut hendaklah dielakkan untuk menjamin rezeki yang diperolehi adalah halal dan berkat dalam pertumbuhan daging tubuh kita.

Sikap berhati-hati dan memilih menurut piawai syarat perlu diutamakan daripada impian dan nafsu kekayaan melimpah-ruah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: