BAGAIKAN menghadiri pertunjukan fesyen yang gah di kota fesyen Paris, tidak hairanlah lensa kamera jurugambar tidak berhenti-henti merakam foto para tetamu yang tampil bergaya dan anggun pada Pertunjukan Fesyen Sunsilk-MODA 2011 di Hotel Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Biarpun pintu gerbang masih lagi belum tertutup rapat, namun ruang legar dewan sudah pun sesak dengan kehadiran selebriti, kelompok pencinta fesyen dan barisan pereka fesyen tempatan popular.
Jelas terpancar wajah teruja dan ceria apabila mereka berpeluang memeriahkan acara gemilang itu.
Mengangkat tema Kesempurnaan pada tahun ini dan menyifatkan kecantikan serta fesyen sentiasa bergerak seiring, maka buat julung-julung kalinya jenama penjagaan rambut terkenal Sunsilk bekerjasama dengan Malaysian Official Designers Association (MODA).
Kombinasi tersebut secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada golongan wanita bahawa kesempurnaan kecantikan peribadi mampu dikecapi sekiranya wanita menggabungkan aspek fesyen dan tata rias diri.
Menurut Presiden MODA, Gillian Hung, dunia fesyen bukan sekadar pemilihan pakaian yang ideal semata-mata. Sebaliknya, ia turut melibatkan elemen penjagaan wajah, solekan, cara berjalan dan dandanan rambut. Jika salah satu elemen diabaikan, maka penampilan harian wanita gagal mencapai kesempurnaan tersebut.
“Bayangkan corak pemakaian anda tampak cantik dan menepati destinasi yang dikunjungi. Namun, malangnya ia masih kelihatan cacat cela apabila helaian rambut tidak disempurnakan dengan baik.
“Membiarkan rambut berminyak ataupun gugur tanpa mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini sebenarnya memperlihatkan wanita itu malas dan mengambil sikap sambil lewa pada penjagaan diri,” ujar Gillian ketika ditemui Stailo pada sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Secara ringkasnya, MODA yang diasaskan pada tahun 1990 merupakan sebuah badan yang menyediakan platform terbaik kepada pereka fesyen tempatan menempa nama di dalam mahupun di luar negara. MODA kini dikenali sebagai badan terulung dalam bidang rekaan fesyen di Malaysia dan bermatlamat membentuk dan memupuk pertumbuhan industri fesyen negara.
Justeru, bagi menyuntik kelainan di pentas peraga Sunsilk-MODA, pihak penganjur telah menjemput dua pakar rambut antarabangsa dan pencipta produk Sunsilk, Thomas Taw dan Yuko Yamashita bergandingan bersama dua pereka tempatan terhebat, Amir Luqman dan Alvin Tay. Berbekalkan kreativiti yang dimiliki kedua-dua pereka berjaya mereka koleksi busana yang indah dan glamor.
Pemilihan fabrik ideal dan hiasan kristal berkilau menyerlahkan busana rekaan yang kebanyakannya hadir dalam palet warna terang dan ceria.
Perjalanan acara fesyen semakin menarik sebaik saja selebriti remaja, Diana Danielle muncul di pentas peragaan. Dia yang memiliki potongan badan yang langsing mengatur langkah memperaga dres tanpa lengan rekaan Alvin Tay dengan dandanan rambut hasil sentuhan Yuko Yamashita.
Selain Amir Luqman dan Alvin Tay, pertunjukan fesyen Sunsilk-MODA 2011, turut dimeriahkan dengan barisan model profesional yang menggayakan busana hasil rekaan 33 pereka tempatan. Selain dres meleret dan kembang, para hadirin disajikan persembahan busana konsep santai, kasual, kaftan serta futuristik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: